Buat pertama kalinya, Xiaomi bekerjasama dengan syarikat pengimejan untuk digunakan pada peranti mereka. Syarikat ini adalah Leica, yang mana Xiaomi turut bekerjasama dengan Sony untuk menghasilkan sensor 1″ IMX989.
Sensor ini adalah untuk kamera 50.3MP pada peranti Xiaomi 12S Ultra dengan aplikasi kamera turut menawarkan beberapa profil warna seperti “Leica Authentic Look” dan “Leica Vibrant Look”. Ia juga membenarkan Xiaomi menjadi peranti Android pertama menyokong rakaman video Dolby Vision HDR selepas terhad pada iPhone 12 dan iPhone 13.

Menurut Richard Lai, salah seorang wartawan untuk Engadget – beliau menyatakan Lei Jun iaitu CEO Xiaomi turut ingin mempromosikan kecanggihan teknologi pengimejan yang dibangunkan mereka bersama dengan pesaing. Ini bermakna, sensor Sony IMX989 Leica 1″ tidak eksklusif pada peranti Xiaomi sahaja dan turut boleh digunakan pada peranti pesaing.
Kos pembangunan sensor ini adalah $15 juta dan ia dibahagikan sama rata antara Sony dan Xiaomi. Cuma buat masa ini, peranti di bawah siri Xiaomi 12S akan terhad pada pasaran China sahaja dan hanya selepas peranti ini barulah teknologi kamera Leica ini akan digunakan pada peranti pesaing.