Cari @ Amanz

Bulan lepas, terdapat dokumen FCC yang tertiris menyatakan OnePlus ingin menjenamakan semula peranti Oppo sebagai peranti mereka sendiri. Dokumen ini mendedahkan peranti pilihan OnePlus adalah Oppo A57 4G untuk diubah ke peranti kelas asas baharu mereka.

Dalam maklumat yang ditemui oleh Gizmochina beberapa minggu lepas, peranti OnePlus ini mungkin akan diberi nama sebagai OnePlus Nord N20 SE iaitu peranti OnePlus Nord N20 yang lebih mampu milik. Peranti ini baru-baru ini telah disenaraikan di SIRIM, mendedahkan yang OnePlus Malaysia akan menjual peranti ini di Malaysia tidak lama lagi.

Di Malaysia, Oppo A57 4G dijual pada harga RM699. Peranti ini hadir dengan skrin LCD 6.46-inci 60Hz, dijana cip MediaTek Helio G35 dengan memori 4GB RAM dan storan dalaman 64GB eMMC 5.1. Ia juga hadir dengan kamera 13+2 Megapixel, kamera swafoto 8 Megapixel, dan bateri 5000mAh dengan pengecasan 33W.

Dalam pangkalan SIRIM, turut ada senarai untuk beberapa aksesori audio mereka yang sudah dilancarkan di pasaran luar. OnePlus Malaysia turut akan menjual OnePlus Buds Pro, OnePlus Buds Z2 dan OnePlus Nord Buds.

14 Julai nanti, OnePlus akan mengadakan pelancaran peranti OnePlus Nord 2T dan OnePlus Nord CE 2 Lite. Kita nantikan dan lihat jika mereka turut akan melancarkan peranti in ataupun tidak, kerana ingin tahu identiti sebenar peranti OnePlus Nord N20 SE ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd