Carian
Rekaan ASUS Zenfone 9 Tertiris – Skrin 5.9-Inci, Snapdragon 8+ Gen 1 Dan Kamera Gimbal
July 7, 2022 Effi Saharudin

Sebelas tahun yang lalu Samsung Galaxy Note dilancarkan dengan skrin 5.3″. Ia menjadi bahan jenaka kerana skrin peranti dikatakan terlalu besar untuk digunakan serta sukar dimasukkan ke dalam kocek. Tetapi di tahun 2022, sukar sekali mencari peranti dengan skrin bawah 6.5″ apatah lagi 5.3″.

Bagi pengguna Android yang masih inginkan telefon pintar dengan skrin kecil, ASUS Zenfone 9 adalah untuk anda dan hari ini rekaannya telah tertiris ke arena web menerusi video promosi. Seperti Zenfone 8 tahun lalu, Zenfone 9 dilengkapi skrin 5.9″ 120Hz keluaran Samsung. Walaupun kecil ia akan menggunakan cip Snapdragon 8+ Gen 1 yang cukup berkuasa yang dipadankan dengan bateri 4300 mAh.

Lebih menarik ialah ia dilengkapi dwi-kamera sahaja tetapi salah satunya menggunakan sensor Sony IMX766 lengkap dengan sistem penstabilan gimbal 6-paksi. Ianya turut akan kalis air IP68, masih mempunyai bicu audio 3.5mm dan speaker stereo.

Butang kuasa pada sisi kanan dilengkapi pengimbas cap jadi dengan sistem Zen Touch yang membolehkan skrin ditatal menggunakan permukaan butang kuasa. Harus dikatakan pakej Zenfone 9 ini amatlah menarik dengan ciri-ciri menarik dalam pakej kompak.

Komen