Richard Yu – Huawei Dan Apple Akan Mendominasi Pasaran Jika Tiada Sekatan Perdagangan
Effi Saharudin
Sudah tiga tahun Huawei dimasukkan ke dalam Senarai Entiti Amerika Syarikat yang mengakibatkan mereka tidak lagi dapat mengakses teknologi terkini dan juga GMS yang amat perlu untuk pasaran Android luar China. Ketika halangan perdagangan dikenakan, Huawei sudah semakin hampir memintas Samsung sebagai pengeluar telefon pintar terbesar dunia.

Dalam sebuah temubual yang dilaporkan di IT Home, Richard Yu ketua pegawai eksekutif peranti mudah alih Huawei dipetik berkata dunia telefon pintar sekarang pastinya berbeza jika mereka tidak dikenakan sekatan. Menurut Yu, pasaran telefon pintar global akan didominasi oleh Huawei dan Apple. Pengeluar lain termasuk dari Korea Selatan yang bermaksud Samsung hanya akan memasarkan peranti mereka di A.S dan Korea Selatan sahaja.
Pendapat beliau ini adalah sedikit mengejutkan kerana seakan memperkecilkan kemampuan Samsung yang masih lagi merupakan pengeluar telefon pintar nombor satu dunia sepanjang 2021.

Tidak dapat dinafikan bahawa Huawei memang di landasan yang betul untuk memintas Samsung pada tahun 2018 sebelum sekatan dikenakan. Tetapi untuk mengatakan Samsung tidak akan menjadi dua pengeluar telefon pintar terbesar dunia mungkin adalah tidak tepat kerana mereka mempunyai kekuatan tersendiri pada teknologi kamera, perkakasan dan lebih penting sekali sokongan perisian Android paling lama – sehingga 4 versi Android – berbanding pengeluar lain.
Kita hanya boleh berspekulasi apakah yang akan terjadi jika Huawei tidak memasuki senarai entiti. Tetapi sejak Huawei tidak lagi menjadi kuasa besar, vakum yang ditinggalkan diisi oleh Xiaomi yang mencanak naik jualannya. Dengan kerjasama Leica baru-baru ini, kemungkinan besar Xiaomi yang akan akhirnya memintas Samsung dan bukannya Huawei.
[sumber] Sumber- IT Home [/sumber]