Dalam dunia telefon pintar terdapat tiga kelas pengeluar. Pengeluar premium yang boleh meletakkan apa sahaja harga pada peranti yang dijual dan ia tidak akan menerima rungutan dari peminat. Apple, Huawei dan Samsung menduduki strata tertinggi ini.
Kemudian di kelas kedua ialah pengeluar dari China yang beberapa tahun yang lalu mempunyai reputasi murahan tetapi masih berbaloi dan kini ingin melonjakkan diri ke tahap pertama. Oppo, Vivo, dan Xiaomi adalah tiga contoh terbaik dari kelas ini.

Kelas ketiga ialah jenama yang kurang ternama yang masih setahun jagung seperti Infinix. Pengeluar dalam kelas ini memenuhi keperluan pengguna yang tidak mampu berbelanja lebih tanpa sebarang impian untuk menjadi lima pengeluar peranti terbesar dunia.
Xiaomi sejak tiga tahu yang lalu tidak merahsiakan impian untuk menjadi pengeluar telefon pintar nombor satu dunia. Siri Ultra mereka adalah antara peranti dengan teknologi terkini tetapi berdasarkan komen pembaca kami melihat tidak ramai yang memandang serius dengan “Si Beras Kecil” kerana mereka membina nama sebagai jenama peranti mampu milik.

Apabila mereka melancarkan Xiaomi 12 di Malaysia tahun ini, ramai juga merungut kerana peranti tidak lagi ditawarkan pada “harga Xiaomi”. Rungutan ini berasas kerana sebelum OnePlus menggelar diri mereka pembunuh peranti mercu, Xiaomi lebih awal menawarkan peranti mercu mereka pada harga yang amatlah murah.
Reputasi ini sebenarnya menjadi batu penghalang kepada usaha Xiaomi untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan Apple, Huawei dan Samsung. Pengguna mereka selama ini membeli peranti kerana harga dan bukannya untuk status sosial. Tidak pernah lagi kami jumpa peminat mereka yang meminta supaya peranti mercu premium mahal ditawarkan oleh Xiaomi.

Hakikatnya ialah untuk menjadi jenama yang disegani, Xiaomi perlu menarik perhatian pengguna Apple, Huawei dan Samsung. Dari pengamatan dan data yang pernah dikongsi sebelum, peminat setia Huawei ramai berpindah ke Honor bagi memenuhi keperluan peranti mercu dengan sokongan 5G. Pengguna Samsung ramai juga berpindah ke Apple bagi mendaki strata sosial.
Majoriti pengguna Apple tidak akan berpindah ke Apple kecuali mereka tidak lagi mampu membeli iPhone kerana masalah kewangan atau dalam kes terpencil membeli Galaxy Z Fold3 kerana ia adalah peranti flex yang lebih mewah berbanding model terkini iPhone.

Ikhlas kami katakan tidak pernah berjumpa seorangpun pengguna dari Triniti Hebat ini yang berpindah ke Xiaomi kerana merasakan Xiaomi menghasilkan peranti yang dirasakan lebih baik. Jika anda pernah jumpa sila nyatakan di ruang komen kerana ia sangat jarang-jarang sekali seperti teka-teka Nujum Pak Belalang. Oleh itu pengumuman kerjasama antara Xiaomi dan Leica minggu ini bakal mengubah situasi ini.
Kenapa kami katakan begini ialah dengan melihat bagaimana trajektori Huawei berubah selepas bekerjasama dengan Leica pada tahun 2017. Lompat masuk ke dalam DeLorean Marty McFly sekarang dan cuba ingat semula sama anda tahu nama peranti yang Huawei wujud sebelum Huawei P9 dengan lensa Leica dilancarkan. Jika jawapan anda ialah Nexus 6P anda sebenarnya mengesahkan sahaja teori kami bahawa Huawei tidak begitu dikenali ramai sehinggalah melakukan kolaborasi dengan jenama lebih ternama dan dalam kes ini Google.

Kami bernasib baik kerana bergelumang dalam dunia teknologi sejak tahun 2005. Semasa Huawei mula melancarkan telefon pintar mereka di Malaysia, wakil mereka yang berterima kasih kepada media kerana sudi membuat liputan. Jenaka yang kerap didengari pada zaman awal Huawei ini ialah tidak ramai tahu bagaimanakah untuk menyebut nama syarikat dengan betul.
Sebagai antara negara terawal menerima peranti Huawei di luar China, Malaysia dilihat cukup penting sehingga Richard Yu hadir sendiri melancarkannya di negara kita.Di kalangan peminat teknologi, Huawei ialah jenama yang lebih sinonim dengan modem Internet yang digunakan oleh Streamyx.
Pasca Huawei P9, semuanya berubah. Di Malaysia sahaja 250,000 unit peranti ini berjaya dijual. Jumlah yang besar bagi Huawei pada waktu tersebut. Pujian diberikan kepada Huawei kerana sistem dwi-kamera P9 menawarkan lensa monokrom yang jarang sekali ditawarkan pada waktu tersebut. Rakaman gambar ala-Leica boleh diambil dan ia bukan sekadar gimik kerana lensa Summarit Leica digunakan.

Kerjasama antara kedua-dua syarikat pada waktu tersebut menarik perhatian peminat fotografi dan juga telefon pintar pada waktu yang sama. Secara peribadi kami terkejut dengan color science P9 yang amatlah terang, tajam dengan warna yang cukup hidup. Berbeza sekali dengan Apple yang mementingkan “keaslian” dan Samsung pula meningkatkan warna secara melampau.
Prestij jenama Huawei semakin meningkat dengan setiap peranti siri P dan Mate baharu dengan lensa Leica dipasarkan. P30 Pro misalnya mengejutkan dunia dengan mod malam dan sistem zum terbaik pernah dilihat pada sebuah telefon pintar. Sehingga sekarang kami merasakan kualiti kamera Huawei P30 Pro masih lagi mampu bersaing dengan peranti lebih baharu. Pengalaman peribadi kami ialah sekitar tahun 2019, ramai ahli keluarga mula bertanya sama pada peranti Huawei berbaloi dibeli ataupun tidak. Jenama mereka sudah cukup terkenal sehingga ke pelosok kampung.

Huawei melonjak menjadi pengeluar kedua terbesar dunia dengan ia hampir memintas Samsung dalam masa beberapa tahun sahaja selepas bekerjasama dengan Leica. Impian menjadi pengeluar telefon pintar nombor satu dunia ini musnah selepas Huawei dikenakan halangan perdagangan oleh Amerika Syarikat tiga tahun lalu.
Xiaomi kini sudahpun selesa sebagai pengeluar telefon pintar ketiga terbesar dunia. Dicapai tanpa sebuah peranti mercu premium sebenar. Kelemahan peranti Xiaomi sejak dari awal ialah prestasi kamera yang masih belum di tahap Apple, Huawei dan Samsung. Dengan Huawei kini seperti hidup menggunakan ventilator, masanya telah tiba untuk Xiaomi mengambil alih tempat mereka di kelas teratas.

Xiaomi 12 Ultra dijangka akan dilancarkan sekitar Julai dengan lensa dan perisian yang dibangunkan bersama Leica. Kami yakin bahawa ini ialah pemangkin terakhir yang diperlukan untuk melonjakkan jenama Xiaomi ke stratosfera. Dalam masa setahun sahaja lagi tidak mengejutkan jika Xiaomi akan menjadi pengeluar telefon pintar nombor satu dunia seperti yang telah mereka impikan.
Dengan sistem kamera yang akan setanding dengan yang mampu ditawarkan Apple dan Samsung, kami hanya memohon supaya kelemahan kedua Xiaomi pula diperbaiki selepas ini. Baiki isu-isu yang sudah berlarutan untuk tempoh yang lama pada MIUI Global dan jangan lupa untuk memberikan sokongan kemas kini sehingga lima tahun.