Netflix hari ini mengumumkan pelan dengan sokongan iklan mereka akan menggunakan teknologi pengiklanan dari Microsoft di peringkat global. Microsoft dipilih kerana mereka mampu menawarkan fleksibiliti dalam pengiklanan kepada pelanggan tetapi pada waktu yang sama masih mempertahankan privasi mereka.
Pelan Netflix dengan sokongan iklan disahkan oleh CEO Ted Serrandos di festival Cannes Lion pada bulan lalu. Pelan akan menyasarkan golongan yang merasakan langganan paling murah mereka masih terlalu mahal dan tidak kisah jika terdapat iklan untuk mengurangkan kos kepada mereka.
Tahun ini jumlah pelanggan Netflix berkurangan kerana persaingan dari platform penstriman lain serta dunia sudah kembali terbuka selepas pandemik. Trend penurunan dilihat di Eropah dan Amerika tetapi tidak di Asia. Oleh sebab itu tumpuan yang lebih banyak akan diberikan kepada kandungan Asia oleh Netflix di bawah pelan pemulihan mereka.