Nothing Phone (1) sudah pun rasmi dilancarkan beberapa hari lepas. Peranti ini hadir dengan rekaan panel belakang lutsinar, mempunyai sistem LED Glyph yang unik, dijana cip Snapdragon 778G+, skrin OLED 120Hz dan kamera 50MP. Nothing di Malaysia turut menawarkan pelbagai pilihan aksesori seperti pengecas 45W, kerangka pelindung dan pelindung skrin.
Nothing Phone (1) turut akan dijual di Malaysia dalam masa terdekat ini. Semasa hari pelancaran, mereka menyenaraikan peranti warna putih dengan pilihan memori 8/256 GB pada harga RM2,399, 12/256 GB pada harga RM2,699 dan pilihan warna hitam yang turut mempunyai variasi 8/128 GB tanpa harga.

Semakan kami di laman Nothing baru-baru ini memperlihatkan Nothing hanya akan menjual Phone (1) dengan variasi 8/256 GB sahaja untuk kedua-dua warna. Penyenaraian 8/128 GB dan 12/256 GB tidak lagi kelihatan. Ini mungkin kerana permintaan peranti ini agak tinggi di seluruh dunia, dan mereka kekurangan stok atau mungkin 12/256 GB peranti kelas pertengahan berharga RM2700 agak tinggi.
Tiada pengesahan yang diberikan oleh mereka, tetapi jika Nothing Malaysia mengikut jualan umum yang sama dengan Eropah – peranti ini mungkin akan dijual pada 21 Julai nanti. Sama-sama kita nantikan.