Nothing Phone (1) sudah pun rasmi dilancarkan beberapa hari lepas. Telefon pintar ini hadir dengan skrin OLED 120Hz, dijana cip Snapdragon 778G+, mempunyai panel belakang dengan sistem LED Gyph yang unik, kamera 50MP dan menjalankan sistem operasi Nothing OS berasaskan Android 12 dengan empat tahun kemaskini.
Peranti sudah disahkan akan dijual di Malaysia secara rasmi pada harga RM2,399 untuk 8/256 GB dan RM2,699 untuk 12/256 GB. Kedua-dua warna hitam dan putih akan boleh dibeli di Malaysia, dengan warna hitam ada pilihan 8/128 GB yang masih tiada harga. Walaupun harga sudah didedahkan dan butiran kerjasama mereka dengan Crossover juga disahkan, tarikh pelancaran rasmi dan tarikh jualan tempatan masih belum diberitahu lagi.
Hari ini, 14 Julai 2022 ketika artikel ini sedang ditulis – Nothing Phone (1) dengan nombor model Nothing A063 telah disenaraikan dalam laman SIRIM. Ini bermakna, pelancaran peranti ini untuk pasaran tempatan sudah semakin hampir. Jika Nothing Malaysia mengikut jualan Eropah, ia mungkin akan dijual secara terbuka pada 21 Julai nanti.
Adakah anda akan cuba mendapatkan peranti ini atau langkau?