Ulasan Sonicgear StudioBox-2-HD – Speaker Kecil Bergaya Untuk Semua

Diterbitkan pada July 27, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Di rumah kami mendengar muzik menggunakan sebuah soundbar di ruang tamu. Tetapi kadang kala kami ingin mendengar muzik di dalam bilik dan soundbar terlalu besar untuk diubah kedudukannya dengan mudah. Speaker mudah alih seperti Huawei Sound Joy yang diulas beberapa minggu lalu adalah mudah alih tetapi audio yang dikeluarkan pula tidak cukup lantang.

Maka kami tercari-cari sebuah speaker mudah alih di rumah yang boleh menawarkan kemampuan audio yang baik dan pada waktu yang sama dijual pada harga yang mampu milik. Jawapan kepada pencarian kami ini mungkin Sonicgear StudioBox-2-HD.

Spesifikasi

Sonicgear StudioBox-2-HD
JenisSpeaker Stereo Kompak
Pemandu1x pemandu 50W
2x Tweeter 10W
Port I/O1x Optikal masuk
2x RCA
CODECSBC
Sistem operasi disokongSemua
Sokongan pembantu mayaTiada
Pad sesentuhTiada
BluetoothBluetooth 5.0
Bicu Audio AUXTiada
NFCTiada
Harga Jualan RM 499

Rekaan speaker ini ialah mirip sebuah radio retro klasik atau sebuah amplifier gitar elektrik. Bahagian atas dan tapaknya diperbuat daripada kayu dengan kemasan dua warna iaitu walnut dan mahogany. Di antara kedua-dua warna ini kami lebih tertarik dengan warna mahogany kerana ia nampak lebih segak dan mewah.

Bahagian penutup pemandu audio utama 50W dan sepasang tweeter 10W pula diperbuat daripada fabrik yang memberikannya sentuhan retro yang popular beberapa dekad yang lau sebelum kini digantikan dengan kekisi plastik pada speaker lebih moden. Bahagian belakang dan sisi pula diperbuat daripada bahan ABS yang tidak berkilat membuatkannya tidak memerangkap kotoran dengan mudah.

Di bahagian atas terdapat tiga tombol berputar, dan satu suis kuasa yang juga merangkap sebagai suis mengubah mod speaker. Tiga tombol fizikal adalah untuk mengawal kelantangan audio, bass dan treble. Keupayaan mengubah tahap bass dan tweeter terus menggunakan tombol adalah menarik kerana pada kebanyakan speaker sekarang ia hanya boleh diubah menggunakan perisian equaliser.

Dari segi rekaan ia mengingatkan kami kepada siri speaker bluetooth dari Marshall yang turut mempunyai rekaan seakan kotak dan butang kawalan fizikal di bahagian atas.

Di belakang terdapat input untuk sambungan menggunakan kabel optikal dan juga dua saluran RCA. Ya RCA ini bukan typo. Sonicgear StudioBox-2-HD bukan sahaja komited menggunakan rekaan retro tetapi turut menyokong sambungan aksesori menggunakan I/O yang semakin dilupakan ini. Amat berguna bagi mereka yang masih mempunyai pemain piring hitam atau konsol PlayStation 2 yang memerlukan sambungan RCA.

Tetapi aneh sekali tiada pula sambungan untuk bicu audio 3.5mm. Apple, Samsung dan Xiaomi membuang bicu audio 3.5mm pada telefon pintar mereka atas sebab keperluan teknologi. Apa pula alasan Sonicgear untuk tidak menyertakan input yang paling asas ini sedangkan mereka tiada isu memberikan sokongan dua saluran RCA. Ketiadaannya adalah agak dikesali oleh kami.

Jika peranti anda tiada output optikal atau RCA, sambungan menerusi bluetooth 5.0 boleh dilakukan. Berita baik di sini ialah Sonicgear memberikan sebuah kabel 3.5mm ke RCA secara percuma dengan setiap pembelian.

Sambungan kuasa pula adalah menerusi kabel coax yang membekalkan kuasa sekitar 38W menerusi sebuah palam berkepala tiga pin. Kabel kuasa ini disertakan dengan setiap pembelian dengan ia sepanjang sekitar 2 meter.

Tiada lampu LED yang membuatkan speaker berkelip seperti disco, tiada sistem mikrofon yang membolehkan ia digunakan untuk menyeru pembantu maya dan tiada sokongan sebarang sistem internet benda yang memakan data internet di rumah. StudioBox-2-HD hanyalah sebuah speaker asas.


Penggunaan

Penggunaan speaker ini adalah cukup mudah. Tiada aplikasi perlu dimuat turun dan seperti kami katakan di atas tahap kekuatan audio, treble dan bass semuanya dikawal menggunakan butang berputar analog. Hidupkan sahaja speaker dan tukar ke mod bluetooth menerusi suis pilihan mod. Apabila lampu bertukar ke warna biru, speaker akan dapat dilihat dalam senarai peranti bluetooth yang boleh disambungkan kepada telefon pintar, tablet dan komputer yang dimiliki.

Untuk mengubah kepada mod RCA atau optikal pula, gerakkan suis pilihan mod. Biru muda untuk RCA 1, oren untuk RCA 2 dan putih untuk optikal. Jika lampu bertukar ke warna merah pula, speaker dalam mod standby menanti untuk disambungkan kepada peranti pilihan.

Sebagai insan yang mengulas pelbagai aksesori audio di Amanz, kami amat menghargai betapa mudahnya menggunakan speaker ini. Tidak perlu sambungan WiFi terlebih dahulu untuk mengaktifkan speaker dan tidak perlu memuat naik aplikasi yang kemudiannya memerlukan akaun didaftarkan. Kadang kala speaker “dungu” sudah mencukupi dalam dunia yang semuanya ingin dipintarkan tanpa sebab yang kukuh.

Kualiti Audio

Kualiti audio adalah sederhana dan memuaskan untuk sebuah speaker berharga sekitar RM500. Hanya menyokong audio 2.0 yang tidak menakjubkan pada tahun 2022. Codec bluetooth yang disokong juga hanya SBC maka tiada ciri tambahan seperti Dolby Atmos atau spatial.

Sungguhpun begitu kualiti audio yang mampu dihasilkan adalah memuaskan bagi sebuah speaker dungu yang mampu milik. Bass kuat dan treble nyaring. Dibantu dengan suis kawalan bass dan treble fizikal yang membolehkan audio ditala secara terus dari speaker semasa dimainkan. Terasa seperti speaker klasik yang kami gunakan di dekad 80an dan 90an.

Sebagai insan yang sudah berusia lebih empat dekad, speaker yang mengembalikan ciri lama ini amat kami suka kerana sudah hampir pupus dengan kawalan audio biasanya memerlukan aplikasi sahaja. Hampir semua jenis genre muzik boleh dimainkan dengan baik.

StudioBox-2-HD walau bagaimanapun kurang sesuai untuk digunakan sebagai speaker yang disambungkan kepada sebuah TV. Audio menjadi sedikit berkecamuk apabila memainkan babak aksi seperti minit-minit pertama Saving Private Ryan.

Kami merasakan di tahun 2022, speaker audio 2.0 tidak lagi memuaskan untuk digunakan untuk menonton kandungan Netflix dan Disney+ Hotstar. Sambungan optikal yang disokong terasa seperti sia-sia sahaja kerana speaker ini tidak mampu menawarkan audio 5.1.


Apa Dalam Kotak

Berikut ialah apa yang diterima dengan setiap pembelian.

  • 1x Sonicgear StudioBox-2-HD.
  • 1x Kabel kuasa tiga pin.
  • 1x Kabel optikal.
  • 1x Kabel 3.5mm ke RCA
  • 1x Manual

Kesimpulan

Bagi mereka yang menari sebuah speaker kompak 2.0 dengan rekaan retro bergaya, Sonicgear StudioBox-2-HD ialah pilihan yang menarik. Ia sangat retro ia mengingatkan kami kepada sepasang speaker PC Sonicgear yang kami gunakan di kolej pada tahun 2001. Memang ia sangat asas tanpa sokongan codec resolusi tinggi seperti AAC atau LDAC. Ia juga dungu kerana tidak boleh menyeru Siri atau Assistant serta tidak mempunyai sokongan aplikasi.

Tetapi kami menyedari kadang kala kita hanya memerlukan sebuah speaker yang baik untuk santai sambil mendengar muzik di rumah. StudioBox-2-HD berfungsi dengan baik dengan prestasi audio yang memuaskan. Dalam dunia yang semakin rumit, StudioBox-2-HD adalah amat mudah digunakan dengan sentuhan analog yang membuatkannya keliatan cukup bergaya.

Sokongan RCA, bluetooth dan sambungan optikal adalah baik tetapi aneh sekali tiada bicu audio 3.5mm. Terlalu aneh kerana speaker bluetooth SonicGear Sonic Shuttle yang kami ulas tahun lalu menyokongnya walaupun dijual pada harga lebih murah dan bersaiz jauh lebih kecil.

Pada harga RM499 speaker ini dijual pada harga yang amat mampu milik dengan penawaran yang kami rasakan berbaloi. Bagi mereka yang mencari speaker kecil yang lantang, bergaya dan mudah digunakan inilah yang menarik untuk dibeli.

Pro

  • Rekaan retro klasik kayu yang amat bergaya.
  • Tombol kawalan analog yang sedap digunakan.
  • Kualiti audio yang memuaskan untuk harga yang dibayar.
  • Sokongan dua input RCA dan optikal.

Kontra

  • Tiada sokongan bicu audio 3.5mm
  • Sekadar speaker 2.0.
  • Tiada ciri-ciri pintar seperti speaker lebih moden.

komen


© Amanz / 2022 Kami