TicWatch Pro adalah jam tangan pintar Wear OS yang cukup hebat. Cip Snapdragon Wear 4100 yang digunakan pada jam ini membantu ia untuk beroperasi dengan baik. Penggunaan dwi-skrin dan mod jimat bateri tersendiri turut membuatkan jam ini antara jam Wear OS dengan bateri paling tahan lama.
TicWatch E3, TicWatch Pro 3 dan TicWatch Pro 3 Ultra masih tidak tahu bila lagi akan menerima kemaskini Wear OS 3.0. Kini, sudah kedengaran yang TicWatch akan hadir dengan jam mercu baharu dengan binaan premium serta rekaan serba baharu.
Jam ini dikatakan akan kekal dengan sokongan NFC, perlindungan IP68, mempunyai GPS, mikrofon dan speaker untuk penggunaan lebih menyeluruh. Jam ini turut akan menyertakan ciri memantau jantung pengguna baharu iaitu IHB untuk degupan jantung tidak sekata dan AFiB untuk pemantauan pemfibrilan atrium jantung. Jam ini turut dikatakan akan mempunyai jangka hayat bateri lebih lama dengan jaminan boleh bertahan sehingga 72 jam.
Qualcomm ada mengacah kehadiran cip baharu untuk jam, mungkin Snapdragon Wear 5100 dan akan digunakan pada jam ini. Jam ini mungkin juga akan menjalankan Wear OS baharu dan menjadi permulaan jam-jam Mobvoi lain mula menerima kemaskini juga.