Ulasan Oppo Pad Air – Tablet Untuk Tugasan Ringan

Diterbitkan pada July 21, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Oppo Pad Air dilancarkan di Malaysia hari ini sebagai sebuah tablet ringan untuk tugasan ringan. Tetapi definisi ringan adalah berbeza-beza antara setiap pengguna. Oleh itu menerusi ulasan ringkas ini kami cuba menjawab apakah limitasi kemampuan Pad Air dan adakah ia masih lagi berbaloi untuk dimiliki dengan pasaran kini dipenuhi pelbagai jenis tablet dengan spesifikasi dan harga yang pelbagai

Spesifikasi Dan Rekaan

Oppo Pad Air
Skrin10.36″ IPS LCD,
1200 x 2000 pixel, 60Hz
PemprosesSnapdragon 680(6nm)
Cip4 X 2.4 GHz Kryo 265 Gold
4 X 1.9 GHz Kryo 265 Silver
Cip GrafikAdreno 610
RAM4 GB LPDDR4X
Muatan Dalaman64 UFS 2.2 (mikro SD 512GB)
Kamera Utama8 Megapixel f/2.0
Kamera Swafoto5 Megapixel f/2.2
Bateri7100 mAh
Pengecasan berwayar 18W
SIM/TelefoniTiada
NFCTiada
Bicu AudioTiada
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanTiada
Harga JualanRM1099 (4/64GB)
RM1299 (4/128GB)

Rekaan tablet ini adalah mirip dengan Oppo Pad yang dilancarkan pada bulan Februari lalu. Skrin rata dengan bezel sederhana tebal, tiada butang home fizikal, sisi yang berkotak dan panel belakang dengan rekaan dwi tona. Salah satu panel belakang ini mempunyai tekstur berombak yang berfungsi sebagai permukaan kasar yang memastikan tablet tidak mudah terlepas dari tangan ketika digunakan.

Skrin adalah sebesar 10.36″ dari keluarga IPS LCD dengan resolusi 1200 x 2000 pixel. Ia juga mempunyai nisbah 5:3 yang agak jarang kami lihat digunakan pada sebuah peranti Android yang secara lazimnya bernisbah 16:9. Teknologi IPS LCD yang digunakan pula adalah agak asas kerana hanya sekadar menyokong 60Hz dan tanpa sebarang sokongan HDR yang kini sudah menjadi perkara lazim pada peranti mudah alih.

Bezel yang sederhana besar mempunyai saiz yang sama pada keempat-empat sisi yang membuatkan peranti kelihatan seimbang. Ianya cukup besar untuk meletakkan jari dengan selesa tanpa ia menghalang kandungan yang ingin ditonton.

Paparan adalah masih memuaskan sekiranya tablet digunakan di dalam rumah dengan warna yang terang dan skrin juga masih lagi tajam. Kekurangan hanyalah apabila digunakan di luar rumah, cahaya matahari yang terik boleh membuatkan sedikit sukar melihat apa yang dipaparkan di skrin. Skrin juga mengesan setiap sentuhan dan tatalan dengan baik.

Tubuh diperbuat daripada bahan aluminium dengan sisi yang rata. Rekaan rata kini kembali popular menggantikan rekaan sisi dibulatkan. Pad Air masih lagi selesa dalam tangan ketika digunakan walaupun sisinya berkotak. Tiada isu digunakan pada kedudukan menegak atau mendatar. Seperti yang kami katakan beberapa perenggan di atas, tekstur berombak di panel belakang membuatkan amat mudah untuk memegang tablet ini dengan kemas.

Empat speaker diletakkan pada bahagian sisi menyokong audio stereo. Dolby Atmos disokong oleh tablet TETAPI tidak pada speaker yang disertakan. Dolby Atmos hanya boleh digunakan apabila disambungkan kepada aksesori audio. Sambungan bluetooth sahaja boleh dilakukan kerana Pad Air tidak dilengkapi bicu audio 3.5mm. Adalah agak canggung sebuah tablet yang besar tidak dilengkapi bicu audio 3.5mm sedangkan terdapat banyak ruang untuk meletakkannya.

Butang kuasa yang agak besar diletakkan di bahagian atas dan dua butang mengubah tahap kelantangan audio pula diletakkan pada sisi kanan. Ketiga-tiga butang ini diperbuat daripada logam dengan binaan yang kukuh.

Terdapat sebuah talam untuk kad mikro SD sehingga 512GB di bahagian atas tetapi tidak untuk SIM. Tablet menyokong rangkaian WiFI sehingga 5GHz dan tambatan bluetooth 5.1. Melengkapi rekaan peranti ialah port pengecasan USB-C pada bahagian bawah. Peranti juga tidak mempunyai sebarang piawaian kalis air ataupun pengimbas cap jari fizikal. Hanya sistem biometri imbasan wajah sahaja disertakan. Ini mengesahkan Oppo Pad Air ialah sebuah tablet kelas permulaan bagi mereka yang tidak memerlukan pelbagai ciri tambahan.


Penggunaan Dan Perisian

ColorOS 12.1 digunakan dengan ia berasaskan Android 12. Pelancar ini amat digunakan dengan rekaan antaramuka serta ikon yang tidak menyakitkan mata. Jika anda pernah menggunakan peranti Oppo, bayangkan antaramuka yang sama pada skrin yang lebih besar.

Sistem operasi ini dari pengalaman kami adalah cantik dengan pelbagai ciri tambahan diberikan seperti melancarkan dua aplikasi serentak, melancarkan aplikasi pada nisbah skrin berbeza, Smart Sidebar dan banyak lagi. Terdapat juga ciri RAM Extension yang membolehkan 1GB, 2GB dan 3GB RAM ditambah pada peranti secara maya dengan mengambil sebahagian storan UFS 2.2 peranti.

Tiada isu besar untuk memuat turun pelbagai aplikasi popular dar Play Store dan kemudian menjalankannya kerana Snapdragon 680 ialah cip yang agak berkuasa. Netflix misalnya boleh ditonton pada resolusi HD dengan cukup lancar.

Di rumah kami rasakan Pad Air ialah tablet yang sesuai untuk digunakan anak-anak yang bersekolah untuk melihat kerja rumah yang diberikan menerusi Google Classroom, pergi ke kelas tuisyen secara atas talian, dan menjadi pemain video YouTube Kids.

Harus kami akui tablet ini diberikan kepada anak berusia lapan tahun supaya digunakan untuk menonton episod terkini Ejen Ali di Disney+ kerana tidak mahu ia ditonton pada televisyen utama di rumah. Sebagai skrin menonton video, menjalankan permua ringan dan mesin telesidang Pad Air boleh melakukan kesemua tugasan ini tanpa masalah.


Penanda Aras

Oppo Pad Air dilengkapi Snapdragon 680 yang merupakan sebuah cip kelas pertengahan dari penghujung 2021. Ia dilengkapi empat teras Cortex-A73 dan empat lagi teras Cortex-A53. Berikut adalah markah yang dictatatkan Snapdragon 680 dalam ujian penanda aras adalah seperti di bawah.

  • Geekbench 5 – 377/1479 Markah
  • Antutu 3D – 249,784 Markah
  • Wild Life – 445 Markah

Markah yang dicatatkan tidak menakjubkan kerana Snapdragon 680 bukanlah cip kelas mercu, Namun begitu dari pengalaman kami mengulas peranti lain dengan cip yang sama pengalaman penggunananya adalah agak baik tetapi tidak pada Pad Air. Ini adalah kerana Pad Air hanya dilengkapi 4GB RAM. Ini ialah saiz memori yang sangat kecil untuk Android 12.

Selepas hanya membuka empat aplikasi, aplikasi pertama yang cuba dibuka semula menggunakan skrin multi-tugas akan menjalani proses segar semula. Ini mungkin prestasi yang paling kurang memuaskan pada sebuah tablet Android yang pernah kami ulas di Amanz. Untuk menyelesaikan isu ini terdapat cir RAM Expension sehingga 3GB RAM.

Tetapi dengan 7GB RAM sekalipun prestasi tidak begitu membanggakan. Mengambil sebahagian storan untuk RAM maya juga tidak begitu disarankan kerana Pad Air hanya dilengkapi 64GB yang amatlah terhad.

Prestasi permua juga adalah sekadar sederhana. Kami mendapat majoriti permua yang berat seperti COD Mobile dan PUBG Mobile hanya boleh dimainkan pada tetapan sederhana sahaja. Jika ditingkatkan tetapan grafik, kadar FPS akan turut. Sekali lagi Snapdragon 680 bukanlah pemproses kelas mercu maka tidak adil untuk membandingkannya dengan Dimensity 8100 apatah lagi Snapdragon 8+ Gen 1 yang pada waktu ini adalah cip dengan skor tertinggi di Amanz.


Telefoni Dan GPS

Tiada telefoni kerana tiada sokongan untuk talam SIM. Sebaliknya sambungan internet bergantung sepenuhnya menggunakan WiFi sehingga 5GHz. Kelajuan internet adalah pantas apabila ditambat kepada WiFi yang pantas. Fungsi melakukan panggilan video pula adalah baik-baik sahaja kerana kamera 5MP yang digunakan.

Kamera

Dengan hanya satu kamera 8MP di belakang dan 5MP di hadapan, anda pasti boleh mengagak prestasi fotografi ini tidaklah begitu memuaskan. Kamera 8MP adalah dari era telefon pintar sedekad yang lalu. Kamera hanya boleh mengambil gambar yang sederhana baik dalam situasi pencahayaan yang terang. Apabila sedikit mendung atau di dalam rumah dengan lampu dipasang, kesan hingar dapat dilihat dengan jelas.

Dalam situasi pencahayaan yang baik sekalipun gambar tidak begitu tajam dengan penghasilan semula warna yang tidak begitu bermaya. Gambar swafoto juga sama sahaja dengan ia seperti mengalami isu dedahan berlebihan. Kalau digunakan untuk kamera web untuk sesi telesidang pula, hingar dari kamera 5MP adalah agak ketara.

Adakah prestasi kamera pada tablet penting? Ini persoalan yang kerap kami tanya kerana secara peribadi kami merasakan tidak kerana tablet jarang digunakan untuk menghasilkan kandungan media. Berikut ialah beberapa sampel yang sempat kami rakam. Tanpa sensor yang besar dan sistem OIS, gambar yang diambil sekadar sederhana sahaja.


Bateri

Bateri sebesar 7,100mAh memberikan hayat SOT mencecah 8 jam pada penggunaan sederhana manakala tablet juga boleh bertahan sehingga 20 jam dengan sekali caj. Ini adalah hayat penggunaan yang biasa bagi sebuah tablet kelas pertengahan. Hayat bateri akan berkurangan ke sekitar 14 jam jika menstrim kandungan video diselang selikan dengan beberapa sesi aplikasi permua. Pengecasan semula mengambil masa lebih dua jam kerana pengecas hanya mempunyai output maksimum 18W.

Audio

Audio dari empat speaker adalah lantang dan terang walaupun pada tetapan audio yang tertinggi. Kesan stereo dapat didengari dengan jelas kerana jarak antara kiri dan kanan yang mencukupi. Tetapi kerana kedudukan speaker di bahagian sisi, kadang kala lubang audio tertutup dengan telapak tangan lebih-lebih lagi dari kedudukan mendatar.

Sistem audio Dolby Atmos disokong oleh sistem peranti tetapi hanya jika disambungkan kepada aksesori audio luar. Kami tidak tahu mengapa trend ini masih wujud. Jika ingin memberikan Dolby Atmos pastikanlah ia turut boleh digunakan pada speaker yang dibekalkan. Seakan membazir. Ketiadaan bicu audio adalah mengecewakan kerana biasanya pada tablet kelas permulaan ia diberikan.


Pesaing

Oppo Pad AirApple iPad (2021)Realme Pad
10.36″ IPS LCD, 1200 x 2000, 60Hz, (225 PPI)
10.2″, IPS LCD, 1620 x 2160, 60Hz, (265 PPI)10.4″, IPS LCD, 1200 x 2000, 60Hz, (224 ppi)
Snapdragon 680 4G (6nm)
4 X 2.4 GHz Kryo 265 Gold
4 X 1.9 GHz Kryo 265 Silver
Apple A13 Bionic (7nm)
2 X 2.65 GHz Lightning
4 X 1.8 GHz Thunder
Helio G80 (8nm)
2 X 2.0 GHz Cortex A75
6 X 1.8 GHz Cortex A55
Adreno 610Apple GPUMali-G52 MC2
4 GB RAM LPDDR4X3 GB RAM3/4/6 GB RAM
64/128 GB UFS 2.2
MikroSD 512GB
64/256 GB NVMe

32/64/128 GB
Mikro SD 512GB
Kamera Utama
8MP, f/2.0
Kamera Utama
8MP, f/2.4
Kamera Utama
8MP
Kamera Hadapan
5-MP f/2.0
Kamera Hadapan
12-MP f/2.4
Kamera Hadapan
8-MP
Tidak kalis airTidak kalis airTidak kalis air
Tiada bicu audioBicu audioBicu audio
Kuad StereoAudio StereoKuad Stereo
7100 mAh
Berwayar 18W
8557 mAh
Berwayar 20W
7100 mAh
Berwayar 18W
RM1099 (4/64GB)
RM1299 (4/128GB)
RM1499 (3/64 GB)
RM2149 (3/256GB)
RM899 (3/32 GB)
RM949 (3/64 GB)
RM999 (4/64 GB)
RM1199 (6/128 GB)

Dalam Kotak

Berikut ialah apa yang diterima dengan setiap pembelian Oppo Pad Air di Malaysia.

  • 1x Oppo Pad Air
  • 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
  • 1x Pengecas 18W
  • 1x Manual

Kesimpulan

Oppo Pad Air ialah sebuah tablet kelas pertengahan yang menjalankan tugas-tugas biasa dengan baik. Tiada isu dengan pelbagai aplikasi popular kerana Snapdragon 680 adalah cip yang baru berusia sekitar setahun. Terdapat pelbagai ciri disertakan pada ColorOS 12.1 yang membolehkan Pad Air berfungsi dengan baik sebagai sebuah tablet untuk menonton media.

Skrin cukup besar, tajam dan terang lengkap dengan sokongan stylus yang boleh dibeli secara berasingan. Memori 4GB yang disertakan adalah terlalu kecil tetapi boleh ditambah secara maya dengan sistem RAM Exension sehingga 3GB. Tetapi storan peranti hanya 64GB membuatkan pemilik memilih untuk mementingkan prestasi atau storan untuk digunakan. Nasib baik masih terdapat sokongan kad mikro SD sehingga 512GB.

Pada harga jualan bermula daripada RM1099 sebuah, ia masih lagu jatuh ke dalam kategori mampu milik bagi mereka yang mencari tablet untuk kegunaan ringan anak-anak di rumah. Tetapi di pasaran sekarang Realme Pad dengan spesifikasi setanding dijual pada harga yang lebih kompetitif. Jika ingin berbelanja lebih sikit sebuah iPad 2021 boleh dibeli dengan spesifikasi lebih baik. Pilihan di tangan pengguna di luar sana.

Pro

  • Skrin besar, terang, menyokong stylus dan beresolusi tinggi untuk menonton video.
  • Panel belakang bertekstur memudahkan ia dipegang tanpa tergelincir.
  • Kuad speaker mempunyai kelantangan yang memuaskan.
  • Boleh menjalankan pelbagai aplikasi tanpa masalah.
  • Sokongan kad mikro SD sehingga 512GB.
  • Ketahanan bateri yang baik.

Kontra

  • Tiada bicu audio.
  • Versi 4GB RAM tidak begitu lancar tanpa mengaktifkan RAM Extension.
  • Kamera tidak begitu memuaskan.
  • Tiada pengimbas cap jari fizikal.

komen


© Amanz / 2022 Kami