Rekaan Baharu Pesawat Supersonik Boom Overture Diperlihatkan Kini Dengan Empat Enjin

Diterbitkan pada July 22, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Syarikat Boom Supersonic ingin mengembalikan semula pesawat penumpang supersonic (SST) ke awan selepas Concorde menamatkan operasi pada tahun 2003. Sejak projek diumumkan pada tahun 2016, Boom Supersonic telah membina pesawat prototaip skala kecil serta rekaan pesawat Overture yang mampu membawa sehingga 40 orang penumpang.

Di Pameran Udara Farnborough yang berlangsung di UK minggu ini, rekaan baharu Overture diperlihatkan dengan peningkatan saiz yang mendadak. Overture kini boleh membawa sehingga 80 orang penumpang dan kini menggunakan empat enjin berbanding hanya dua sebelum ini.

Sekilas pandang Overture mirip dengan pesawat SST Boeing 2707 yang dihentikan pembangunannya pada tahun 1971. Pesawat menyasarkan kelajuan maksimum Mach 1.7 apabila bergerak di kawasan tidak berpenduduk dan Mach 0.94 di kawasan berpenduduk dengan jarak penerbangan sehingga 4,250 batu nautika.

Turut diumumkan oleh Boom Supersonic ialah kerjasama dengan Northrop Grumman untuk menghasilkan varian untuk tujuan khas ketenteraan. Versi ini akan menawarkan kemampuan logistik segera ke kawasan yang konflik misalnya apabila diperlukan.

Boom Supersonic menyasarkan Overture akan mula dibina pada tahun 2024 dengan ujian penerbangan pertama pada tahun 2026 dan mula membawa penumpang menjelang 2029. Setakat ini hanya United Airlines melakukan tempahan 50 pesawat penumpang.

komen


© Amanz / 2022 Kami