Sepanjang kerjaya saya di Amanz, sudah banyak komputer riba yang saya gunakan. Antara yang banyak saya uji sendiri adalah komputer riba daripada Huawei seperti MateBook, siri MateBook D dan siri MateBook X Pro. Antara kegemaran saya sudah semestinya model X Pro, kerana mempunyai binaan premium, prestasi hebat dan juga pad sesentuh haptik.
Tetapi yang paling membuatkan saya teruja adalah model MateBook 14s. Ia tidak mempunyai rekaan premium seperti X Pro, tetapi skrinnya adalah HDR dengan kadar segar semula 90Hz, mempunyai kamera pada bezel berkualiti dengan sokongan Windows Hello dan tidak tersembunyi pada papan kekunci serta prestasi yang pantas yang saya tidak pernah alami dalam majoriti komputer riba yang saya uji.
Terkini, Huawei telah hadir dengan model baharu iaitu MateBook 16s. Walaupun dalam siri yang sama dengan skrin lebih besar, ia hanya menaiktaraf cip pemprosesan sahaja. Ciri dan fungsi menarik yang saya sukakan pada MateBook 14s telah dibuang pada model ini. Jadi adakah ia satu komputer riba yang menarik dan berbaloi untuk dimiliki?
Spesifikasi & Rekaan
Huawei Matebook 16s | |
---|---|
Skrin | 16″ IPS LCD, 3:2 2520 x 1680 pixel, sesentuh |
Pemproses | Intel Core i7-12700H |
Grafik | Intel Iris Xe |
RAM | 16 GB LPDDR5 |
Muatan Dalaman | 1TB GB NVMe SSD |
Kamera | 1080p |
I/O | 1x USB-C 1x USB-C Thunderbolt 4 2x USB-A 3.2 Gen 1 1x HDMI 2.0 1x bicu audio 3.5mm |
HDMI | Ada |
Pembaca Kad | Tiada |
Sekuriti | Pengimbas Cap Jari |
SIM | Tiada |
Bateri | 84Wh Pengecas pantas 90W USB-C |
Harga Jualan | RM6,799 |
Seperti yang saya katakan tadi, MateBook X Pro mempunyai rekaan yang cantik dan premium – tetapi selain daripada itu tidak. Untuk MateBook 16s ini, ia menggunakan rekaan yang lebih kurang sama dengan MateBook yang lain. Walaupun rekaan yang lebih kurang sama, binaannya adalah lebih kukuh dan tidak mempunyai lenturan pada skrin ataupun pada bahagian papan kekunci. Ini adalah satu bonus, untuk memberi ketahanan pada komputer riba. Paling menarik untuk saya adalah skrin boleh dibuka dengan satu tangan, yang mana banyak komputer riba masih tidak menyokongnya.
MateBook 14s adalah yang pertama menggunakan kamera web pada bezel skrin dan tidak lagi tersembunyi dalam kekunci pada papan kekunci. Ini diteruskan lagi dalam MateBook 16s, yang mana saya sangat sukakannya. Ia lebih masuk akal dengan sudut pandangan kamera bukan menghala ke lubang hidung. Skrin juga hadir dengan bezel nipis yang memberikan pandangan lebih luas dan dengan paparan nisbah 3:2, ia selesa untuk digunakan lebih-lebih lagi untuk saya yang bekerja sebagai penulis.
MateBook 16s seperti namanya sendiri, menggunakan skrin 16-inci dengan resolusi 2560 x 1680 pixel, dijana dengan cip Intel Core i7 -12700H, GPU Intel Iris Xe serta memori 16GB RAM LPDDR5 dan storan dalaman 1TB NVMe PCIe SSD.
Apabila panel bawah dibuka, hanya SSD sahaja boleh digantikan oleh pengguna sementara RAM pula telah dipaterikan ke papan induk. Untuk membuka panel ini juga sedikit sukar kerana memerlukan pemutar skru torx. Sedikit mengecewakan tetapi apa yang dilakukan Huawei ini lebih baik berbanding Apple yang langsung tidak membenarkan penaiktarafan sendiri selepas pembelian kerana kesemuanya dipaterikan ke papan induk.
Ia tidak menyokong nyahkunci wajah Windows Hello, tetapi terdapat pengimbas cap jari yang terbina terus pada butang kuasa berbentuk bulat. Pilhan I/O adalah agak mewah dengan mempunyai port sambungan 1x Thunderbolt 4 USB-C, 1x USB-C untuk pengecasan/output video, 1x HDMI 2.0 saiz penuh, 2x USB-A 3.2 Gen 1, dan bicu audio 3.5mm. Huawei MateBook 16s turut menyokong WiFi 6 dan Bluetooth 5.2. Kekurangan di sini hanyalah tiada pembaca kad memori terbina.
Pengalaman Penggunaan
Tidak banyak komputer riba di luar sana menggunakan skrin dengan nisbah 3:2, Huawei dan Microsoft adalah antara dua jenama yang menggunakannya. Nisbah 3:2 ini adalah sesuai untuk membaca dan menulis, tetapi kurang menarik untuk menikmati hiburan apabila skrin bukan OLED. Huawei juga tidak lagi menyertakan sokongan 90Hz dan HDR yang sebelum ini diberikan pada MateBook 14s.
Sungguhpun begitu paparan warna skrin masih lagi cantik dan cerah serta terasa lancar sungguhpun hanya sekadar 60Hz. Pada komputer riba ketiadaan sokongan 90Hz atau 120Hz tidak begitu dirasakan kerana pengguna tidak melakukan tatalan pantas di skrin seperti yang dilakukan pada skrin telefon pintar misalnya. Ketiadaannya hanya dapat dirasakan pada komputer riba gaming atau anda pernah menggunakan komputer riba dengan kadar segar semula tinggi seperti saya.
Sokongan skrin sesentuh bukanlah satu perkara wajib untuk saya, dan saya jarang menggunakannya. Tetapi ia merupakan satu bonus untuk kawalan tambahan yang lebih mudah dan pantas. Saiz skrin 16-inci juga adalah besar dan membolehkan saya membuka dua perisian serentak dalam dua tetingkap secara sebelah-menyebelah. Ia terlalu besar untuk saya untuk yang sudah biasa menggunakan saiz 14-inci ke bawah, tetapi untuk pengguna lain saya yakin ia adalah satu kebaikan yang boleh dimanfaatkan.
Komputer riba ini sudah semestinya menjalankan sistem operasi Windows 11. Kemudian dijana pula dengan cip Intel Core i7-12700H yang direka khusus untuk penggunaan pada komputer kerja yang intensif. Saya amat berpuas hati dengan kemampuan komputer riba ini pada awal penggunaan.
Dengan 16GB RAM LPDDR5 pula, banyak aplikasi boleh dibuka serentak tanpa mendatangkan isu. Sehingga 20 tab di Chrome boleh dibuka pada waktu yang sama Photoshop dan Premiere Pro di latar belakang. Penggemar multi tugas tidak akan merungut ketika menggunakan 16s.
Saya tidak alami sebarang masalah lengah masa dan prestasi sepanjang beberapa jam penggunaan. Bukan itu sahaja, kipas juga tidak bunyi bising dan keadaan peranti juga adalah suam sahaja dan tidak mengalami masalah pemanasan melampau.
Udara panas dihembuskan ke belakang dengan udara sejuk disedut menerusi kekisi di bahagian tapak. Oleh itu tiada isu terasa panas ketika melakukan kerja. Tetapi pengguna perlu berhati-hati di mana komputer diletakkan. Jika di atas paha misalnya, harus sentiasa sedar tidak tertutup lubang udara di bawah.
Walaupun masih belum mampu menandingi cip Apple M1 atau Apple M2, cip Intel Core i7 generasi ke-12 ini jelas sekali cukup berkuasa dan hebat dalam pengurusan memori dan bagus sekali dalam mengendalikan perisian yang berjalan secara serentak. Bantuan GPU Intel Iris Xe juga tidak dinafikan antara GPU terbina terbaik sejak zaman Intel UHD.
Prestasi Dan Penanda Aras
Komputer riba Huawei MateBook 16s boleh menjalankan beberapa permainan dengan tetapan grafik yang tidak terlampau tinggi. Jika anda ingin menghilangkan rasa bosan dengan bermain permainan seperti pada tetapan 1080p grafik sederhana ia boleh dimainkan pada kadar 30FPS dengan baik. Malah dalam ujian penanda aras, komputer riba ini juga tidak memanas pada tahap yang melampau.
Saya menguji banyak seperti Geekbench 5, PCMark 10, Night Raid, CPU Profile, Time Spy Extreme dan Fire Strike Ultra secara berterusan – kipas hanya bising sedikit sahaja dan itu pun dalam tempoh yang singkat. Suhu peranti juga masih suam dan menaip padanya masih selesa dan tidak rasa aneh. Ujian ini dilakukan di dalam bilik biasa tanpa pendingin hawa, tanpa aksesori penyejuk dan beberapa perisian masih berjalan di latar. Akan tetapi untuk semua ujian ini selesai, peranti ini mengambil masa sekitar satu jam lebih untuk selesai.
Berikut adalah skor yang diperoleh;
- PCMark 10 – 5,599 markah
- Geekbench 5 – 829/7551 markah
- Fire Strike Ultra – 1,356 markah
- CrystalDisk Mark – 3468.29 MB/s membaca, 2879.83 MB/s menulis
Sebagai perbandingan markah Geekbench 5 yang dicatatkan oleh Apple M2 ialah 1891/8736 markah dan Apple M1 pula ialah 1730/7656 markah. Cip Intel Core i7 generasi ke-12 masih belum mampu memberikan persaingan kepada Apple Silicon pada waktu ini.
Papan Kekunci
Saya rasa selesa dengan papan kekunci MateBook 16s ini kerana amat mirip dengan MateBook 14s. Rekaan adalah dari jenis chicklet empat segi dengan ruang antara kekunci yang cukup baik. Huawei melakukan satu perkara yang bagus untuk memastikan pengalaman menaip saya lancar, pantas dan efisien. Paling penting kekunci tidak terlalu keras sehingga menyakitkan hujung jari sehingga mengakibatkan kesilapan ketika menaip. Jarak pergerakan menegak juga cukup baik membuatkan proses menaip artikel panjang seperti artikel ini cukup selesa.
Saya mempunyai pengalaman singkat menggunakan MacBook Air M2 dengan papan kekunci Magic dan pengalaman menaip pada MateBook 16s terasa sama. Perbezaan hanyalah tubuh lebih besar memberikan ruang meletakkan tapak tangan yang lebih selesa dan luas apabila dibandingkan dengan MacBook Air M2 yang haya sebesar 13.6″.
Terdapat sokongan lampu bagi membantu menaip dalam keadaan gelap. Terdapat dua tahap keterangan yang boleh dipilih
Pad Sesentuh
Komputer riba daripada Huawei selalunya mempunyai pad sesentuh yang baik untuk kawalan gestur dalam Windows. Tetapi pada model X Pro yang sebelum ini, mereka mula menggunakan sistem haptik seperti MacBook. Pad sesentuh pada MateBook 16s ini pula memberikan satu pengalaman yang masih baik. Ia lancar, mudah ditekan dan tidak ada masalah pun jika jari berpeluh atau ada sedikit kesan kotoran.
Saiznya juga cukup besar jika dibandingkan dengan pad sesentuh pada komputer riba Windows biasa. Ini memudahkan pengawalan kursor lebih jitu apabila menggunakan aplikasi seperti Photoshop. Pad sesentuh ini cukup baik untuk melakukan suntingan gambar dalam Photoshop tanpa saya menyambungkan sebuah tetikus.
Cuma, untuk klik kanan dan kiri ia kurang memuaskan kerana tidak cukup sensitif. Beberapa kali apabila saya ingin tekan kanan, saya akan tertekan bahagian kiri sehingga sedikit mengganggu penggunaan harian. Hanya selepas beberapa minggu penggunaan barulah saya dapat membiasakan diri dengan pad sesentuh ini.
Pad sesentuh peranti ini turut mempunyai NFC untuk penggunaan Huawei Share, iaitu perkongsian fail antara telefon pintar Huawei terus ke peranti dengan mudah. Ia adalah satu kaedah yang menarik, di samping perkongsian secara nirwayar.
Kamera
Perubahan terbaik ialah pada kedudukan kamera yang kini pada bezel atas skrin bukan tersorok dalam papan kekunci. Rekaan kamera dalam papan kekunci memang menarik serta meningkatkan privasi tetapi hakikatnya ia kurang praktikal. Kamera sentiasa mendongak dari bawah menyebabkan dagu pengguna kelihatan besar ketika menghadiri sesi telesidang. Mujurlah kesilapan ini dibaiki pada 16s.
Kamera dilengkapi sensor 1080p yang menghasilkan gambar yang cerah serta memadai untuk pelbagai situasi. Sudut pandangan kamera lebih mudah diubah dengan hanya mengubah sudut bukaan penutup komputer. Kekurangan hanya tiada lagi Windows Hello yang disebutkan beberapa perenggan di atas kerana ia ciri yang kerap digunakan pada 14s yang digunakan sekarang. Saya juga kembali perlu membeli pelekat untuk kamera web memandangkan ia tidak lagi boleh disorokkan secara fizikal untuk privasi.
Pembesar Suara
Speaker stereo yang ditawarkan adalah jenis stereo yang menghala ke atas dengan ia diletakkan di siri kiri dan kanan papan kekunci. Lokasi ini membolehkan audio terus dipancarkan ke telinga pengguna. Audio yang terang dan lantang dapat didengari tanpa perlu diletakkan pada permukaan keras yang menjadi isu speaker yang diletakkan di bahagian bawah komputer riba.
Audio bukan sahaja lantang tetapi dengan pemisahan instrumen yang jelas. Saya menguji dengan mendengar lagu Glimpse of Us oleh Joji dan Soledad y El Mar oleh Natalia Lafourcade. Kedudukan instrumen dalam pentas bunyi serta pengasingan piano/gitar adalah amat baik.
Bukan setakat itu sahaja pentas audio terasa lebih terbuka jika ingin dibandingkan dengan sebuah MacBook Air M2 yang menerima banyak pujian. Sistem audio pada 16s tidak mengecewakan dan mungkin antara kekuatannya yang paling ketara.
Bateri
Bateri 84Wh boleh bertahan sekitar 6-7 jam dalam penggunaan harian saya yang sederhana berat. Ia adalah untuk melayari pelbagai web, memainkan muzik, mentrim video, menulis artikel, melakukan suntingan foto dan video asas. Tetapi dalam pengalaman saya, jika penggunaan adalah lebih ringan saya yakin ia tidak menjadi masalah untuk mencapai sehingga 9-10 jam sehari.
Pengecasan semula dilakukan dengan pengecas 90W yang disertakan dengan setiap pembelian. Bateri boleh dicas semula sehingga separuh dalam masa 30 minit dan sepenuhnya dalam masa sekitar 80 minit yang amat pantas untuk sebuah komputer riba
Dalam Kotak
Berikut ialah apa yang diterima dengan setiap pembelian peranti di Malaysia.
- 1x Huawei Matebook 16s.
- 1x Pengecas 90W.
- 1x Kabel pengecas USB-C ke USB-C.
- 1x Manual.
- 1x Kad jaminan.
Kesimpulan
MateBook 16s adalah komputer riba kepada pengguna yang inginkan sebuah komputer mudah alih dengan skrin besar. Ia menawarkan satu pakej yang baik dari segi prestasi yang menakjubkan, jangka hayat bateri yang tahan lama, serta binaan kukuh yang ada nilai premium. Tetapi ia bukanlah untuk saya, kerana saya lebih sukakan MateBook 14s yang mempunyai sistem nyahkunci berasaskan wajah dengan Windows Hello yang sangat pantas serta skrin 90Hz dengan paparan HDR yang tiada pada MateBook 16s.
Tetapi sayang sekali komputer riba ini dijual pada harga yang agak tinggi iaitu RM6,799. Ini mungkin kerana penggunaan cip Intel Core i7 -12700H yang banyak digunakan pada komputer riba gaming. Untuk tujuan produktiviti, siri-U sebenarnya sudah memadai. Jika anda lihat pada pesaing, banyak yang ditawarkan pada harga sekitar RM5000.
Tetapi MateBook 16s bersaing dalam kategori yang sama dengan MacBook Pro 16-inci 16GB/1TB serta cip M1 Pro. Model ini ditawarkan pada harga RM 11,599 di Malaysia yang membuatkan harga MateBook 16s tidak kelihatan seperti melampau.
Untuk harga mencapai hampir RM7000 ini, Huawei akan memberikan anda satu pengalaman penggunaan premium bersama dengan ekosistem mereka seperti Super Device yang mesra dengan semua peranti mereka serta Huawei Share. Bukan itu sahaja, setiap pembelian juga mereka akan memberikan pengguna hadiah bernilai RM1700 seperti beg premium, speaker Huawei Joy dan Microsoft Office.
Pro
- Skrin sesentuh boleh dibuka dengan satu tangan.
- Kualiti paparan yang cantik, terang, hidup dan tajam.
- Cip berkuasa dengan saiz RAM yang besar.
- SSD boleh dinaik taraf.
- Papan kekunci yang selesa digunakan.
- Bateri yang tahan lama dengan sokongan pengecasan pantas
- Sistem audio yang amat baik.
Kontra
- Tiada ciri privasi fizikal pada kamera.
- Tiada lagi nyahkunci berasaskan wajah Windows Hello.
- Tiada lagi skrin 90Hz.
- Harga jualan yang agak tinggi berbanding pesaing Windows.