ByteDance Mendaftar Tanda Dagang “TikTok Music” – Ingin Cabar Spotify?

Diterbitkan pada July 28, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Sejak tiga tahun lepas lagi telah kedengaran yang syarikat di sebalik TikTok iaitu ByteDance ingin hadir dengan platform penstriman muzik tersendiri. Mereka kemudiannya dilaporkan telah berbincang bersama beberapa studio rakaman untuk bekerjasama seperti Universal Music, Sony Music dan juga Warner Music.

Platform penstriman muzik ini adalah Resso. Ia terhad di pasaran India sahaja dan untuk keselamatan, Resso diterbit di gedung aplikasi di bawah nama Moon Video Inc. walaupun sebenarnya ia dimiliki oleh ByteDance.

Terkini ByteDance dilihat mungkin bersedia untuk melancarkan platform penstriman muzik secara lebih meluas. Cuma yang mereka akan lancarkan kelak bukanlah Resso, sebaliknya mereka mungkin akan menggunakan nama TikTok Music. ByteDance dilihat sudah pun mendaftar tanda dagang untuk TikTok Music di USPTO untuk pasaran Amerika Syarikat dan tahun lepas sudah didaftarkan di Australia.

Dalam dokumen pendaftaran ini, ByteDance menyenaraikan TikTok Music sebagai satu platform yang membenarkan pengguna beli, main, kongsi dan muat turun muzik bersama dengan sokongan lirik. Dokumen ini turut memberi petanda yang mungkin ada sokongan penstriman video dan sistem komentar.

Buat masa ini masih tidak pasti bila ia akan diperkenalkan dan adakah ia akan dilancarkan secara meluas. Sama-sama kita nantikan lebih informasi daripada ByteDance nanti.

komen


© Amanz / 2022 Kami