Carian
Ulasan Lenovo Legion 5i Pro – Rekaan Kemas Prestasi Ganas
September 3, 2022 Effi Saharudin

Komputer riba gaming beberapa tahun yang lalu mempunyai rekaan agresif dengan sirip penyejuk tajam seakan tubuh Megatron dan dipenuhi lampu LED yang membuatkannya kelihatan seperti sebuah kelab malam mini di atas meja. Saya antara golongan minoriti yang kurang menggemari rekaan agresif ini kerana membuatkan ia sukar digunakan untuk tujuan kerja di pejabat atau di kedai kopi di hujung minggu.

Lenovo menyedari hakikat ini dan mula menawarkan komputer riba gaming mereka dengan rekaan yang lebih sederhana. Sekilas pandang ia nampak seperti sebuah komputer kerja biasa tetapi komponen dalamannya cukup ganas untuk menjalankan Crysis.

Lenovo Legion 5 Pro baru sahaja dilancarkan di Malaysia selepas diumumkan di CES Januari lalu sekali lagi dengan rekaan yang tidak memberikan sebarang petanda jelas ia sebuah komputer gaming berprestasi tinggi. Tetapi adalah ini komputer gaming kemas dengan prestasi ganas yang dinantikan selama ini?

Lenovo Legion 5i Pro
Skrin16″ WQXGA, (2560 x 1600 pixel)
IPS LCD, 165Hz,
DisplayHDR 400, Dolby Vision,
NVIDIA G-SYNC
CPUIntel Core i7-12700H Gen-12
GPUNVIDIA GeForce RTX 3060 6GB GDDR6
RAMsehingga 32GB DDR5 4800 MHz
Muatan Dalamansehingga 1TB M.2 PCIe Gen4 
Kamera Utama720P
I/O1x USB-C Thunderbolt 4
2x USB-C 3.2 Gen 2
3x USB-A 3.2 Gen 1
1x RJ45
1x HDMI
1x bicu audio 3.5mm
Bateri80 Wh
Pengecasan 300W
SIM/TelefoniTiada
WiFi802.11a/b/g/n/ac/6e
Bicu AudioYa
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanTiada
Harga JualanBermula RM6692.10

Skrin

Skrin besar 16″ dari jenis IPS LCD menyokong resolusi WQXGA dengan kadar segar semula sehingga 165Hz lengkap dengan sokongan NVIDIA G-SYNC. Ini ialah spesifikasi yang tidak mengecewakan bagi sebuah komputer gaming. Skrin turut mempunyai kemampuan memaparkan kandungan DisplayHDR 400 dan Dolby Vision. Kandungan HDR dari Netflix, Disney+ Hotstar dan Prime boleh dinikmati tanpa sebarang isu.

Tiada sokongan sesentuh tetapi ciri ini memang jarang sekali ditawarkan pada sebuah komputer gaming. Bagi yang inginkan skrin dengan kadar segar semula yang lebih tinggi, Lenovo turut menawarkan pilihan panel 240Hz dan terdapat juga pilihan panel FHD+ sahaja bagi mereka yang tidak memerlukan resolusi yang tinggi.

Permainan video serta kandungan media dipaparkan warna yang baik pada skrin ini. Sudut pandangan juga memuaskan dengan tiada perubahan warna yang besar apabila dilihat pada sisi. Skrin juga boleh dibuka sehingga sudut sehingga sekitar 110 darjah maka pemilik boleh mencari sudut paling sesuai ketika dalam sesi permainan video mereka.

Skrin dengan nisbah 16:10 adalah memuaskan untuk menonton kandungan video tetapi lebih serasi untuk mereka yang banyak menghasilkan kertas kerja. Dengan sokongan resolusi tinggi, imej kelihatan tajam dan tidak menyakitkan mata selepas sesi permainan video yang panjang.

Rekabentuk

Tiada perubahan rekabentuk berbanding Legion 5i Pro tahun lalu kerana hanya komponen sahaja diubah. Ini bermakna komputer riba ini tidak ketara adalah dari jenis gaming kerana tiada sistem lampu pada bahagian penutup atau sisi. Malahan sirip penyejuk pada bahagian sisi dan belakang tubuh komputer riba ini berjaya disorokkan dengan menggunakan warna hitam sepenuhnya.

Falsafah rekaan Lenovo pada Legion 5i Pro ialah seperti sebuah pesawat tempur stealth yang berjaya menyorokkan identitinya dengan sekali pandang. Bagi mereka yang tidak mahu kelihatan terlalu ketara memiliki sebuah komputer riba gaming, rekaan Legion 5i Pro akan memenuhi keperluan anda. Dengan ini ia masih boleh dibawa ke tempat kerja tanpa kelihatan terlalu ketara.

Kerana rekaan dikitar semula, terdapat 1x USB-C Thunderbolt 4 dan 1x USB-C 3.2 Gen 1 pada sisi kiri. Di sisi kanan pula terdapat 1x USB-A 3.2 Gen 1, 1x bicu audio 3.5mm dan 1x butang ThinkShutter. Di belakang pula terdapat 1x USB-C 3.2 Gen 2, 2x USB-A 3.2 Gen 1, 1x RJ45, 1x HDMI, dan 1x input kuasa berkepala empat segi Lenovo.

Pilihan I/O yang diberikan adalah cukup mewah bagi mereka yang ingin mengubah Legion 5i Pro sebagai sebuah desktop pelbagai aksesori peranti input boleh disambung tanpa menggunakan sebarang penyesuai. Untuk port belakang, terdapat ikon yang boleh dilihat dari atas untuk memudahkan sambungan dicari tanpa komputer riba diangkat. Inovasi Lenovo ini sudah lama kami gemari tetapi belum menjadi ciri standard pada komputer riba seluruh industri.

Dua lubang penyedut udara diletakkan pada sisi kanan dan kiri. Udara panas kemudiannya dihembus ke belakang menerusi dua lohong ekzos udara. Dengan rekaan ini tidak akan timbul isu udara panas dihembus ke arah tubuh pengguna. Terdapat juga kekisi udara di bahagian bawah bagi memastikan terdapat pengudaraan yang mencukupi untuk sistem penyejukan Coldfront 4.0.

Kamera web diletakkan pada bezel atas skrin dan ia tidak mengganggu kerana berjaya disorokkan dengan baik. Tiada sokongan sistem pengecaman wajah Windows Hello dan juga tiada pengimbas cap jari. Dari segi sekuriti pengguna hanya perlu berpuas hati dengan sistem pin dan kata laluan. Bagi yang mementingkan privasi, butang fizikal ThinkShutter mematikan kamera web ini terletak di sisi kanan seperti yang kami katakan beberapa perenggan di atas.

Dengan tubuh plastik berwarna kelabu dan hitam, Legion 5i Pro memerangkap kotoran dengan cukup mudah. Semasa ingin mengambil gambar produk, kami perlu mengelap dengan teliti kerana walaupun selepas digunakan seminggu permukaan menjadi kotor dengan pantas.

Papan Kekunci

Papan kekunci adalah dari jenis Smiley yang turut digunakan pada komputer riba Ideapad. Ia adalah dari keluarga Legion TrueStrike yang mempunyai jarak pergerakan menegak 1.5mm yang sama dengan yang ditemukan pada ThinkPada Z16 yang baru kami ulas tempoh hari. Proses menaip adalah sungguh selesa dengan terdapat juga kekunci NumPad disertakan sekali. Butang Ctrl dan Func juga pada kedudukan normal di model yang kami ulas.

Tetapi ini sebuah komputer gaming. Bagaimana pula menggunakan kekunci ini untuk permainan video. Harus kami katakan kami sudah agak berusia jadi pergerakan jari kami tidak akan setanding dengan atlet esukan Korea Selatan dalam Starcraft II. Tetapi dalam sesi ujian yang telah dilakukan menggunakan permainan FPS Call of Duty dan RTS klasik Tiberian Dawn tiada isu kekunci tidak dikesan ataupun kurang jitu. Suis kekunci terasa teguh apabila ditekan walaupun ditekan dengan agresif semasa diulas.

Sistem lampu RGB Legion Spectrum dengan empat zon disertakan sekali. Terdapat pelbagai mod boleh dipilih dengan warna bertukar secara berombak, berkelip-kelip dan mengikut aksi di skrin. Pilihan warna sendiri juga diberikan bagi mereka yang inginkan kustomasi. Secara iklasnya kami mematikan sahaja sistem lampu kerana agak mengganggu konsentrasi.

Pad Sesentuh

Pad sesentuh tidak begitu besar tetapi memadai untuk melakukan tugasan asas. Gestur Windows asas disokong sepenuhnya. Ini bukanlah pad sesentuh yang terbaik pernah digunakan kerana permukaannya plastik dan tekanan butangnya adalah agak lembut. Dari segi ketepatan tatalan ia sekadar memuaskan sahaja. Pad sesentuh pada komputer gaming adalah seperti tayar kelima yang disimpan dalam kereta memandangkan ia tidak begitu digunakan ketika sesi permainan video. Jarang sekali kami melihat golongan gamer menggunakan pad sesentuh ketika sesi permainan video mereka.

Penggunaan Dan Penanda Aras

Di Malaysia hanya CPU Intel Core i7-12700H Gen-12 ditawarkan dengan ia dipadankan dengan memori sehingga 32GB RAM DDR5 dan storan sehingga 1TB M.2 PCIe Gen4. Aneh sekali tiada pilihan untuk CPU Intel Core i9 dan storan sehingga 2TB seperti pada model luar negara. Pilihan GPU lebih pelbagai iaitu NVIDIA GeForce RTX 3050 Ti, RTX 3060 dan RTX 3070 Ti. Model yang diulas dipadankan dengan 16GB RAM, storan 512GB dan GeForce RTX 3060 6GB GDDR6 yang berada di tengah-tengah.

Storan yang digunakan amat pantas dengan kelajuan membaca mencecah 13 GB/s dan kelajuan menulis pula mencecah 10.3 GB/s. Ini adalah antara SSD yang terpantas pernah kami lihat di makmal Amanz.

Dalam ujian Fire Strike Extreme dan Time Spy Extreme, markah yang dicatatkan adalah lebih tinggi daripada purata komputer riba gaming lain di pasaran. Dalam ujian yang kami lakukan, permainan boleh dimainkan pada tetapan sederhana tinggi dan resolusi 1440P. GPU RTX3060 tidak boleh mempunyai kuasa yang penuh untuk menjalan permainan video pada tetapan paling tinggi pada waktu ini. Asalkan tetapan tidak diletakkan pada tahap paling tinggi, Legion 5i Pro boleh menjalankan banyak permainan video pada kadar bingkai stabil 60 FPS.

Apabila pada mod kuasa tinggi, kipas pada Legion 5i Pro mula kedengaran agak bising sehingga boleh menenggelamkan bunyi speaker. Kami mempunyai sepasang fon kepala gaming tanpa ANC dan kadar kala bunyi masih mampu menerjah telinga. Hanya selepas menukarnya dengan fon kepala Sony WH-1000XM5 kami dapat menghalang deruman kipas dari mengganggu sesi permainan kami.

Kami katakan bahawa Legion 5i Pro mempunyai rekaan tubuh yang tidak begitu garang dan papan kekunci yang baik membolehkannya digunakan sebagai komputer kerja. Dalam ujian PCMark10 ia mencatatkan 6996 markah yang lebih tinggi jika dibandingkan dengan ThinkPad Z16 yang memang direka untuk kerja. Jelas Legion 5i Pro bukan sahaja berkuasa untuk gaming tetapi juga boleh digunakan untuk kerja-kerja pejabat sekiranya perlu.

Audio

Pembesar suara stereo 2W menembak ke bawah tetapi hadir dengan sistem audio Nahimic Audio dengan sokongan audio 3D. Pada tetapan tinggi dentuman letupan adalah mantap dan pergerakan tapak kaki musuh dapat didengari dengan jelas. Audio 3D pada speaker pada hemat kami tidak begitu berjaya. Tetapi dengan fon kepala yang menyokong audio 3D kesan ini dapat didengari. Bagi speaker komputer riba gaming, sistem audio Legion 5i Pro adalah memadai.

Bateri

Bateri diiklankan boleh bertahan selama 5 jam dengan sekali caj. Tetapi dalam tempoh ulasan kami menyedari bateri turut 13% dalam masa 20 minit menstrim kandungan 4K HDR. Dalam mod gaming pula bateri turut 25% dalam masa 20 minit. Untuk sesi menstrim dan permainan video sambungan kabel kuasa adalah perlu jika tidak mahu ia terhenti akibat kehabisan bateri.

Pengecas 300W yang disertakan melakukan sambungan dengan USB kepala empat segi yang digunakan oleh Lenovo. Oleh kerana output kuasanya yang tinggi, bongkah kuasa pengecas komputer riba ini besar dan berat. Proses mengecas semula bateri adalah sekitar 2 jam kerana terdapat sokongan pengecasan pantas.

Kesimpulan

Era komputer riba gaming yang kelihatan seperti kereta lumba Fast and The Furious Tokyo Drift sudah berakhir digantikan dengan rekaan yang lebih sederhana menyorokkan identitinya dari orang ramai. Rekaan ang lebih sederhana ini membuatkan Legion 5i Pro sekali imbas seperti sebuah komputer kerja pejabat biasa yang menunggu masa sahaja untuk habis waktu pejabat untuk ia mengganas di dalam arena permainan video.

Ia kelihatan cukup kemas tetapi menawarkan prestasi gaming yang ganas. Sungguhpun begitu Legion 5i Pro bukan sekadar menawarkan rupa yang kemas tetapi hadir dengan papan kekunci yang cukup baik untuk pemilik melakukan kerja menaip yang panjang.

Ini dibantu juga dengan pilihan I/O yang tersangat mewah yang membolehkan komputer disambungkan kepada pelbagai monitor dan aksesori yang diperlukan. Jika ada kekurangan ialah tiada slot untuk membaca kad memori dan juga hayat bateri yang kurang memberangsangkan.

Harga jualan Lenovo Legion 5i Pro adalah antara RM6692.10 – RM7,998.46 sebuah bergantung kepada spesifikasi. Kami masih merasakannya ia berbaloi kerana ia komputer riba berkuasa untuk sesi gaming selepas waktu kerja.

PRO dan Kelebihan
  • Prestasi yang amat memuaskan untuk gaming dan kerja.
  • Pilihan I/O yang sangat mewah untuk pelbagai peranti.
  • Papan kekunci yang sedap untuk menaip dan gaming.
  • Rekaan kemas tidak terlalu agresif.
  • Skrin pantas dengan kualiti visual yang menarik.
KONTRA dan Kekurangan
  • Tiada sebarang pengimbas biometri disertakan.
  • Hayat bateri pendek.
  • Pad sesentuh agak lembik.

Komen