Ulasan Lenovo ThinkPad Z16 Gen 1 – Cukup Berkuasa Dengan Bateri Tahan Lama

Diterbitkan pada Ogos 25, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Pengakuan saya di awal artikel ini ialah saya seorang pengguna MacBook sejak mula menggunakan MacBook Air sekitar tiga tahun lalu. Satu ciri pada MacBook yang masih belum mampu ditandingi komputer riba Windows ialah pad sesentuh haptik yang terbaik dalam kelasnya. Zaman pad sesentuh tidak responsif dan terasa lembik tamat sejurus selepas saya mula menggunakan MBA.

Maka beberapa minggu lalu saya diberikan sebuah Lenovo ThinkPad Z16 Gen 1 yang merupakan sebuah komputer kerja premium Windows. Sebelum pergi ke MacBook, saya nobatkan siri ThinkPad sebagai komputer riba kerja terbaik pernah saya gunakan kerana kombinasi:

  1. Papan kekunci yang terbaik untuk menaip.
  2. kemampuan tahan lasak dan kalis air yang tidak mampu ditandingi
  3. Spesifikasi yang amat memuaskan.

Dengan ThinkPad Z16, Lenovo cuba menarik saya kembali ke alam Windows. Persoalannya adakah mereka akan berjaya?

Lenovo ThinkPad Z16 Gen 1
Skrin16″ WUXGA (1920 x 1200), IPS, Sesentuh,
400 nits
PemprosesAMD Ryzen 7 PRO 6850H
CipLapan Teras
GrafikRadeon RX 6500M 4GB GDDR6
RAM32GB LPDDR5
Muatan Dalaman1TB SSD M.2 PCIe Gen4
Kamera Utama1080P dengan IR
I/O2x USB-C 4, 1x USB-C 3.2 Gen 2, bicu audio 3.5mm, pembaca kad SD.
Bateri72 Wh
Pengecasan 135W USB-C
SIM/TelefoniTiada
WiFi802.11a/b/g/n/ac/6E
Bicu AudioYa
Kalis AirPapan kekunci kalis percikan air
Sistem ImbasanPengimbas cap jari, Imbas wajah Windows Hello
Harga JualanBermula RM7239
Model diulas – RM9240

Skrin

Satu perkara yang saya rindui pada MacBook ialah skrin sesentuh. Skrin sesentuh pada Z16 adalah sebesar 16″ dengan sokong resolusi sehingga 4K dan dari jenis panel OLED. Model yang diulas ini sekadar dilengkapi panel IPS LCD dengan resolusi WUXGA yang masih lagi cukup beresolusi tinggi bagi menawarkan paparan yang bukan sahaja kelihatan tajam tetapi juga dengan penghasilan semula warna yang baik.

Skrin mengesan setiap sentuhan dengan jitu dan mengubah zum dalam aplikasi seperti Photoshop lebih mudah berbanding menggunakan pad sesesentuh. Bezel pada keempat-empat sisi skrin juga nipis dan tidak mengganggu perhatian semasa bekerja. Keterangan sehingga 400 nits boleh dicapai dan apabila digunakan di luar ia masih cukup jelas untuk melihat kandungan pada skrin. Sudut pandangan juga baik dengan skrin masih nampak jelas walaupun dipandang dari sisi.

Sudut bukaan skrin adalah sehingga sekitar 110 darjah yang walaupun ok tidak sebaik yang pernah saya gunakan pada ThinkPad X1 Nano yang boleh dibuka sehingga 180 darjah. Sungguhpun begitu sudut bukaan skrin yang diberikan adalah mencukupi untuk saya mencari sudut terbaik untuk menaip di atas meja atau diletakkan di atas riba.

Dengan nisbah skrin 16:10 pula, ia memuaskan untuk menonton kandungan video tetapi lebih serasi untuk mereka yang banyak menghasilkan kertas kerja. Dengan sokongan resolusi tinggi, imej kelihatan tajam dan tidak menyakitkan mata selepas bekerja sepanjang hari.

Pemproses Dan Spesifikasi

Pada model yang diulas cip AMD Ryzen 7 PRO 6850H dipadankan dengan cip grafik Radeon RX 6500M 4GB GDDR6, memori 32GB RAM LPDDR5 dan storan sehingga 1TB SSD M.2 PCIe Gen4. Terdapat pilihan untuk cip AMD Ryzen 5 Pro dan Ryzen 9 Pro. Pastikan pemilihan RAM dilakukan dari awal kerana RAM dipaterikan terus ke papan induk yang membuatkannya tidak boleh dinaiktaraf pasca pembelian. Kesemua ini dimasukkan ke dalam kerangka hanya sebesar 15.8 x 355 x 238 mm dan berat bermula 1.9 kilogram.

Rekabentuk

Rekaan Z16 adalah berbeza sekali dengan ThinkPad yang pernah saya ulas sebelum ini. Pertama sekali ia tidak berwarna hitam dengan penutup berwarna perak dan panel bawah pula berwarna hitam. Rekaan dwi-tona yang memberikan reaksi berbeza di pejabat.

Di kalangan peminat ThinkPad rata-rata merasakan rekaan dwi-tona ini seakan berdosa kerana melanggar tradisi turun temurun hitam itu menawan. Di kalangan penulis yang lebih mudah ini ialah nafas baharu kerana mereka merasakan warna hitam ThinkPad selama ini adalah membosankan.

Saya dalam golongan yang kurang menggemari rekaan serba baharu ini. Tetapi rekaan ini bersebab kerana panel aluminium dibuat daripada bahan aluminium yang dikitar semula. Ini ialah trend semasa yang mungkin dapat menyelamatkan penyu tetapi sekali lagi tidak mampu menarik perhatian saya si insan tua.

Satu elemen klasik yang dikekalkan pada penutup ialah lampu LED merah menyala pada logo ThinkPad. Elemen baharu yang diperkenalkan pula ialah terdapat panel loga yang terkeluar sedikit dari penutup yang memudahkan ia dibuka dengan sebelah tangan. Elemen rekaan ini sekali lagi memberikan reaksi yang berbeza di pejabat kerana tidak seperti rekaan ThinkPad terdahulu.

Dengan saiz tubuh yang besar, Z16 dilengkapi dengan 2x USB-C 4, 1x USB-C 3.2 Gen 2, pembaca kad SD, kunci Kensington dan bicu audio 3.5mm. Yang tiada ialah HDMI dan USB-A yang mengecewakan kerana terdapat ruang yang cukup besar untuk meletakkan kedua-duanya.

Lenovo menyertakan satu penyesuai USB-C ke USB-A dan satu penyesuai USB-C ke HDMI dengan setiap pembelian. Saya bukan peminat penyesuai tetapi tidak merungut jika ia diberikan kerana ia lebih baik daripada saya membelinya sendiri.

Butang kuasa juga diletakkan pada bahagian sisi kanan dengan lampu yang menunjukkan bateri yang mempunyai kuasa. Sementara itu sebuah pengimbas cap jari pula diletakkan bersebelahan butang anak panah kiri dengan saiz permukaan yang agak besar. Saya lebih sukakan rekaan ini kerana ia pada lokasi yang lebih kemas berbanding pada pad sesentuh atau di kanan pad sesentuh seperti yang dilakukan pengeluar lain.

Kamera web 1080P diletakkan pada bezel atas skrin dan ia tidak mengganggu kerana berjaya disorokkan dengan baik. Ia dipadankan dengan sensor IR yang membolehkan sistem imbasan wajah Windows Hello digunakan dalam gelap. Tiada penutup kamera ThinkShutter kali ini tetapi terdapat butang fizikal mematikan kamera terbina pada papan kekunci jika ingin digunakan pemilik Z16.

Bahagian penutup dan tapak dengan kemasan kusam tidak mudah kotor tetapi permukaan persekitaran papan kekunci yang berwarna hitam memerangkap kotoran dengan cukup cemerlang. Kerap juga saya perlu mengelap permukaan dalaman Z16 kerana terlalu cepat kelihatan comot.

Papan Kekunci

Papan kekunci ThinkPad mempunyai reputasi sebagai antara yang terbaik pada komputer riba. Reputasi ini masih lagi diteruskan pada Z16 dengan pergerakan menegak yang baik dan tindak balas tekanan yang amat memuaskan. Apa yang saya sedari ialah kekunci ThinkPad adalah yang paling mesra mereka yang menaip dengan lebih agresif. Tida1k perlu risau akan berlaku kerosakan kerana ia melepasi piawaian MIL-STD 810H

Dengan saiz tubuh Z16 yang besar, terdapat ruang yang cukup besar untuk meletakkan tangan dengan selesa ketika menaip. Pengalaman menggunakannya adalah mirip dengan pengalaman saya menggunakan sebuah MacBook Pro 16″.

Apabila digunakan di atas permukaan meja, proses menaip adalah amat selesa. Di atas paha pula masih lagi selesa kerana permukaan untuk meletakkan telapak tangan yang luas. Isu hanyalah kerana komputer riba ini besar, terasa berat di atas paha dan bergantung kepada kerja yang dilakukan paha boleh terasa seperti disalai semasa saya masih lag bernyawa. Untuk keselesaan menaip paling maksimum gunakan Z16 di atas sebuah meja.

Perkara yang paling saya suka pada Z16 ialah butang Fn dan Ctrl tidak lagi terbalik seperti ThinkPad lain yang pernah diulas. Pada model yang diulas ia selari dengan konfigurasi komputer riba Windows yang lain. Tiada lagi keperluan memasuki BIOS semata-mata untuk mengubah kedudukan kedua-dua butang yang penting ini.

Pad Sesentuh

Pad sesentuh adalah dari jenis haptik. Adalah sedikit aneh menggunakannya pada sebuah ThinkPad yang selama ini utuh mengekalkan tiga butang fizikal di bahagian atas pad sesentuh. Kita mulakan dengan perkara positif dahulu di mana saiz pad sesentuh ini adalah agak besar. Proses menatal skrin yang sebesar 16″ menjadi lebih jitu. Melakukan suntingan gambar dengan lebih tepat juga adalah lebih mudah. Sebagai pengguna MacBook, pengalaman yang diberikan pad sesentuh Z16 adalah hampir sama selepas diubah sedikit dari skrin tetapan Windows.

Bahagian atas masih lagi mempunyai zon sentuhan yang menggantikan tiga butang fizikal yang tidak lagi disertakan. Dari sudut pandangan pengguna MacBook, ketiadaan tiga butang ini bukan isu yang besar tetapi dari sudut pandangan seorang bekas pengguna ThinkPad ia sebuah lagi perubahan yang boleh menimbulkan sedikit kontroversi.

Saya cukup suka dengan tindak balas haptik yang diberikan. Terasa semula jadi pad dengan permukaan kacanya selesa pada hujung jari. Ia cukup sensitif mengesan pergerakan jari dan tekanan yang diberikan. Pelbagai gestur Windows 11 juga disokong dengan lengkap.

Puting TrackPoint berwarna merah yang ikonik kepada ThinkPad masih lagi wujud dan masih belum berani dibuang seperti tiga butang pada pad sesentuh. Saya sekali lagi ingin mengatakan tidak dapat membiasakan dari menggunakan tombol puting TrackPoint untuk menggerakkan tetikus. Pad sesentuh yang diberikan adalah lebih dari memadai dan saya rasakan lebih mudah digunakan berbanding TrackPoint.

TrackPoint kini mempunyai fungsi sekunder. Jika ditekan dua kalu Communications Quick Menu akan terpampang pada skrin. Menerusi menu ini keterangan kamera web, kontras kamera web, membisukan mikrofon, mengaktifkan mod mikrofon, dan mengaktifkan mod menaip menggunakan suara boleh dilancarkan dengan pantas. Menu yang sama boleh dilancarkan dengan menekan butang Fn+G. Dalam dunia penggunaan aplikasi telesidang sudah menjadi norma biasa, menu pantas untuk kawalan kamera web dan mikrofon ini adalah cukup membantu.

Penggunaan Dan Penanda Aras

Penggunaan adalah sangat memuaskan. Prestasi Z16 adalah amat pantas, konsisten dan tidak mengecewakan. Model yang saya ulas dilengkapi cip AMD Ryzen Pro 7, 32GB RAM LPDDR5 dan storan SSD 1TB M.2 PCIe Gen4. Tidak ada tugasan yang dilemparkan ke Z16 mampu membuatkan komputer riba ini tersedak atau gagal. Sebagai sebuah komputer kerja ia beroperasi dengan cukup cemerlang sekali.

Apabila membuka fail besar Photoshop misalnya, proses mengambil masa hampir sekelip mata dibantu oleh SSD M.2 PCIe Gen4 yang pantas. Ia dua kali ganda lebih pantas jika ingin dibandingkan dengan MacBook Air M2 model asas yang saya ulas beberapa minggu lalu dan lebih pantas berbanding Huawei MateBook X Pro. Saiz RAM yang besar pula membantu untuk memastikan banyak aplikasi boleh digunakan serentak.

Dalam penggunaan paling berat suhu Z16 menjadi sedikit suam tetapi tidaklah sehingga terasa paha sedang dipanggang hidup-hidup. Kipas mula kedengaran dengan bunyi mencecah sekitar 53 dB yang tidak bingit tetapi akan disedari rakan kerja di meja bersebelahan. Udara panas dihembus ke belakang maka tiada isu tidak kerana udara panas terkena bahagian tubuh.

Sungguhpun begitu GPU Radeon RX 6500M 4GB GDDR6 pula sekadar boleh menjalankan permainan video generasi terdahulu pada resolusi sederhana. Saya tidak boleh sarankan anda menggunakan Z16 sebagai komputer gaming kerana ia tidak cukup berkuasa kecuali anda pemain permainan lama seperti CS:GO, Dota dan Diablo III sahaja.

Dalam Geekbench 5, 1440 markah dicatatkan untuk ujian satu teras dan 8474 markah untuk ujian multi teras. Hampir setanding dengan markah yang dicatatkan oleh Apple M2 (1891/8736 markah).

Dalam ujian SSD pula, X1 Nano mencatatkan kelajuan membaca 3039 Mb/s dan 4108 Mb/s untuk menulis. Seperti yang saya katakan di atas SSD Z16 lebih pantas berbanding MacBook Air M2 dan MateBook X Pro.

Sementara itu dalam ujian PCMark10 pula Z16 mencatatkan 6440 markah yang tinggi jika dibandingkan dengan komputer gaming dan komputer kerja biasa. Dalam ujian Time Spy Extreme 2196 markah dicatatkan dan dalam Fire Strike Extreme pula 5897 markah.

Audio

Pembesar suara stereo diletakkan di bahagian atas berhampiran dengan papan kekunci. Kualiti audio adalah baik kerana bunyi dapat dihalakan terus ke telinga dan tidak dipantulkan ke bahawa seperti majoriti komputer riba WIndows. Bunyi cukup lantang untuk menonton video dan menghadiri sesi telesidang ketika bekerja dari rumah.

Bateri

Bateri 72 Whr yang disertakan diiklankan boleh bertahan sehingga hampir 21 jam dengan sekali caj. Hayat bateri yang cukup melampau untuk sebuah komputer riba. Sepanjang ulasan saya dapat menggunakannya Z16 sehingga hampir dua hari bekerja atau bersamaan 16 jam dengan penggunaan yang sederhana. Penggunaan anda mungkin akan berbeza dengan saya kerana saya kerap menggunakan Photoshop, menstrim video/muzik dengan kerap dan suka menggunakan skrin pada keterangan yang tinggi.

Saya akui ini bukanlah ujian yang dilakukan ini tidak cukup saintifik tetapi komputer riba yang boleh digunakan sehingga dua hari adalah amat bagus untuk standard 2022. Pengecasan semula mengambil masa hampir 90 minit menggunakan pengecas USB-C 135W yang mempunyai kotak kuasa yang sederhana besar.

Dalam Kotak

Berikut ialah apa yang diterima dengan setiap pembelian peranti di Malaysia.

  • 1x Lenovo ThinkPad Z16 Gen 1.
  • 1x Kabel pengecas 135W USB-C.
  • 1x Kabel palam 3 pin.
  • 1x Penyesuai USB-C ke USB-A.
  • 1x Penyesuai USB-C ke HDMI.
  • 1x Manual.

Kesimpulan

Mencari komputer kerja profesional dengan kuasa yang mencukupi, skrin yang cantik dan ketahanan bateri yang terbaik di dalam kelasnya? Lenovo ThinkPad Z16 Gen 1 ialah komputer riba untuk anda. Ia masih lagi mempunyai DNA ThinkPad seperti papan kekunci yang sungguh selesa untuk melakukan kerja menaip, TrackPoint dan ketahanan melepasi piawaian MIL-STD 810H yang membezakannya dengan komputer riba lain di pasaran.

Tetapi Lenovo masih berani memperkenalkan inovasi seperti pad sesentuh haptik dan sistem kamera infra merah untuk pengecaman wajah yang pantas. Tiada isu untuk melakukan kerja sepanjang hari dengan Z16.

Kekurangan hanyalah rekaannya membawakan perubahan yang mungkin mengecewakan peminat rekaan klasik ThinkPad. Ianya juga agak besar dan berat untuk digendong setiap hari ke pejabat membuatkannya sebuah komputer yang sedikit sukar dibawa kemana-mana dengan selesa.

Dengan harga bermula dari RM7239 sebuah ia mungkin dilihat agak mahal tetapi dengan kepelbagaian ciri, kemampuan yang baik, papan kekunci yang mantap dan ketahanan bateri yang baik ia menawarkan pakej yang berbaloi.

PRO dan Kelebihan
  • Skrin sesentuh yang terang dengan sudut pandangan yang baik.
  • Prestasi yang amat baik untuk penggunaan pelbagai program.
  • Papan kekunci sungguh selesa untuk menaip.
  • Pada sesentuh haptik yang menarik.
  • Sistem imbasan wajah Windows Hello yang pantas dan pengimbas cap jari.
  • Pengecas 135W USB-C yang pantas.
  • Hayat bateri yang panjang.
KONTRA dan Kekurangan
  • RAM dipateri terus ke papan induk tidak boleh dinaiktaraf sendiri.
  • Speaker yang tidak cukup lantang walaupun bersaiz besar.
  • Hanya port USB-C sahaja diberikan tanpa USB-A.
  • Saiz agak besar untuk dibawa kemana-mana.
  • Rekaan moden bukan untuk peminat ThinkPad klasik.

komen


© Amanz / 2022 Kami