Pada bulan lalu, Huawei telah melancarkan sejumlah model komputer riba yang hadir dengan pelbagai spesifikasi dan tanda harga yang berbeza bergantung kepada keperluan anda.
Salah satu daripada komputer riba yang kini ditawarkan mereka ialah Huawei Matebook X Pro, penawaran komputer riba kelas premium pertama daripada syarikat teknologi China tersebut. Komputer riba ini dipasarkan sebagai sebuah komputer riba Intel Evo yang secara lazimnya bukan sahaja hadir dengan prestasi yang berkuasa, tetapi juga rekaan yang padat, nipis dan ringan.
Rekaan
Huawei Matebook X Pro 2022 | |
---|---|
Skrin | 14.2″ IPS LCD 3120×2080 pixel, sesentuh |
Pemproses | Intel Core i7-1260P |
Grafik | Intel Iris Xe |
RAM | 16 GB LPDDR5 |
Muatan Dalaman | 1TB GB NVMe SSD |
Kamera | 1080p |
I/O | 2x USB-C 2x USB-C Thunderbolt 4 1x bicu audio 3.5mm |
HDMI | Tiada |
Pembaca Kad | Tiada |
Sekuriti | Pengimbas Cap Jari |
SIM | Tiada |
Bateri | 84Wh Pengecas pantas 90W USB-C |
Harga Jualan | RM9,999 |
Komputer riba Huawei Matebook X Pro ini bukan sahaja hadir dengan komponen-komponen terbaru yang berkuasa, tetapi juga rekaan rangka yang memberikan komputer riba rupa dan rasa yang agak berbeza dengan komputer riba yang lain.
Rekaan rangka Huawei Matebook X Pro boleh dilihat sebagai rekaan yang serba baru walaupun apabila ia dibandingkan dengan komputer-komputer riba Huawei yang lain.
Ia diperbuat daripada aloi magnesium-aluminium yang memberikannya bukan sahaja rangka yang teguh, tetapi juga ringan untuk diangkat. Sebagai satu penambahan, Huawei menggunakan proses saduran Micro-Arc Oxidation untuk menjadikan permukaan rangka komputer riba ini rasa sangat lembut dan licin sekali.
Huawei memanggil permukaan ini sebagai Skin-soothing Metallic Body yang hadir melalui penawaran Huawei Matebook X Pro Premium Edition mereka. Jika saya boleh menerangkan sedikit tentang bagaimana rasa permukaan ini, ia bagaikan memegang permukaan yang langsung tidak rasa seperti sebuah permukaan logam ataupun aloi.
Satu kelebihan yang dapat saya lihat dan rasakan sendiri daripada memegang permukaan ini ialah ia tidak memperlihatkan kesan cap jari dengan mudah dan merehatkan tangan di atas komputer riba ini juga adalah satu keselesaan yang cukup unik kepada komputer riba ini.
Walaupun begitu, satu kekurangan mungkin ialah permukaan Skin-soothing Metallic Body ini juga cukup licin sekali, dan jika anda tidak berjaga-jaga apabila memegangnya, ia mungkin akan tergelincir jatuh dari pegangan anda dan jatuh ke lantai.
Dengan ketebalan 14.6mm dan juga berat sekitar 1.26kg, komputer riba Huawei Matebook X ini juga boleh saya katakan ialah di antara yang paling ringan di pasaran sekarang, malah lebih ringan apabila dibandingkan dengan Macbook Air M2 yang baru sahaja dikeluarkan oleh Apple.
Perbezaan rekaan, ketebalan dan berat di antara kedua-dua komputer riba tersebut mungkin boleh diabaikan, tetapi jika anda seorang yang mementingkan perkara-perkara ini, ia mungkin salah satu daripada butiran yang akan membuatkan anda memilih satu komputer riba berbanding yang lain.
Ia juga dilengkapi dengan paparan skrin Real Colour FullView Display bersaiz 14.2 inci dengan resolusi 3120×2080 pixel dan kadar segar semula 90Hz dan boleh memaparkan 100 peratus gamut warna DCI-P3 dan sRGB untuk olahan warna yang tersangat jitu.
Dengan sokongan untuk ciri Universal Colour Consistency pula, olahan warna pada peranti yang disambungkan kepada komputer riba ini dilihat akan selari dengan apa yang dipaparkan pada paparan Matebook X Pro ini. Buat masa ini, Huawei telah mengesahkan bahawa ciri ini hadir pada Huawei MatePad Pro 11 inci dan Huawei P50.
Paparan Real Colour FullView Display ini digandingkan dengan enam pembesar suara dan juga empat mikrofon terbina dibawah sistem audio Huawei Sound yang membantu dalam memberikan pengguna pengalaman mendengar dan perbualan telesidang yang bebas daripada bunyi hingar, disamping memberikan kualiti audio yang jitu dan lantang apabila menonton video dengan komputer riba ini.
Spesifikasi
Beralih kepada spesifikasi komputer riba ini, ia dikuasakan oleh CPU Intel Core i7-1260P yang hadir dengan 12 teras fizikal, termasuklah empat teras prestasi dan lapan teras efisien dengan penggunaan kuasa maksima setinggi 30W sahaja.
Dari segi penawaran memori dan storan pula, Huawei Matebook X dimuatkan dengan memori LPDDR5 sebanyak 16GB dan storan SSD PCIe 3.0 sebesar 1TB. Untuk pasaran Malaysia, konfigurasi ini sahaja yang ditawarkan oleh Huawei, yang berkemungkinan mahu memasarkan komputer riba ini sebagai sebuah komputer riba yang berkuasa untuk tujuan produktiviti dan riadah di dalam dan di luar pejabat.
Dari segi pilihan palam, Huawei Matebook X Pro ini tampil dengan dua palam Thunderbolt 4, dua palam USB 3.2 Type-C dan satu palam audio 3.5mm. Jika anda mahu menyambungkan komputer riba ini kepada sebuah paparan yang lebih besar, anda boleh guna kabel USB-C ke DisplayPort yang mana komputer riba ini boleh menyokong paparan sehingga resolusi 4K tanpa masalah.
Satu kekurangan yang dapat saya lihat dari segi penawaran palam ini ialah kekurangan palam USB Type-A dan juga tiada pembaca kad SD ataupun MicroSD yang secara lazimnya dapat diperlihatkan pada komputer-komputer riba jenis ini. Untuk memperbaiki isu ketiadaan palam USB Type-A, Huawei sekurang-kurangnya telah memperkenalkan penyesuai USB Type-C ke Type-A untuk kemudahan pengguna.
Bagi mereka yang juga mementingkan kebolehan sambungan nirwayar, Huawei Matebook X Pro ini juga hadir dengan sokongan untuk sambungan internet WiFi 6 dan juga Bluetooth 5.2 yang bukan sahaja membolehkan pengguna untuk menyambung beberapa peranti Bluetooth sekaligus, tetapi juga menggunakan tenaga bateri yang lebih rendah.
Pengalaman Pengguna
Huawei Matebook X Pro bukanlah penawaran Huawei yang pertama dalam segmen komputer riba produktiviti premium. Pada tahun lepas, mereka telah melancarkan komputer riba dengan nama yang sama,
Akan tetapi model 2022 dilihat tampil dengan perubahan dari segi rekaan, penggunaan komponen terbaru dan juga fungsi-fungsi yang lebih moden berbanding dengan apa yang ditawarkan pada tahun lepas.
Kemaskini spesifikasi dan komponen yang diperkatakan di perenggan-perenggan sebelum ini dilihat sedikit sebanyak membantu dalam memberi pengguna pengalaman penggunaan yang lebih baik dan lebih mudah berbanding sebelum ini.
Pad sesentuh Huawei Free Touch misalnya kini hadir dengan permukaan yang membuatkannya lebih mudah untuk menggerakkan tetikus atas skrin, dan kini hadir dengan sokongan untuk lapan kawalan unik yang membolehkan pengguna untuk mengakses pelbagai pintasan dan fungsi komputer riba ini tanpa memerlukan aksesori tambahan seperti tetikus.
Penggunaan cip pemprosesan Intel generasi ke-12 Alder Lake pada komputer riba ini dilihat memperbaiki prestasinya dengan cukup baik sekali. Dengan gabungan memori LPDDR5 sebanyak 16GB dan juga storan SSD 1TB, saya boleh membuka 15-20 tab pelayar web Microsoft Edge tanpa masalah.
Saya tidak begitu perlu kisah tentang isu lengah masa tidak kira tugasan saya, sama ada ia adalah untuk menulis artikel ataupun ulasan, menyunting gambar dan sebagainya apabila menggunakan laptop ini. Malah, dengan satu pengecasan penuh, saya boleh menggunakan komputer riba ini dimana-mana sahaja saya mahu dengan memanfaatkan fungsi ‘Sleep’ dengan menutup paparan komputer riba ini.
Selain daripada itu, Huawei Matebook X Pro ialah sebahagian daripada ekosistem Super Device Huawei yang membolehkan para pengguna peranti Huawei sedia ada untuk berkongsi kandungan di antara satu sama lain ataupun menggunakan peranti-peranti ini sebagai skrin tambahan secara cepat dan mudah.
Jika saya ada sedikit kritikan mengenai komputer riba ini, ia mungkin hanyalah sekadar satu atau dua perkara, seperti ketiadaan palam USB Type-A yang dipermudahkan dengan menggunakan dongel yang diberi, dan juga papan kekunci yang pada pendapat saya agak cetek yang memberikan pengalaman menaip yang tidak sebaik yang saya inginkan.
Disini juga saya ingin mengatakan bahawa pengalaman menggunakan pad sesentuh Huawei Matebook X Pro ini cukup lancar sekali, tetapi tindak balas haptik untuk pad sesentuh ini, sekurang-kurangnya apabila digunakan untuk menekan butang kiri dan kanan kadang-kala tidak cukup sensitif dan agak menghampakan.
Walaupun begitu, pad sesentuh Huawei Matebook X Pro ini tampil dengan sejumlah ciri-ciri yang sangat menarik yang pada pendapat saya bukanlah sekadar gimik semata-mata sahaja.
Pad Sesentuh Pintar
Fungsi utama pada komputer riba Huawei Matebook X Pro ini ialah pad sesentuhnya. Pada iterasi terbaru ini, Huawei Free Touch, Huawei memperlihatkan lapan kawalan unik yang membolehkan pengguna untuk menatal pelbagai jenis tetapan dengan cepat dan mudah, seperti mengawal kecerahan paparan, kelantangan audio, mengecilkan atau menutup tetingkap dengan cepat, mengambil tangkapan layar dengan mudah dan sebagainya.
Senarai lapan kawalan yang anda boleh lakukan dengan pad sesentuh Huawei Free Touch ini adalah seperti berikut:
- Ambil tangkapan layar dengan mengetuk pad sesentuh sekali dengan satu buku jari
- Rakam skrin dengan mengetuk pad sesentuh dua kali dengan dua buku jari
- Kawal kecerahan paparan dengan menatal sisi kiri pad sesentuh
- Kawal kelantangan audio dengan menatal sisi kanan pad sesentuh
- Kawal mara laju dan putar semula video dengan menatal sisi atas pad sesentuh
- Kecilkan tetingkap ke bar tugasan dengan menekan bucu kiri pad sesentuh
- Tutup tetingkap dengan menekan bucu kanan pad sesentuh
- Buka tetingkap notifikasi dengan menatal masuk dari sisi kanan pad sesentuh
Selain daripada itu, Huawei Matebook X Pro ini juga hadir dengan fungsi gestur nirsentuh yang membolehkan pengguna untuk menukar muka surat slaid pembentangan, mengawal mara laju dan putar semula video dan menjeda video dengan lambaian tangan sahaja.
Fungsi gestur nirtangan ini mungkin mengambil sedikit masa untuk membiasakan diri anda untuk menggunakannya dan mengurangkan rasa janggal apabila membuat pembentangan. Tatalan nirsentuh untuk video juga dilihat terhad untuk video yang dimainkan melalui perisian Media Player terbina dalam Windows 11, dan dalam pengalaman kami, tidak menyokong pemain-pemain media lain buat masa ini, termasuk YouTube.
Penanda Aras
Berikut ialah skor penanda-aras untuk PCMark dan juga CrystalDiskMark untuk Huawei Matebook X Pro ini.
PCMark
CrystalDiskMark
Audio Dan Visual
Gandingan paparan skrin Real Colour FullView Display dan juga sistem audio Huawei Sound juga cukup mantap, dimana ia berfungsi dengan baik untuk tujuan produktiviti dan juga riadah. Penggunaan empat mikrofon terbina misalnya membantu dalam membatalkan bunyi hingar apabila anda berada dalam panggilan telesidang walaupun anda tidak menggunakan fon telinga.
Enam pembesar suara yang terbina di bahagian sisi dan atas papan kekunci pula pada pendapat saya memberikan komputer ini kelantangan audio yang cukup kuat sekali apabila memainkan audio lagu ataupun video yang juga tidak menghilangkan butiran terperinci, memberi saya pengalaman mendengar yang cukup mesra-telinga.
Bateri
Dalam pengalaman saya, satu pengecasan penuh komputer riba ini boleh bertahan selama sekitar 7-8 jam dengan penggunaan paparan skrin pada kecerahan 50% dan sambungan WiFi dan pelayar web digunakan untuk tujuan menulis dan sedikit tontonan video.
Dalam corak penggunaan sebegini, saya juga dapati bahawa komputer riba ini tidaklah begitu panas apabila digunakan diatas peha, dan suhu cip pemprosesan hanya meningkat apabila proses CPU meningkat apabila digunakan untuk tugasan yang memerlukan kuasa pemprosesan yang tinggi, seperti menyunting video.
Jika anda menggunakan komputer riba ini sebagai sebuah mesin produktiviti sewaktu anda bekerja di luar pejabat. anda boleh memilih untuk menggunakan pengecas 90W yang dibekalkan, ataupun pengecas anda sendiri yang menyokong sekurang-kurangnya pengecasan 65W untuk pengecasan peranti yang pantas.
Bagi saya, saya mempunyai pengecas GaN 100W yang saya sentiasa bawa bersama saya untuk mengecas beberapa peranti di dalam beg saya sekiranya diperlukan.
Dalam Kotak
Berikut ialah apa yang diterima dengan setiap pembelian peranti di Malaysia.
- 1x Huawei Matebook X Pro
- 1x Pengecas 90W
- 1x Kabel pengecas USB-C ke USB-C
- 1x Manual
- 1x Kad jaminan
Penutup
Pada harga RM9999, Huawei Matebook X Pro terbaru ini juga dilihat tampil dengan harga jauh lebih mahal berbanding dengan penawaran tahun sebelumnya. Tanda harga ini memperlihatkan kali pertama Huawei melancarkan sebuah komputer riba pada kelas kayangan yang pada atas kertas agak sukar untuk disyorkan.
Gabungan prestasi cip pemprosesan Intel generasi ke-12 Alder Lake, rekaan rangka aloi magnesium-aluminum, sistem operasi Microsoft Windows 11 dan juga ciri-ciri daripada pad sesentuh Huawei Free Touch termasuklah gestur nirsentuh memperlihatkan betapa serius Huawei dalam membangunkan sebuah mesin produktiviti yang unik dan mempunyai gimik yang cukup berguna.
Jujur saya katakan bahawa oleh kerana tanda harganya sahaja, komputer riba ini mungkin bukan untuk semua. Jika anda mahukan sebuah komputer riba yang lebih mesra dompet, Huawei juga dilihat menawarkan komputer-komputer riba seperti Huawei Matebook 16s dan Huawei Matebook D16 yang juga dikemaskini dengan komponen-komponen pemprosesan terbaru keluaran Intel.
Pro
- Ringan dan padat.
- Kemasan rangka yang unik.
- Hadir dengan cip pemprosesan Intel Alder Lake terbaru.
- Jangka hayat bateri baik.
- Kawalan pad sesentuh yang sangat berguna.
- Pengecasan pantas.
Kontra
- Harga agak tinggi.
- Rangka licin
- Papan kekunci cetek
- Tindak balas haptik yang kurang memuaskan.
- Tiada pembaca kad media