Cari @ Amanz

Xiaomi meneruskan lagi usaha mereka menawarkan peranti yang kelihatan premium dengan ciri padu dan pada harga lebih mampu. Peranti terbaru mereka adalah Xiaomi 12 Lite, yang mempunyai rekaan serta cip yang sama dengan Xiaomi 11 Lite 5G NE, modul kamera seperti Xiaomi 12, kemampuan kamera lebih hebat dan sistem pengecasan yang lebih pantas.

Selepas menggunakan peranti ini sekitar seminggu, saya rasa berpuas hati dengan penawaran mereka kali ini. Tetapi adakah peranti ini berbaloi untuk dimiliki jika majoriti komponen masih sama dengan 11 Lite 5G NE?

Spesifikasi Dan Rekaan

Xiaomi 12 Lite
Skrin6.55″ AMOLED DotDisplay 2400 x 1080 FHD+
120Hz, AdaptiveSync, DolbyVision, HDR10+
PemprosesSnapdragon 778G (6nm)
Cip4x 2.4 GHz Kryo 670
4x 1.8 GHz Kryo 670
Cip GrafikAdreno 642L
RAM8GB LPDDR4X
Muatan Dalaman128/256 GB UFS 2.2
Kamera Utama108+8+2 Megapixel
f/1.88+f/2.2+f/2.4
AI Cinema, mod malam
Kamera Swafoto32 Megapixel, f/2.45
Dwi-LED flash Xiaomi Selfie Glow
Bateri4,300 mAh
Pengecasan berwayar 67W
SIM/TelefoniDwi SIM nano
NFCAda
AudioStereo, Dolby Atmos
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanImbasan jari bawah skrin
Harga JualanRM 1699 (8/128 GB)
RM 1899 (8/256 GB)

Jujur saya katakan semasa mengeluarkan peranti ini dari kotak saya tidak rasa teruja langsung. Malah terasa sedikit kecewa kerana ia masih menggunakan rekaan yang sama dengan Xiaomi 11 Lite 5G NE. Perubahan besar pada peranti ini hanyalah pada rekaan kamera dan pada kamera swafoto sahaja.

Skrin masih lagi 6.55-inci AMOLED FHD+ cuma kali ini ia menyokong kadar segar semula tinggi 120Hz berbanding 90Hz. Cip juga masih sama dengan Snapdragon 778G, tetapi memori tiada lagi 6GB RAM dan hanya penawaran memori 8GB RAM LPDDRX4 dan storan UFS 2.2 yang perlahan berbanding pesaing seperti Nothing Phone (1).

Rekaan peranti yang rata di sekelilingnya adalah sedap dipegang dengan tubuh yang ringan. Warnanya yang lembut juga sedap dipandang. Setiap butang berada di sisi kanan, yang mana pada awalnya agak aneh untuk ditekan tetapi selepas satu hari sudah tidak ada masalah untuk dikendalikan oleh saya.

Di atas masih ada lubang mikrofon, pemancar infra merah untuk alat kawalan jauh dan sebuah kekisi speaker. Manakala di bawah satu lagi kekisi speaker, lubang mikrofon, slot dwi SIM dan port pengecasan USB-C.

Kualiti skrin pada peranti ini saya rasakan adalah cukup memuaskan untuk penggunaan harian. Warna yang terang dan dalam serta kecerahan yang cukup tinggi menjadikan pengalaman menonton video antara yang terbaik. Malah berani saya katakan ia hampir sebaik sebuah peranti mercu dalam kategori mampu milik. Sokongan Dolby Vision dan HDR10+ membuatkan saya hampir terliur menonton Netflix kerana kualiti yang hebat.

Skrin peranti juga menyokong kadar segar semula 120Hz, yang mana saya rasakan cukup pantas dan lancar. Ia menggunakan sistem adaptif AdaptiveSync untuk memastikan kadar segar semula sesuai mengikut kandungan skrin. Sepanjang penggunaan saya tidak mengalami sebarang masalah serius untuk skrin. Memainkan video pada aplikasi seperti Prime Video pada peranti ini adalah lancar dan baik, berbanding OnePlus 10T yang tersangkut-sangkut secara rawak.

Penggunaan Dan Perisian

Setiap kali saya menguji peranti Xiaomi untuk pasaran tempatan, pasti akan mempunyai beberapa is yang sama berlaku. Tetapi kali ini pengalamannya berbeza walaupun peranti masih menggunakan MIUI 13 berasaskan Android 12. Masalah utama yang saya selalu hadapi adalah notiifkasi yang tidak berfungsi dengan konsisten. Kadang kala berbunyi kadang kala tidak. Isu ini tidak berbangkit pada 12 Lite.

MIUI 13 pada Xiaomi 12 Lite banyak menyertakan beberapa ciri yang ada pada peranti Xiaomi dan Redmi lain. Contoh yang tiada pada Xiaomi 11 Lite sebelum ini adalah ciri Optimized Charging, yang sebelum ini ditawarkan pada pengecasan 120W, tetapi ia semakin banyak ditawarkan pada peranti dengan 67W juga. Selain itu ciri yang saya tahu baru untuk siri Lite adalah pengimbas nadi menggunakan pengimbas cap jari bawah skrin.

Pada aplikasi Xiaomi Camera turut ada sedikit penambahan untuk mengawal dwi-LED flash yang terbina pada bahagian atas bezel peranti. Sistem ini adalah Xiaomi Selfie Glow untuk memberi cahaya tambahan ketika mengambil gambar swafoto dalam gelap.

Game Turbo pada peranti juga semakin selari dengan banyak-banyak peranti Xiaomi lain pada tahun ini. Ia mempunyai ciri peningkatan prestasi dengan satu butang, antaramuka yang lebih mesra pengguna dan disusun dengan lebih kemas untuk lebih mudah mengakses ketika dalam sesi permainan.

Prestasi bermain permua seperti Asphalt 9 juga cukup memuaskan dengan tiada langsung masalah pemanasan selepas beberapa sesi bermain. Masalah lengah masa juga tidak berlaku pada peranti ini selepas beberapa sesi permua yang lain. Masa memuat untuk permua yang lebih berat seperti PUBG Mobile sedikit perlahan, dan tetapan grafik juga tidak boleh digunakan pada tahap yang paling tinggi.

Penanda Aras

Disebabkan Xiaomi 12 Lite masih menggunakan cip pemprosesan yang sama dengan model sebelum, peranti ini akan mempunyai skor penanda aras yang lebih kurang sama. Pada Xiaomi 11 Lite 5G NE skor Geekbench 5 adalah 702/2193, sementara pada AnTuTU 3D pula adalah 483,647. Untuk peranti ini, Geekbench 5 mencatatkan skor 748/2840 dan AnTuTu 3D pula dengan skor 515,149. Hanya sedikit lebih tinggi dan peranti sebelum ini juga menawarkan penggunaan di masa nyata yang cukup memuaskan.

Jika saya bandingkan peranti ini dengan pesaing seperti Nothing Phone (1) yang menggunakan cip dalam siri yang sama, tetapi sedikit dipertingkatkan iaitu Snapdragon 778G+ – peranti ini mencatatkan skor Geekbench 5 dan AnTuTu 3D yang lebih baik. Anda boleh lihat perbandingan di bawah;

AnTuTu 3D
  • Xiaomi 12 Lite: 515,149
  • Noting Phone (1): 583,079
Geekbench 5
  • Xiaomi 12 Lite: 748/2840
  • Nothing Phone (1): 819/2935

Sebab pertama kenapa Snapdragon 778G+ lebih baik adalah kerana rekaan cip yang memberikan penggunaan kuasa yang lebih efisien iaitu 1+3+4, sementara Snapdragon 778G menggunakan konfigurasi 4+4. Kedua pula adalah kerana peranti pesaing menggunakan memori LPDDR5 dan storan UFS 3.1 yang memberi perbezaan ketara dalam prestasi.

Telefoni Dan GPS

Aneh sekali, Xiaomi 12 Lite juga tidak memberikan masalah rangkaian data mudah alih dan telefoni pada saya seperti yang berlaku pada majoriti peranti kelas pertengahan Xiaomi. Internet stabil, panggilan telefon jelas dan sambungan WiFi juga pantas tanpa masalah. Untuk GPS pula, ia mampu mengunci lokasi dengan baik dan aplikasi Google Maps masih mampu memberi arahan selok-belok dengan lancar tanpa menyebabkan saya sesat. Pada waktu ini 12 Lite masih belum disokong rangkaian 5G DNB walaupun dilengkapi modem 5G.

Kamera

Untuk kamera, Xiaomi 12 Lite cuba menawarkan yang terbaik untuk peranti dalam kelas pertengahan premium ini. Konfigurasi kamera di belakang adalah 108+8+2 Megapixel dan di hadapan pula adalah 32 Megapixel. Sedikit mengecewakan kerana tiada OIS, tetapi apa yang ditawarkannya ini cukup baik dan mereka yang menggunakan peranti ini nanti saya yakin akan bersyukur.

Perkara terbaru yang ada peranti ini adalah sistem Xiaomi Selfie Glow yang menggunakan sistem dwi-LED flash untuk memberi cahaya tambahan untuk swafoto. Sistem MIUI juga kini memberikan kesan kecantikan yang lebih baik dan mereka cuba untuk memberikan hasil yang lebih realistik. Berikut adalah beberapa sampel yang dirakamkan.

Pada kamera utama, sensor 108MP yang digunakan cukup hebat walaupun tiada OIS. Kamera mampu menghasilkan imej berkualiti tanpa sebarang masalah. Warna yang cukup terang, butiran yang dipelihara, serta kesan kabur yang baik walaupun tidak menggunakan mod potret.

Kemampuan fokus juga adalah baik tanpa ada masalah ketika menggunakan kamera. Untuk mod sudut ultra lebar, ia biasa sahaja dan makro pula tidak mempunyai hasil yang memuaskan. Sistem kecerdasan buatan Xiaomi kali ini juga adalah jauh lebih baik dan lebih konsisten berbanding sebelum ini. Mod malam juga nampak lebih menarik, terang dan lebih yakin untuk dikongsi ke media sosial.

Bateri

Ketahanan bateri Xiaomi 12 Lite pada saya adalah satu perkara biasa untuk peranti dalam kelas ini. Untuk corak penggunaan saya yang selalunya agak ekstrem dengan banyak tetapan rangkaian dan sambungan saya hidupkan, kecerahan manual, aplikasi media sosial yang banyak, pelbagai aplikasi dibuka dan dikunci untuk sentiasa berjalan di latar – peranti ini mampu bertahan lebih pada satu hari. Dalam penggunaan saya, ia boleh bertahan sehingga 6 jam SOT jika tidak bermain permua dan sekitar 5 jam SOT jika aktif bermain permua.

Jika mod penjimatan bateri diaktifkan dan pengguna peranti adalah lebih berdisiplin, saya yakin ia tiada masalah pun untuk bertahan sehingga 7 jam SOT sehari. Pengecasan pada peranti ini adalah 67W Xiaomi AdaptiveCharge, yang mana boleh mengecas peranti dari 0% ke 100% dalam masa 41 minit sahaja. Walaupun untuk saya 100W ke atas adalah lebih pantas, 67W ini pun sebenarnya sudah memadai. Jika dibandingkan dengan pesaing lain hanya masih lagi sekitar 20W-30W.

Audio

Sistem speaker stereo pada peranti ini membuatkan saya terkejut dengan kemampuannya. Ia cukup kuat walaupun pada sekitar 50% sahaja dan paling penting sekali ia seimbang memberikan pengalaman pendengaran muzik dan menonton video lebih mengasyikkan. Walaupun ia sedikit tajam, ia tidak begitu bingit – ini berlaku kerana speaker peranti ini tidak mempunyai bass yang cukup dalam untuk menjadikannya sebagai speaker yang terbaik.

Pesaing

Xiaomi 12 LiteNothing Phone (1)Samsung Galaxy A73 5G
6.55″ AMOLED 1080 x 2400 (402 ppi), 120Hz , Dolby Vision, HDR10+6.55″ OLED, 1080 x 2400 (~402 ppi), 120Hz, HDR10+6.7″, Super AMOLED Plus 1080 x 2400 (~393 ppi), 120Hz, HDR10+
Snapdragon 778G (6nm)
4x 2.4 GHz Kryo 670
4x 1.8 GHz Kryo 670
Snapdragon 778G+ (6nm)
1 x 2.5 GHz Cortex-A78
3 x 2.4 GHz Cortex-A78
4 x 1.8 GHz Cortex-A55
Snapdragon 778G (6nm)
4x 2.4 GHz Kryo 670
4x 1.8 GHz Kryo 670
Adreno 642LAdreno 642LAdreno 642L
8GB RAM LPDDR4X
128/256 GB UFS 2.2
8/12 GB RAM LPDDR5
256 GB UFS 3.1
8GB RAM LPDDR5
256 GB UFS 3.1
108MP, f/1.88 (utama)
8MP, f/2.2 (sudut ultra-lebar)
2MP, f/2.4 (makro)
50MP, f/1.88, OIS (utama)
50MP, f/2.2, (ultra-lebar)
108MP, f/1.8, OIS (utama)
12MP, f/2.2 (ulta lebar)
5MP, f/2.4 (makro)
5MP, f/2.4 (kedalaman)
32MP, f/2.45
Xiaomi Selfie Glow
16MP, f/2.4532MP, f/2.2
Tiada bicu audio 3.5mmTiada bicu audio 3.5mmTiada bicu audio 3.5mm
Audio StereoAudio StereoAudio Stereo
4,300 mAh
Pengecasan pantas 67W
4,500 mAh
Pengecasan pantas 33W
5,000mAh
Pengecasan pantas 25W
RM1,699 (8/128 GB)
RM1,899 (8/256 GB)
RM2,399 (8/256 GB)
RM2,699 (12/256 GB)
RM2,099 (8/256 GB)

Kesimpulan

Xiaomi 12 Lite adalah sebuah peranti kelas pertengahan yang cukup baik. Lebih-lebih lagi kepada mereka yang pentingkan kamera dan tidak mempunyai bajet mencapai RM2000. Kamera utama peranti ini adalah 108MP yang mempunyai banyak butiran dan kamera swafoto pula adalah 32MP dengan kualiti yang tinggi tanpa banyak kesan hingar walaupun tidak cukup cahaya.

Prestasi masih lebih kurang sama, tetapi masalah besar MIUI 13 sudah semakin berkurangan. Jadi jika mereka yang baru pertama kali ingin mencuba peranti Xiaomi tidak akan rasa aneh menggunakan peranti ini. Memori juga kini hanya ada 8GB RAM dengan sokongan memori maya 3GB dan tiada lagi model permulaan 6GB RAM, yang mana adalah satu kebaikan untuk peranti dalam kelas ini.

Skrin Xiaomi 12 Lite juga berkualiti dan kini mempunyai sokongan pengecasan yang lebih pantas, pasti ia akan menarik perhatian orang ramai. Harga jualan bermula pada RM1,699 untuk 8/128 GB, sementara RM1,899 untuk model 8/256 GB. Jika anda pengguna Xiaomi Mi 11 atau Xiaomi 11 Lite 5G NE – mungkin tidak perlu tukar lagi kecuali jika anda inginkan kamera yang lebih padu.

Pro

  • Kamera yang lebih berkualiti.
  • Mempunyai dwi-LED flash di hadapan.
  • Skrin AMOLED 120Hz Dolby Vision yang cantik dan pantas.
  • Bateri yang tahan lama dengan pengecasan yang sangat pantas.
  • MIUI 13 yang semakin baik.

Kontra

  • Masih menggunakan rekaan lama 11 Lite 5G.
  • Cip yang sama dengan model lalu.
  • Kamera tiada OIS.
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd