Netflix Mungkin Akan Membangunkan Platform Penstriman Permainan Tersendiri
Fahim Zahar
Perkhidmatan penstriman permainan video masih lagi baru. Penawarannya juga tidak meluas, kerana perkhidmatan ini memerlukan sambungan Internet yang pantas dan stabil. Antara yang sudah menawarkan perkhidmatan ini adalah Google Stadia, Amazon Luna, Xbox Cloud Gaming dan PS Now.
Netflix yang sedia terkenal sebagai platform penstriman video juga telah mula memfokuskan kepada permainan video. Platform mereka pada peranti mudah-alih kini menawarkan pelbagai permua dan mempunyai kategori khas. Tetapi permua ini perlu dimuat turun di gudang aplikasi dan bukannya boleh terus dimainkan.

Tetapi Netflix sebenarnya mempunyai perancangan lain untuk platform permainan video mereka. Menurut Protocol, Netflix mungkin akan membangunkan platform penstriman permainan video tersendiri atau perkhidmatan permainan awanan. Sumber menyatakan Netflix kini mencari pekerja seperti jurutera permainan untuk studio permainan. Kemudian turut ada jurutera untuk render, pembangun untuk permainan video pada platform yang belum siap dibangunkan, serta pekerjaan yang memerlukan pengalaman dalam cabaran permainan awanan.
Tetapi tidak pasti apa akan berlaku dengan permua mereka jika perkhidmatan ini dibangunkan. Adakah Netflix akan menawarkan pelbagai permainan dalam platform? Setakat ini hanya 1% pelanggan Netflix yang mengakses permua ditawarkan. Adakah anda di antara yang bermain permua di Netflix?