Carl Pei baru-baru ini memberi jawapan yang mengecewakan ramai pengguna mengenai kemaskini Android 13 untuk peranti Nothing Phone (1). Beliau menyatakan yang “sesuatu produk itu adalah lebih daripada sekadar spesifikasi, ciri-ciri dan juga angka versi”.
Pihak Nothing kemudiannya memberi maklum balas mengenai hal ini dan menyatakan kemaskini Nothing OS versi Android 13 untuk Nothing Phone (1) akan tiba sebelum pada pertengahan pertama tahun 2023. Kemaskini versi ini mengambil masa kerana ingin memastikan Android 13 boleh berjalan dengan lancar pada peranti mereka. Ini termasuk untuk memastikan sistem Glyph tidak akan bermasalah.

Semalam, Carl Pei memberitahu kemaskini untuk peranti Nothing Phone (1) masih lagi pantas dan mengikut jadual. Sejak pelancaran sudah tiga versi kemaskini diedarkan iaitu 1.1.0, 1.1.2 dan 1.1.3. Beliau turut memberitahu yang versi beta Nothing OS berasaskan Android 13 turut akan ditawarkan pada hujung tahun ini dengan versi stabil akan mula diedarkan pada awal tahun 2023.