Sejak Apple Music mula menyokong penstriman audio nirhilang Hi-Res, dengan harga langganan yang sama – saya sudah tidak menggunakan perkhidmatan penstriman audio lain. Setiap hari, pasti akan ada lagu saya akan mainkan melalui Apple Music. Pada iPhone, ia boleh menstrim audio dengan Dolby Atmos. Tetapi untuk saya, itu tidak cukup memuaskan.
Disebabkan Apple Music yang menyokong codec ALAC pada kadar 24-bit/192kHz, saya mula menguji pelbagai jenis set fon telinga jenis IEM dan pelbagai aksesori amplifier mudah alih. Saya sudah uji IEM Tin HiFi, FiiO dan juga amplifier mudah alih untuk memastikan pengalaman pendengaran saya adalah imersif, memuaskan dan mengasyikkan.
Baru-baru ini saya menguji satu dongel amplifier iaitu DAC/AMP oleh Tempotec Sonata E44. Dongel ini menggunakan port bicu audio 4.4 jenis seimbang untuk memberikan audio yang lebih semula jadi, bersih dan jelas. Harga jualan dongel penguat ini adalah sekitar RM400, adakah ia berbaloi untuk dimiliki?
Spesifikasi Dan Rekaan
Dongel ini hadir dalam rekaan yang kecil dengan tubuh diperbuat daripada besi dan kaca. Saiz yang kecil ini adalah untuk memudahkan ia dibawa ke mana sahaja. Sonata E44 mempunyai cip DAC terbina dwi-teras Cirrus Logic CS43131. Port sambungan adalah bicu audio 4.4mm seimbang, boleh memainkan audio sehingga 32-bit/384kHz. Wayar dalaman pula adalah jenis tembaga dengan salutan perak 8-teras.
Sonata E44 menyokong pelbagai platform, menggunakan perlindungan kabel anti-selirat dan menggunakan konsep plug and play. Butang fizikal untuk melaraskan audio turut terbina pada dongel ini. Sonata E44 juga menyokong SNR kadar tinggi sehingga 120dB dan kuasa output 175mW pada rintangan 32ohm.
Dalam Kotak
Untuk saru set dongel penguat buatan China, penawaran dalam harga RM400 ini agak berbaloi. Setiap pembelian pengguna akan menerima;
- 1x Sonata E44
- 1x penyesuai USB-C ke USB-A
- 1x pelekat logo Hi-Res
- 1x 4.4mm kabel male balanced ke 3.5mm female
Fungsi
Seperti yang saya katakan tadi, Sonata E44 ini adalah dongel amplifier dengan DAC terbina. Dengan menggunakan dongel ini pada komputer atau telefon pintar, ia memintas sambungan set fon telinga atau set fon kepala yang disambungkan ke peranti dan terus pergi ke dongel ini. Secara tidak langsung, ini membolehkan audio yang dihasilkan kedengaran lebih jelas, bersih dan sedap didengar dengan kurang gangguan. Masalah mendesis juga mungkin dapat diselesaikan jika menggunakan dongel ini.
Pengalaman Penggunaan
Dalam ujian saya menggunakan dongel ini, saya telah menguji bersama set fon telinga IEM FiiO FH3, Moondrop Aria Snow dan juga set fon kepala Sennheiser HD 598 CS. Setiap ujian juga adalah berbeza dengan ada yang menggunakan sambungan terus ke komputer dan ada juga terus kepada telefon pintar.
Apa yang saya sedari dengan menggunakan dongel ini adalah, vokal akan diberi lebih fokus dan boleh didengari dengan lebih jelas. Ini memberikan pengalaman pendengaran lebih menarik kerana suara penyanyi lebih jelas. Untuk bass pula bergantung pada komputer atau telefon. Pada komputer ia mempunyai bass yang lebih dalam yang menarik untuk peminat bass tetapi pada telefon ia boleh menjadi sedikit kurang berkuasa.
Untuk audio nada tinggi, ia kadangkala menjadi terlampau berkuasa sehingga menjadi terlebih nyaring. Tetapi ini bergantung kepada set fon telinga yang dipadankan, kerana highs yang dihasilkan turut boleh menjadi terkawal dan enak untuk dilayan tidak kira apa jua muzik pun. Pengasingan audio pula cukup luas dan mempunyai butiran instrumen yang baik, yang mana ini antara sebab kenapa saya perlukan dongel ini untuk mendengar muzik.
Kemudian Sonata E44 ini turut boleh mengubah apa jua set fon telinga dan set fon kepala mempunyai audio yang berkali ganda lebih jelas, bersih dan menarik. Dongel ini seakan menjadi satu pengawal yang mengawal bagaimana IEM yang disambungkan itu mengeluarkan audio. Ia lebih tenang, mempunyai pementasan audio yang cukup luas tetapi tidak bebas.
Kesimpulan
Tempotec Sonata E44 ini adalah dongel DAC/AMP yang cukup baik. Ia mungkin bukan untuk semua orang, tetapi mereka yang inginkan audio yang lebih jelas, bersih dan mempunyai aliran yang lebih lancar dongel ini mungkin antara yang terbaik di pasaran.
Dongel ini boleh didapatkan di kedai atas talian seperti Ali Express pada harga sekitar RM350-RM400 bergantung kepada pertukaran mata wang dan kaedah penghantaran. Untuk peminat audio, dongel seperti ini dengan harga ini sebenarnya agak berbaloi untuk dimiliki. Tetapi untuk pengguna biasa, RM400 ini lebih baik dibelanjakan terus pada aksesori audio lain yang sesuai.
Pro
- Mudah alih, kompak dan ringan.
- Menawarkan banyak pilihan sambungan.
- Sesuai dengan Android, Windows dan mac.
- Kualiti binaan yang premium.
- Audio yang dihasilkan lebih bersih.
Kontra
- Tidak dipasarkan secara meluas.
- Harga yang agak tinggi untuk sekadar dongel.
- Tidak mesra dengan iPhone.