Selamat hari Apple iPhone 14, 14 Plus, 14 Pro dan 14 Pro Max yang sudah boleh dibeli di Malaysia bermula hari ini. Hanya seminggu selepas pasaran gelombang pertama seperti negara jiran Singapura dan Thailand.
Kami mendapat akses awal kepada iPhone 14 dan 14 Pro minggu ini dan kami rasakan terdapat 10 perkara yang harus dicuba oleh pemilik peranti yang baru dibeli untuk mengoptimasikan penggunaannya. Diharap dengan senarai ini anda akan dengan pantas dapat menggunakan beberapa ciri yang tersorok atau tidak diaktifkan secara lalai pada siri iPhone 14.
1. Always On Display – Matikan Untuk Menjimatkan Bateri

Ciri Always on Display (AOD) akhirnya tiba pada iPhone buat pertama kalinya dalam sejarah selepas bertahun ini disokong pada peranti Android. Implementasi AOD pada iPhone 14 Pro dan iPhone 14 Pro Max adalah berbeza berbanding di Android kerana sekadar skrin digelapkan dan imej latar belakang bertukar ke monokrom. Memang ia kelihatan lebih menarik tetapi kami menyedari ia membawakan impak kepada ketahanan bateri berbanding iPhone 14 dan iPhone 13 Pro Max yang tidak menyokong AOD.
Matikan AOD dengan pergi ke Settings > Display & Brightness > Awalys On. Kami mendapati hayat bateri boleh bertambah sehingga dua jam jika AOD dimatikan.
2. Aktifkan Mod Apple ProRAW 48MP Pada Kamera

Ciri ProRAW telah diberikan sejak iPhone 12 Pro lagi. Dengan gambar diambil dalam format RAW, imej yang lebih tajam dan terperinci boleh ditangkap tetapi saiznya pula menjadi besar. Secara lalai ProRAW tidak diaktifkan pada aplikasi kamera iPhone. Pada iPhone 14 Pro dan 14 Pro Max tahun ini pula, ProRAW boleh diambil pada tetapan resolusi 12MP atau 48MP.
Mod ProRAW dan saiz gambar hanya boleh diaktifkan menerusi skrin Settings. Ini dilakukan dengan pergi ke Settings > Camera > Formats > Pro Raw Resolution > 48/12 MP. Di aplikasi kamera sekarang butang untuk menggunakan ProRAW boleh ditekan jika ingin digunakan.
3. Peratusan Bateri Lebih Jelas

Peratusan bateri kembali boleh dipaparkan pada ikon bateri menerusi iOS 16. Ciri ini tidak diberikan sejak iPhone X dipasarkan kerana tiada ruang untuk meletakkannya pada talam atas. Oleh itu anda boleh aktifkan semula paparan peratusan kapasiti di dalam ikon bateri dengan pergi ke Settings > Battery > Battery Percentage. Tidak lagi perlu tarik ke bawah talam notifikasi semata-mata untuk melihat peratusan bateri yang tinggal.
4. Tindak Balas Haptik Pada Papan Kekunci

Ramai pengguna Android yang berhijrah ke iPhone sejak akhir-akhir ini kerana status ekonomi peribadi yang semakin sihat dan inginkan peranti yang disokong lebih lama. Kami antara golongan yang sudah berpindah tetapi merindu ciri tindak balas haptik papan kekunci ketika menaip yang tidak disokong iPhone. Menerusi iOS 16, akhirnya ciri haptik diberikan dan ia boleh diaktifkan dengan pergi ke Settings > Sounds & Haptics > Keyboard Feedback. Aktifkan Haptic dari menu yang diberikan. Sebagai peringatan Apple berkata mengaktifkan haptik akan mengurangkan hayat bateri peranti.
5. Matikan ProMotion 120Hz

Skrin iPhone 14 Pro dan 14 Pro Max menyokong kadar segar semula 120Hz ProMotion. Kami aktifkannya kerana memberikan pengalaman peranti yang terasa lebih lancar. Tetapi kami menyedari masih ada yang sudah cukup gembira dengan 60Hz dan mengutamakan hayat bateri daripada skrin yang laju. Anda boleh mematikan 120Hz ProMotion dengan pergi ke Settings > Accessibility > Motion > Limit Frame Rate. Kadar segar semula skrin akan dihadkan ke 60 Hz sahaja jika ciri ini diaktifkan.
6. Butang Makro Manual Pada Kamera

Mod Macro pada telefon iPhone 14 diaktifkan secara automatik apabila sensor 3D ToF mengesan objek terletak hampir dengan lensa. Kadang kala anda tidak mahu ciri ini diaktifkan atau ingin memaksa ia dihidupkan. Secara lalai tiada butang untuk mengakses mod makro seperti yang diberikan pada peranti Android.
Bagi pemilik iPhone 14 yang inginkan kawalan makro secara manual dengan butang tersendiri, pergi ke Settings > Camera > Macro Control. Pada antaramuka aplikasi kamera sekarang akan wujud ikon berbentuk bunga tulip. Tekan butang ini untuk mengaktifkaf/mematikan mod makro secara manual.
7. Gunakan Action Mode Untuk Video Lebih Stabil

Action Mode ialah ciri eksklusif siri iPhone 14 yang menstabilkan rakaman video. Ia mirip dengan ciri Super Steady pada peranti mercu Galaxy. Dengan Action Mode, video yang lebih stabil seakan menggunakan gimbal boleh dirakam walaupun pengguna sedang berlari. Untuk menggunakannya pilih mod video pada aplikasi kamera dan tekan ikon orang berlari yang muncul bersebelahan mod malam di antaramuka. Bila ianya aktif, iPhone 14 akan memberikan makluman berwarna kuning di viewfinder.
8. Buang Home Control Dari Control Centre

Secara lalai Home Control akan dipaparkan pada skrin Control Centre selepas peranti diaktifkan buat pertama kali. Ini juga berlaku pada iPhone yang baru dikemaskini ke iOS 16. Ini menyebabkan Control Centre menjadi sedikit semak kerana terdapat butang tambahan untuk mengakses ciri Home Kit.
Kami tidak mempunyai barangan elektronik yang menyokong sistem internet benda (iOT), maka paparan Home Control ini sekadar menyusahkan. Anda boleh membuangnya dengan pergi ke Settings > Control Centre >Show Home Controls. Matikan Show Home Controls dan kini skrin Control Centre anda akan kelihatan lebih kemas.
9. iPhone 14 Berbunyi Apabila Dihidupkan Atau Dimatikan

Sebuah lagi ciri eksklusif iPhone 14 ialah peranti mengeluarkan bunyi apabila ia dihidupkan atau dimatikan. Ciri ini memberikannya keupayaan yang sama seperti sebuah komputer macOS. Tetapi pada iPhone 14 ia diberikan untuk memudahkan OKU penglihatan mengetahui telefon mereka telah berjaya dimatikan atau sedang dihidupkan semula. Untuk menggunakan ciri ini pergi ke Settings > Accessability > Audio/Visual > Turn On & Off Sounds.
10. Letakkan Nombor Telefon Untuk Kecemasan Atau Peranti Hilang

iPhone 14 tahun ini dijual pada harga bermula RM4199 dan mencecah harga RM8299 untuk iPhone 14 Pro Max dengan storan 1TB. Sekiranya hilang anda pasti mahu ia dikembalikan dengan selamat. Untuk meningkatkan kebarangkalian ini ada beberapa langkah yang bole diambil. Pertama sekali meletakkan maklumat kecemasan pada profil Apple Health. Buka aplikasi Health pada peranti anda masukkan maklumat Emergency Contacts di bawah tetapan Medical ID aplikasi ini bagi mengisi individu yang harus dihubungi jika telefon hilang. Kemudian pada pilihan Show When Locked > Enabled.
Jika peranti hilang, butang Emergency akan terpapar apabila peranti cuba dinyahkunci. Sekiranya yang menjumpai telefon anda mempunyai niat baik, mereka akan menekan butang Emergency untuk mengakses pula butang Medical ID. Nombor telefon kecemasan yang dipilih tadi kemudiannya boleh dihubungi.

Cara lain ialah menggunakan ciri Find My di peranti lain (MacBook, iPad atau iPhone) yang menggunakan Apple ID yang sama. Tandakan peranti yang hilang sebagai Lost. Kemudian isi maklumat nombor telefon dan mesej pendek yang ingin dipaparkan pada skrin kunci apabila peranti ditemukan orang ramai.
11. Crash Detection Yang Mengesan Kemalangan Serius

Crash Detection ialah ciri yang diberikan kepada siri iPhone 14, Apple Watch SE (Gen 2), Apple Watch Series 8, dan Apple Watch Ultra yang dapat mengesan sekiranya pengguna terlibat dalam kemalangan. Ia secara automatik melakukan panggilan kecemasan dan menghantar notifikasi lengkap dengan lokasi kemalangan kepada ahli keluarga/teman yang diletakkan dalam senarai Emergency Contact dalam aplikasi Health.
Aktifkan ciri ini dengan pergi ke aplikasi Health dan tekan ikon wajah peribadi pada bucu atas kanan aplikasi. Pergi ke Featured > Health Checklist > Crash Detection > Call After Serious Crash. Jangan juga lupa untuk aktifkan penjejakan lokasi dengan pergi ke Settings > Privacy & Security > Location Services > System Services > Emergency Calls & SOS.
12. Matikan Optimised Battery Charging

Optimised Battery Charging mengoptimasikan pengecasan bateri selepas ia mencecah 80% untuk memanjangkan jangka hayat bateri. Menerusi tabiat pengecasan individu, iPhone akan melambatkan proses mengecas dari 80% ke 100% dengan ia hanya akan dilengkapkan pada waktu tertentu seperti jam 6 pagi misalnya apabila anda bangun subuh. Tetapi ini menyebabkan pengecasan menjadi perlahan selepas 80%. Jika anda tidak mahu pengecasan diperlahankan selepas 80% matikannya dengan pergi ke Settings > Battery > Batetry Health > Optimised Battery Charging.
13. Lampu Flash Menyala Untuk Notifikasi

Bunyi deringan telefon dan notifikasi aplikasi adalah mengganggu apabila di dalam mesyuarat. Sering kali kami terlupa untuk mengaktifkan semula deringan iPhone apabila di dibisukan. Akibatnya banyak panggilan telefon dan notifikasi tidak kami sedari. Untuk mengelakkan isu ini berlaku, kami gemar mengaktifkan ciri lampu LED flashberkelip-kelip apabila menerima panggilan telefon atau notifikasi. Pergi ke Settings > Accessability > Audio/Visual > LED Flash For Alerts. Terdapat pilihan untuk hanya mengaktifkan ciri ini jika telefon diletakkan dalam mod bisu. Lampu LED iPhone amat terang dan agak mustahil terlepas pandang menerima panggilan telefon walaupun peranti dibisukan.
14. Back Tap – Lancar Aplikasi Dan Ambil Tangkapan Layar Dengan Tap Panel Belakang

Back Tap bukan ciri baharu tetapi ia kami sarankan digunakan oleh semua kerana ia seakan butang khas pada iPhone seperti yang wujud pada telefon Sony Xperia 1. Kami gunakan Back Tap untuk melancarkan kamera apabila bahagian belakang iPhone ditap dua kali. Dengan tap tiga kali pula tangkapan layar diambil. Anda boleh mengubah sendiri apakah aksi yang akan dilakukan dengan Back Tap. Untuk menggunakannya pergi ke Settings > Accessibility > Touch > Back Tap.
Dengan 14 ciri penting, menarik dan ketercapaian yang kami kongsi di atas kami berharap pengguna iPhone 14, iPhone 14 Plus, iPhone 14 Pro dan iPhone 14 Pro Max dapat menggunakan peranti mereka dengan lebih baik serta menyedari tentang ciri-ciri yang mungkin tersorok.