Carian
Ulasan Jabra Elite 5 – Audio Mercu Dalam Pakej Yang Mampu
September 30, 2022 Fahim Zahar

Jabra adalah syarikat produk audio yang terkenal dengan produk premium. Tetapi sejak tahun lepas, mereka mula memfokuskan kepada set fon telinga nirwayar sebenar dalam kelas mampu milik seperti Jabra Elite 3 dan Jabra Elite 2. Tahun ini, mereka dilihat tidak hadir dengan produk mercu lain dan masih kekal dengan Jabra Elite 7 Pro sebagai pilihan premium yang paling terkini.

Sebaliknya, produk baharu adalah Jabra Elite 5 iaitu TWS kelas pertengahan yang hadir dengan banyak ciri dan fungsi lebih kurang sama dengan Elite 7 Pro. Cuma persoalannya adakah RM699 cukup bagus untuk Jabra?


Spesifikasi Dan Rekaan

Jabra Elite 5
JenisFon dalam telinga
Putik telinga EarGels
Pemacu Audio6mm
Qualcomm aptX
SBC, AAC
ANC Hibrid
Mikrofon6x mikrofon
HearThrough
SensorBluetooth 5.2
Auto jeda
BateriMencapai 9 jam berterusan
36 jam dengan pengecas
10 minit cas, 1 jam guna
SambunganBluetooth
Google Fast Pair
PengecasanUSB-C
Qi
Sokongan aplikasiAndroid, iOS
KawalanButang fizikal
Kemampuan kalis airIP55
Harga JualanRM699

Secara keseluruhan, spesifikasi Jabra Elite 5 lebih kurang sama dengan Jabra Elite 7 Pro. Malah pemadu audio yang digunakan pun adalah sama iaitu sebenar 6mm. Tetapi dari segi codec Elite 5 mempunyai sokongan Qualcomm aptX yang tiada pada model mercu mereka. Putik telinga juga menggunakan jenis EarGel. Walaupun TWS ini mempunyai 6 mikrofon, ia tidak menyokong sistem pembatalan hingar aktif (ANC) yang sama dengan Elite 7 Pro sebaliknya sekadar menggunakan ANC jenis hibrid.

Jabra turut menyertakan sokongan Bluetooth 5.2 yang sama, tetapi menambah satu ciri yang paling saya gemari yang tiada pada Elite 7 Pro iaitu Google Fast Pair. Kemudian satu ciri tambahan ialah Spotify Tap untuk mengakses pantas ke Spotify yang pastinya berguna kepada pelanggan perkhidmatan ini.

Bateri juga didakwa bertahan lebih lama, di mana penggunaan berterusan ia boleh mencapai sehingga 9 jam dan dengan pod pengecasan pula boleh mencapai 36 jam berbanding sebelum ini yang hanya 8 jam dan 30 jam. Tetapi pengecasan adalah lebih perlahan dengan 10 minit untuk 1 jam berbanding 5 minit. Untuk perlindungan air dan debu ia hanya menyokong IP55.

Rekaan Jabra Elite 5 dilihat menggabungkan daripada Elite 85t dan Elite 7 Pro. Ia menggunakan pod pengecas seakan 85t yang mempunyai lampu LED di hadapan menunjukkan tahap bateri, mod tambatan dan pengecasan. Ia turut menyokong pengecasan nirwayar Qi, manakala pada setiap fon telinga ia mempunyai rekabentuk seakan Elite 7 Pro yang kecil dan kompak. Keseluruhannya Jabra Elite 5, ia adalah TWS yang ringan, kecil dan mudah dibawa ke mana sahaja serta simpan.

Fon telinga dengan putik EarGel pula dilihat lebih kecil daripada biasa. Jika biasanya saya menggunakan saiz M, kali ini saya perlu menggunakan saiz L untuk pastikan ia muat dan ketat di dalam telinga agar tiada audio yang bocor.

Kualiti Audio

Kualiti audio pada TWS ini tidak sama dengan Elite 7 Pro walaupun menggunakan pemandu audio yang sama. Walaupun begitu, pengalaman pendengaran masih lebih kurang sama cuma ia ada sedikit kekurangan yang membezakannya yang akan disedari jika sudah biasa dengan profil audio Jabra. Tetapi jika pengguna kali pertama, audio pada Elite 5 ini pada saya adalah antara yang terbaik di pasaran.

Bass/Low

TWS ini mempunyai bass yang cukup kuat, padat dan mempunyai dentuman yang memuaskan. Siapa sangka, TWS kelas pertengahan ini mampu memberikan hasil dentuman yang cukup rancak dan seronok untuk mendengar muzik dan menikmati pelbagai video. Peminat bass pasti akan gembira dengan TWS ini, kerana kemampuan bass yang baik dan hampir setaraf dengan produk Jabra kelas mercu.

Vokal/Mid

Vokal oleh suara penyanyi lelaki adalah lebih dalam dan enak. Setiap nyanyian kedengaran lebih merdu dan rasa memuaskan. Tetapi suara penyanyi wanita lebih halus dan terlampau menenangkan, yang man ini bergantung kepada citarasa masing-masing. Mid pada TWS ini tidak dinafikan cukup baik dan rasa seronok untuk dengar. Tetapi tetapan pada aplikasi yang saya uji ini adalah jenis lalai dan ini boleh berubah jika equalizer digunakan.

Nada Tinggi/Highs

Kekurangan mula didengari pada bahagian nada tinggi. Ini kerana ia tidak cukup memberangsangkan. Apabila instrumen atau vokal sudah capai di satu tahap yang hampir untuk menjadi sedap, boleh layan, ia terus tenggelam. Ini secara tidak langsung menjejaskan pengalaman pendengaran yang mengasyikkan. Tanpa MySound pada aplikasi dan hanya equalizer asas sahaja, nada tinggi sukar untuk ditala menjadi lebih baik.

Pementasan Audio & Pengasingan

Jabra Elite 5 memberikan pengalaman pendengaran yang bertenaga, rancak secara keseluruhan dan seronok. Tetapi ia tidak akan memberikan satu keselesaan untuk pendengaran dalam jangka masa panjang kerana akan rasa penat dan terlampau serabut. Pementasan audio TWS ini adalah jenis di hadapan dan tidak cukup menyeluruh untuk memberikan satu pendengaran yang imersif. Tetapi ia tidak rasa sempit di dalam kepala dan masih ada ruang untuk memberi sedikit kebebasan untuk setiap instrumen dibezakan.

ANC/Mod Tembus Bunyi

Jabra sejak sebelum mereka menggunakan sistem pembatalan hingar aktif penuh, mereka cukup pakar dalam penggunaan pembatalan hingar pasif dan hibrid. Jadi untuk TWS kelas pertengahan premium baharu ini, mereka teruskan lagi penggunaan ANC Hibrid. Apa yang mengejutkan di sini adalah algoritma mereka semakin hebat kerana agak sukar untuk saya bezakan antara ANC biasa dan hibrid ini.

Ini kerana ia berfungsi dengan cukup baik, mempunyai prestasi membatalkan bunyi bising di sekeliling dengan cukup bagus meletakkan saya dalam dunia tersendiri ketika mendengar muzik atau menonton video. Mod tembus bunyi ikonik mereka iaitu HearThrough juga semakin jelas dengan tanpa ada gangguan. Ia bersih dan selesa digunakan jika di dalam pejabat untuk saya sedari apa yang sedang berlaku di sekeliling.

Bateri

Sehingga hari ini, sudah tiga minggu saya menggunakan Jabra Elite 5 dan saya agak gembira dengan ketahanan baterinya. Dakwaan mereka untuk bertahan sehingga 9 jam tanpa ANC dan 7 jam dengan ANC boleh saya sahkan betul. Manakala dengan pod pengecasan pula ia boleh bertahan sehingga 36 jam tanpa ANC dan 28 jam dengan ANC turut saya boleh sahkan.

Saya rasa puas hati kerana ia boleh bertahan dengan lebih lama. Kadar pengecasan 10 minit untuk penggunaan 1 jam pula sebenarnya tidak rasa begitu lama, walaupun ada pesaing seperti OnePlus Buds Pro yang lebih pantas iaitu 10 minit 10 jam ketahanan.

Aplikasi Dan Kawalan

Aplikasi Jabra Sound+ tidak lagi rasa serabut seperti sebelum ini. Ini mungkin kerana saya sudah biasa dengannya, tetapi apabila saya beri kepada rakan sekerja saya yang jarang menggunakan Jabra mereka boleh terus menggunakan dengan baik. Ini adalah pada iOS yang mempunyai prestasi yang cukup pantas. Dalam aplikasi ini; ia membolehkan pengguna mengawal tahap ANC, mengubah kawalan pada butang fizikal, mengaktifkan Spotify Tap dan memilih pembantu maya.

Selain itu aplikasi ini juga wajib dipasang untuk mengemaskini firmware. Kekurangan yang saya sedari adalah TWS ini tidak menyokong MyFit dan MySound untuk mengkustomasi audio dengan setiap pengguna. Ini mungkin antara kekurangan yang kami rasakan TWS ini tidak cukup mengasyikkan berbanding Elite 7 Pro atau Elite 85t.

Kesimpulan

Jabra Elite 5 adalah set fon telinga nirwayar sebenar yang cukup baik untuk digunakan. Jabra ingin cuba menarik perhatian lebih ramai orang dengan menjualnya pada harga lebih mampu milik berbanding produk mercu mereka, tetapi masih boleh menikmati ciri dan fungsi sehebat seperti Elite 7 Pro dan Elite 85t. Contohnya, walaupun ia menggunakan pembatalan hingar aktif jenis hibrid ia mempunyai kualiti yang sangat baik setaraf dengan ANC sebenar.

Bateri pula bertahan lama dengan putik telinga yang agak selesa walaupun saiznya sedikit kecil. Harga jualan RM699 adalah kompetitif untuk produk Jabra tetapi di pasaran ada beberapa TWS lain yang bersaing agak sengit iaitu OnePlus Buds Pro (RM799), Huawei FreeBuds Pro 2 (RM899) dan Samsung Galaxy Buds2 Pro (RM899).

Selepas menguji kesemuanya, Jabra mempunyai pakej serba lengkap yang berbaloi dengan ANC yang lebih baik. OnePlus pula audio yang lebih sedap, tetapi ANC yang kurang memuaskan. Huawei dan Samsung pula kedua-duanya menarik dan hebat tetapi ciri mercu yang menjadikannya hebat memerlukan peranti Huawei dan Samsung sahaja. Ini secara tidak langsung meletakkan Jabra Elite 5 sebagai TWS yang terbaik secara keseluruhan dengan harga lebih mampu milik berbanding pesaing.


Pro

  • Audio yang cukup hebat walaupun bukan kelas mercu.
  • Masih lagi mempunyai kualiti ANC terbaik.
  • Mod tembus bunyi yang semakin jelas.
  • Aplikasi yang mudah digunakan dan mesra banyak peranti.
  • Menyokong banyak jenis codec dan sambungan.

Kontra

  • Rekaan yang sudah bosan kerana sama setiap tahun tidak kira kelas.
  • Putik telinga yang semakin kecil dan sedikit longgar.
  • Warna beige pada tubuh dan putih pada putik telinga yang mudah kotor.
Komen