Cari @ Amanz

Kembali ke segmen mengulas speaker bersama Amanz. Kami merasakan audio ialah satu subset dalam kemampuan peranti yang sering dianaktirikan. Mungkin kerana manusia adalah spesis yang mementingkan apa yang dapat dilihat berbanding apa yang dapat didengari. Maka menjadi kebiasaan sebuah TV dan telefon pintar dengan skrin mantap dipadankan dengan sistem audio yang agak menyedihkan.

Oleh itu menjadi kebiasaan juga untuk membeli speaker berasingan yang boleh memberikan pengalaman audio yang baik. Sejak dua tahun yang lalu kami bekerja di rumah dan sistem audio yang baik kini menjadi kewajipan supaya tidak kebosanan.

Soundbar terbaik pernah kami uji semasa pandemik ialah Sonos Beam Gen 2 tetapi dengan harga ribuan ringgit kami sendiri tidak mampu membelinya. Maka apabila Sonicgear Studiopod V-HD muncul di makmal Amanz kami segera mengulasnya kerana ingin melihat adakah speaker lebih marhaen harganya ini masih boleh memberikan pengalaman audio yang memuaskan.

Spesifikasi

Sonicgear Studiopod V-HD
JenisSpeaker Stereo 2.0
Pemandu2x Pemandu bass 102mm
2X Tweeter 25.4mm
Port I/O1x Optikal masuk
1x RCA
1x Coax
CODECSBC
Sistem operasi disokongSemua
Sokongan pembantu mayaTiada
Pad sesentuhTiada
BluetoothBluetooth 5.0
Bicu Audio AUXTiada
NFCTiada
Harga Jualan RM 599

Rekaan speaker adalah moden dengan tubuh plastik berbentuk bujur. Di Malaysia ia ditawarkan dalam warna hitam, merah, biru, putih dan merah jambu. Harus kami katakan rekaan ini amat ceria yang membuatkannya sesuai digunakan di pejabat ataupun di rumah. Namun begitu apabila digunakan sebagai speaker TV kami rasakan seperti sedikit kurang serasi. Ia tidak nampak klasik dan bergaya seperti StudioBox-2-HD yang kami ulas beberapa bulan yang lalu.

Dengan tubuh plastik ia agak tahan lasak. Di rumah speaker terjatuh beberapa kali kerana dilanggar kucing yang bergaduh. Tiada kesan kemik atau tercalar walaupun jatuh pada ketinggian separuh meter. Dua kekisi audio logam diletakkan pada setiap speaker untuk pemandu bass 105mm (4 inci) dan tweeter 25.4mm (1 inci). Di belakangnya pula terdapat lubang udara untuk bass. Dengan kekisi logam, isu ianya sukar dibersihkan apabila berdebu tidak akan berlaku.

Di bahagian bawah speaker terdapat tingkap untuk penerima infra merah dari alat kawalan jauh dan lampu LED untuk menujukan status input. Contohnya biru untuk bluetooth dan putih untuk coax . Tapak pula diperbuat daripada getah. Ini akan mengurangkan isu speaker bergetar menghasilkan bunyi yang kurang menyenangkan pada permukaan meja.

Di belakang speaker kanan terdapat sedikit perbezaan kerana ia menempatkan pelbagai input, port kuasa, butang luasa, EQ, pemilih input dan tiga tombol kawalan audio. Kekuatan audio, bass dan treble diberikan bagi membolehkan bunyi ditala sendiri oleh mengikut keperluan pengguna.

Sambungan antara dua speaker ini adalah menggunakan kabel coax sepanjang 2 meter yang cukup panjang. Kami menggunakannya untuk sebuah TV sebesar 65″ di rumah. Tiada masalah untuk meletakkan Studiopod di kiri dan kanan TV yang bersaiz besar ini.

Sambungan fizikal yang boleh dilakukan ialah menggunakan kabel optikal, RCA dan Composite. Sambungan secara nirwayar pula adalah menggunakan bluetooth 5.0. Sonicgear memberikan kabel composite ke 3.5mm dan optikal dengan setiap pembelian. Seperti StudioBox, Studiopod V-HD ini juga tidak mempunyai sambungan 3.5mm secara terus. Mengapa ia tidak dilakukan adalah suatu misteri.

Sambungan kuasa pula adalah menerusi kabel biasa membekalkan kuasa sekitar 38W menerusi sebuah palam berkepala tiga pin. Kabel kuasa ini disertakan dengan setiap pembelian dengan ia sepanjang sekitar 2 meter.

Alat Kawalan Jauh

Alat kawalan jauh juga diperbuat daripada plastik berwarna hitam. Konfigurasi butang agak moden mirip alat kawalan untuk televisyen pintar keluaran Samsung dan dongel Chromecast With Google TV.

Permukaan alat kawalan jauh bertekstur membuatkannya tidak licin apabila dipegang. Ia memerlukan dua bateri sebesar AAA sebagai sumber kuasa. Butang kuasa berwarna merah diletakkan di atas sebaris dengan butang membisukan audio.

Di bawahnya terdapat butang besar berbentuk donat untuk kawalan kelantangan audio dan dua butang sisi untuk melangkau muzik yang didengari ke depan atau ke belakang. Di tengah-tengahnya butang bulat pula disertakan untuk memainkan atau menjeda muzik.

Kemudian terdapat lima butang untuk mengubah input dan tiga butang EQ untuk muzik, filem dan dialog. Kesemua butang ini diperbuat daripada bahan getah yang lembut. Alat kawalan jauh Studiopod ini praktikal dan mudah digunakan walaupun sekiranya pemilik tidak membaca manual yang diberikan.


Penggunaan

Penggunaan speaker ini adalah cukup mudah kerana ia hanyalah sebuah aksesori audio biasa tanpa sebarang ciri pintar. Tiada mikrofon untuk membolehkan ia mendengar arahan suara dan ia boleh digunakan terus tanpa perlu disambung kepada sistem WiFi rumah seperti sebuah Sonos. Bagi mereka yang ingin sistem audio yang mudah digunakan, Studiopod tidak mengecewakan.

Proses menambah secara bluetooth juga mudah. Pilih input blutooth dan kemudian cari Studiopod dalam senarai speaker bluetooth pada peranti. Cara pemasangan kepada sistem audio berwayar coax dan optikal. Seperti sistem bluetooth ia semudah hanya menyambungkannya terus kepada port yang sepatutnya dan memilih input pada alat kawalan jauh.

Kerana ia bukan sebuah speaker pintar, ia hadir dengan beberapa kekurangan. Integrasi alat kawalan jauh TV yang juga boleh mengawal audio speaker seperti yang disokong Sonos tidak disertakan. Kerap kali di rumah kami sudah biasa mengurangkan bunyi dengan alat kawalan jauh TV tetapi audio tidak berubah kerana ia perlu dilakukan dengan alat kawalan jauh Studiopod sekiranya sambungan optikal digunakan.

Sambungan terus menggunakan kabel 3.5mmm atau bluetooth lebih mudah dalam situasi sebegini. Kekurangan hanyalah kami sedari apabila sambungan bluetooth dilakukan terdapat sela masa yang agak ketara. Pergerakan mulut watak di Netflix tidak selari dengan audio yang tiba ke telinga membuatkan pengalaman menonton TV terasa janggal. Sambungan yang paling mudah dan tidak mendatangkan sebarang isu ialah dengan kabel 3.5mm.

Kualiti Audio

Kualiti audio adalah amat memuaskan bagi sebuah speaker 2.0 biasa. Kekuatannya terletak pada tahap kelantangan yang cukup tinggi. Kami menonton filem Top Gun Maverick dan Spider Man dengan speaker ini. Walaupun tidak mempunyai sokongan Dolby Atmos, dan Dolby Digital pengalaman menonton masih lagi baik. Setiap dentuman letupan menumbuk dada dan dialog percakapan masih dapat didengar dengan jelas walaupun ketika babak aksi ya mendebarkan.

Menggunakannya untuk menstrim muzik dan podsiar juga amat memuaskan. Bunyi yang dikeluarkan mungkin sedikit tajam menyebabkan kami perlu mengurangkan sedikit tetapan treble pada belakang speaker. Peminat muzik elektronik mungkin yang paling gembira dengan Studipod kerana dentuman bass speaker ini amat memuaskan.

Pengalaman menggunakannya untuk sesi permainan video juga memuaskan asalkan anda tidak memerlukan sokongan audio 3D. Audio percakapan misalnya jelas memudahkan kami mendengar apa yang diceritakan oleh watak utama. Kalau anda peminat permainan seperti Call of Duty, nbunyi letupan yang dilontarkan oleh Studiopod adalah memuaskan.


Apa Dalam Kotak

Berikut ialah apa yang diterima dengan setiap pembelian.

  • 1x Sonicgear Studiopod V-HD.
  • 1x Alat kawalan jauh.
  • 1x Kabel kuasa tiga pin.
  • 1x Kabel optikal.
  • 1x Kabel 3.5mm ke RCA.
  • 1x Kabel coax sambungan speaker.
  • 1x Manual.

Kesimpulan

Pada harga RM599, Sonicgear Studiopod V-HD dijual pada harga yang sedikit lebih tinggi berbanding speaker 2.0 lain di pasaran seperti yang dikeluarkan oleh Edifier dan Sonicgear sendiri. Tetapi kelebihan Studiopod terletak pada lebih banyak pilihan input seperti optikal dan juga sokongan nirwayar bluetooth.

Yang memberikan tambahan nilai lagi ialah alat kawalan jauh yang disertakan sekali dengan setiap pembelian. Saiznya yang kecil pada awalnya membuatkan kami sedikit risau audio yang dikeluarkan tidak cukup mantap. Tetapi sebenarnya bunyi bukan sahaja lantang, dan terang tetapi hadir dengan kemampuan bass yang cukup baik. Kehadiran tombol fizikal untuk mengawal bass dan treble juga bagus untuk mereka yang ingin melakukan talaan audio yang lebih serasa dengan citarasa peribadi.

Ia masih lagi sepasang speaker 2.0 yang tidak pintar maka harapan pembeli kami rasakan tidak seharusnya terlalu tinggi. Jangan dibandingkan dengan soundbar Sonos atau sistem audio Dolby Atmos Samsung. Studiopod V-HD tidak mengecewakan kerana melangkaui apa yang biasanya kami mahukan dari sebuah speaker dalam kelas yang sama.

Pro

  • Rekaan tahan lasak plastik dan logam.
  • Tombol kawalan analog yang sedap digunakan.
  • Kualiti audio yang memuaskan untuk harga yang dibayar.
  • Sokongan RCA dan optikal.
  • Alat kawalan jauh.
  • Kabel yang panjang disertakan.

Kontra

  • Tiada sokongan bicu audio 3.5mm
  • Sekadar speaker 2.0.
  • Tiada ciri-ciri pintar seperti speaker lebih moden.
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd