Cari @ Amanz

Malam ini, Google telah melancarkan peranti mercu baharu mereka yang ramai nantikan iaitu Google Pixel 7 dan Pixel 7 Pro. Kedua-dua peranti ini seperti biasa telah pun tertiris berbulan sebelum dilancarkan, malah unit prototaip turut telah dijual di beberapa laman e-dagang. Kini akhirnya peranti ini sudah rasmi dan ia memperlihatkan spesifikasi yang lebih menarik.

Rekaan bagi kedua-dua peranti ini bukan lagi rahsia kerana sudah didedahkan oleh Google. Ia masih menggunakan rekabentuk seakan Pixel 6 dan Pixel 6 Pro, tetapi dengan skrin yang lebih rata, rekaan yang nampak lebih premium, serta bar kamera yang kini menggunakan bahan binaan aluminium berbanding kaca sebelum ini. Tubuh peranti pula dibina dengan bahan binaan besi dengan kemasan berbeza, Pixel 7 dengan aluminium zirkonia manakala Pixel 7 Pro dengan aluminium bergilap. Majoriti bahan binaan peranti Pixel yang dilancarkan malam in juga adalah daripada bahan yang dikitar semula.

Pixel 7 Pro

Google Pixel 7 Pro hadir dengan skrin 6.7″ OLED LTPO QHD+. Ia menyokong kadar segar semula 120Hz adaptif yang boleh berubah mengikut jenis kandungan. Peranti ini dijana dengan cip Google Tensor G2 iaitu cip Google tersendiri generasi kedua yang dipadankan dengan memori 12GB RAM dan storan dalaman sehingga 256GB. Bateri pula adalah 5000mAh yang dijamin boleh bertahan sehingga 72 jam dengan pengecasan pantas 30W.

Untuk kamera, Pixel 7 Pro menggunakan konfigurasi tri-kamera dengan sensor 50MP (utama) + 48MP (telefoto) 5x zum optikal + 12MP (sudut ultra lebar) autofokus dan kamera swafoto 10.8 Megapixel. Google turut menyertakan ciri kecerdasan buatan untuk sokongan Macro Focus, Cinematic Blur, rakaman video 10-bit HDR, Super Res Zoom 30x zum dan Real Tone untuk warna kulit yang adil.

Google turut mengekalkan penggunaan cip sekuriti mereka Titan M2 yang memberi perlindungan peranti serta untuk imbasan cap jari bawah skrin dan akhirnya kembali menyokong nyahkunci berasaskan wajah. Pixel 7 Pro turut mempunyai perlindungan air dan debu IP68. Google menawarkan pilihan warna Obsidian, Hazel atau Snow untuk peranti ini.

Pixel 7

Pixel 7 hadir dengan saiz yang lebih kecil. Skrin peranti ini menggunakan panel bersaiz lebih kecil iaitu 6.3″ OLED FHD+ dan kadar segar semula hanya 90Hz. Ia dijana dengan cip yang sama iaitu Google Tensor G2, tetapi memori dihadkan kepada hanya 8GB RAM. Storan juga sama dengan penawaran sehingga 256GB. Bateri peranti adalah lebih besar dengan kapasiti 4355mAh dengan pengecasan 30W juga. Jaminan ketahanan bateri juga sama iaitu sehingga 72 jam, tetapi perlu menggunakan mod Extreme Batteru Saver.

Untuk kamera, Pixel 7 menggunakan sensor yang sama – tetapi konfigurasi adalah dwi-kamera dengan ketiadaan sensor telefoto 5x optikal zum 48MP. Sensor yang digunakan adalah 50+12 Megapixel, tiada sokongan Macro Focus, ciri Super Res Zoom pula hanya 8x zum sahaja – tetapi masih menyokong ciri rakaman video Cinematic Blur/Movie Motion Focus. Kamera swafoto juga sama dengan Pro iaitu 10.8 MP.

Seperti model Pro, peranti ini turut mempunyai cip sekuriti Titan M2, sokongan imbasan wajah, pengimbas cap jari bawah skrin dan juga perlindungan IP68. Google menawarkan pilihan warna Obsidian, Lemongrass atau Snow.


Kedua-dua peranti mempunyai sokongan paparan HDR10+, speaker stereo, hadir terus dengan Android 13 dengan kemaskini sekuriti selama lima tahun. dan beberapa ciri eksklusif Pixel 7 seperti VPN percuma melalui Google One.

Harga jualan Pixel 7 bermula dengan $599 (~RM2,777) untuk 128GB, manakala Pixel 7 Pro pula bermula dengan $899 (~RM4,168) untuk 128GB. Bagi model 256GB, Pixel 7 dijual pada harga $699 (~RM3240) dan Pixel 7 Pro pula $999 (~RM4,631). Khusus untuk Pro, variasi 512GB turut ditawarkan dengan harga $1099 (~RM5,095)

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd