Carian
Rekaan MBT AbramsX Diperlihatkan Oleh General Dynamics
October 10, 2022 Effi Saharudin

General Dynamics LandcSystems akhirnya memperlihatkan rekaan konsep untuk kereta kebal utama (MBT) AbramsX yang akan mengemaskini rekaan MBT Abrams asal yang dibangunkan ketika perang dingin 50 tahun yang lalu. AbramsX masih lagi sebuah MBT dengan meriam utama 120MM tetapi kini tanpa bore evacuator yang digantikan dengan lubang udara pada bahagian muncung.

Rekaan turet meriam utama juga berbeza sama sekali dengan bahagian hadapan yang sedang menggantikan turet asal yang berkotak. Sekilas pandang turet AbramsX mirip dengan yang digunakan pada MBT K2 Black Panther Korea Selatan dan Type 10 Jepun.

AbramsX hanya memerlukan tiga krew berbanding empat kerana tugas mengisi peluru ke dalam meriam digantikan dengan sistem autoloader. Keseluruhan turet kini juga tidak didiami sebarang krew dengan mereka duduk di dalam bahagian tubuh kereta kebal. Di bahagian luar terdapat pelbagai sistem elektro optikal untuk sistem pemantauan medan perang, kamera 360 darjah untuk pemandu, kamera mencari sasaran dan kamera untuk komander kereta kebal.

Enjin hibrid AbramsX dikatakan menjimatkan penggunaan bahan api sehingga 50%. Ia turut membolehkan AbramsX beroperasi dengan senyap apabila memasuki kawasan musuh. Pada bahagian bumbung turet juga dapat dilihat meriam 30mm yang dikawal menggunakan alat kawalan jauh. Tiada sistem pertahanan aktif dapat dilihat pada prototaip dapat dilihat tetapi ia pastinya digunakan kerana diperlihatkan pada M1A2 SEPv3 yang dilancarkan awal tahun ini.

Program modenisasi Abrams sudah lama diperlukan selepas kelemahan MBT era perang dingin terdedah di medan tempur moden yang dipenuhi sistem ATGM serta keperluan bertempur di kawasan urban. Model generasi baharu MBT Challenger 3 dan KF51 Panther yang seangkatan dengan Abrams telahpun dilancarkan sebelum ini tetapi dengan perubahan yang tidak begitu drastik.

Komen