Set Realiti Maya Pico 4 Kini Di Malaysia Dengan Harga Bermula RM1699

Diterbitkan pada Okt 12, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Bulan lepas, syarikat di sebalik TikTok iaitu Bytedance telah melancarkan set kepala realiti maya bahru Pico 4. Seperti yang diumumkan sebelum ini Pico 4 akan ditawarkan di Malaysia dan hari ini, mereka telah mengumumkan harga jualannya.

Pico 4 dijual pada harga RM1,699 untuk 8/128 GB dan RM1,999 untuk 8/256 GB. Ia boleh dibeli bermula hari ini 12 Oktober ini di Lazada atau Shopee. Pico turut akan menawarkan berkas pembelian dengan pelbagai permainan realiti maya.

Sempena pelancaran Pico 4 hari ini, 14-16 Oktober diskaun sebanyak RM100 akan diberikan menjadikan harga jualan kepada RM1,599 untuk 8/128 GB dan RM1,899 untuk 8/256 GB dengan empat permainan realiti maya percuma serta kerangka simpanan. Manakala, dari 12 Oktober sehingga 31 Januari – mereka yang membeli pada tarikh ini akan menerima empat permainan percuma.

Pico 4 adalah set kepala realiti maya yang cukup kompak tetapi berkuasa. Ia menggunakan lensa dengan resolusi 2,160 x 2,160 pada setiap satu atau 4K+ secara keseluruhan. Ia menyokong kadar segar semula sehingga 90Hz. Lensa juga adalah jenis Pancake Lens 105 darjah sudut pandangan dan menyokong 62-72 mm jarak pupilari-dalaman. Keunikan Pico 4 ini adalah ia menyokong mod tembus lihat dengan warna berbanding pesaing seperti Oculus Quest yang hanya memaparkan hitam putih dan grafik aneh.

Untuk penjejakan ia menggunakan 6 sensor DoF, mempunyai speaker terbina, dua mikrofon, dijana dengan cip Snapdragon XR2, memori 8GB RAM dengan storan dalaman mencapai 256GB. Bateri adalah 5300mAh dengan pengecasan 20W dan menjalankan sistem operasi Pico OS 5.0.

komen


© Amanz / 2022 Kami