Carian
Firefox Relay Premium Kini Boleh Menyembunyikan Nombor Telefon Pula
October 13, 2022 Fahim Zahar

Firefox Relay mula diperkenalkan kepada pengguna Malaysia pada November tahun 2021. Ia adalah ciri yang membolehkan emel sebenar pengguna disembunyikan dan digantikan dengan alamat emel sementara. Ciri ini kemudiannya hadir dalam bentuk pemalam Chrome, memperluaskan lagi sokongan ciri sekuriti Mozilla ini untuk platform lain.

Walaupun Firefox Relay percuma digunakan, ia mempunyai had dan jika pengguna ingin menyembunyikan secara tanpa had langganan ke Fierfox Relay Premium diperlukan dengan harga serendah $0.99 (~RM4.64) sebulan jika mengambil pelan tahunan. Terkini Firefox Relay Premium menawarkan ciri baharu iaitu menyembunyikan nombor telefon pula.

Harganya adalah $4.99 sebulan (~RM23.40) atau $3.99 sebulan untuk pelan tahunan (~RM18.71). Ciri ini akan menyembunyikan nombor telefon sebenar pengguna dan menggantikan dengan nombor telefon sementara. Tetapi nombor ini hanya boleh dijana sekali dan tidak boleh ditukar.

Ciri ini membenarkan pengguna menggunakan nombor sementara untuk membalas mesej pengesahan jika perlu dibalas serta mengelak daripada panggilan telefon Spam. Ini bermakna dengan ciri ini nombor sebenar pengguna akan lebih selamat dan tidak akan menerima gangguan.

Perkhidmatan ini akan memberikan 50 minit panggilan telefon dan 75 SMS setiap bulan. Sokongan menyembunyikan emel tanpa had turut ditawarkan bersama-sama. Ia juga terhad di Amerika Syarikat dan Kanada buat masa ini dan tiada sebarang informasi jika ia akan dikembangkan ke negara lain.

Ciri yang sama turut ditawarkan oleh Google melalui Google Voice dan ia adalah percuma, tetapi turut terhad di negara terpilih sahaja.

Komen