Ciri privasi dinamakan App Tracking Transparency diperkenalkan sejak iOS 14.5. Melaluinya, ia memerlukan aplikasi meminta kebenaran pengguna terlebih dahulu sebelum memantau penggunaan mereka. Pemantauan ini adalah untuk paparan iklan yang sesuai dengan minat pengguna.
Ciri ini dikatakan telah mengakibatkan Meta kerugian sebanyak RM41 bilion sepanjang tahun 2022. Tetapi pada sistem Apple sendiri iaitu dalam iOS dan iPadOS, di App Store bahagian carian tetap akan memaparkan iklan walaupun ia bukan citarasa pengguna.
Pada Ogos lalu, mereka mula paparkan iklan pada halaman utama App Store pula iaitu Today. Kemudian bulan ini, Apple mula memaparkan iklan pada bahagian cadangan You Might Also Like. Sejak paparan iklan ini dimulakan, pembangun mula meluahkan rasa tidak puas hati kerana halaman aplikasi mereka dipenuhi dengan iklan judi.
Kini, Apple telah menghentikan sementara paparan iklan berkaitan dengan judi dan beberapa kategori lain. Tetapi tidak dijelaskan sampai bila dan apakah jalan penyelesaian untuk menghentikan paparan iklan tidak berkualiti ini.