Redmagic sebenarnya sudah lama memasuki pasaran Malaysia sejak 2019 cuma pemasaran peranti ini tidak cukup baik. Hanya mereka yang mengikuti perkembangan jenama ini sahaja akan tahu apakah yang terkini. Peranti terkini mereka adalah Redmagic 7S Pro, sebuah peranti gaming dengan cip Snapdragon 8+ Gen 1 dan skrin penuh dengan kamera swafoto di bawah skrin. Harga jualan bermula RM3,999 dan mencapai sehingga RM4,999. Adakah ini peranti gaming terbaik dan patutkah anda membelinya?
Spesifikasi Dan Rekaan
REDMAGIC 7S Pro | |
---|---|
Skrin | 6.8″ AMOLED FHD+ (1080×2400) 120Hz |
Pemproses | Snapdragon 8+ Gen 1 (4nm) |
Cip | 1x 3.19 GHz Cortex-X2 3x 2.75 GHz Cortex-A710 4×1.80 GHz Cortex |
Cip Grafik | Adreno 730 |
RAM | 12/18 GB LPDDR5 |
Muatan Dalaman | 256/512 GB UFS 3.1 |
Kamera Utama | 64MP, f/1.79, OIS (Utama) 8MP, f/2.2 (Sudut ultra-lebar) 2MP, f/2.4 (Makro) |
Kamera Swafoto | 16MP UDC Pro |
Bateri | 5000 mAh Pengecasan berwayar 65W |
SIM/Telefoni | Dwi SIM nano 5G |
NFC | Ada |
Audio | Stereo |
Kalis Air | Tiada |
Sistem Imbasan | Imbasan jari bawah skrin |
Harga Jualan | RM 3,999 (12/256 GB) RM 4,999 (18/512 GB) |
Dalam banyak-banyak peranti gaming, Redmagic 7S Pro adalah antara yang tercantik dari segi rekaan. Ia ringkas, elegan dan sedap mata memandang. Unit ulasan yang saya terima ini berwarna Mercury, warna perak dengan panel kaca lutsinar menampakkan kipas RGB serta teks memberitahu lokasi komponen-komponen penting. Ia juga agak rata, jadi tiada masalah apabila diletakkan di permukaan yang rata. Di belakang turut boleh dilihat kekisi untuk mengeluarkan haba, begitu juga di sisi.
Semua butang kuasa dan butang aras suara berada di sisi kanan dengan butang lungsur di kiri untuk memasuki mod gaming. Peranti ini mempunyai rekaan yang kemas, dengan kekisi speaker di atas dan bawah yang berbeza dengan kebanyakan peranti, masih mempunyai port bicu audio 3.5mm, dan turut mempunyai butang sesentuh di bahu untuk kawalan permainan video mudah alih.
Skrin peranti ini adalah 6.8-inci FHD+ AMOLED dengan kadar segar semula 120Hz dan kadar sentuhan 960Hz. Skrin peranti juga adalah jenis nirbingkai penuh tanpa takuk atau lubang dengan kamera di bawah skrin. Ia adalah skrin yang asas, tiada HDR10+, tiada Dolby Vision – jadi warnanya kadangkala sedikit pudar dengan hanya dalam mod permua sahaja warna akan menjadi lebih tajam dan terang. Skrin Redmagic 7S Pro ini bukan sahaja hampir nirbingkai penuh dengan bezel yang agak nipis, tetapi menggunakan kaedah “dwi-skrin” bagi menyembunyikan kamera swafoto.
Skrin juga adalah jenis rata, jadi pengalaman bermain permua selesa dan menonton video dalam keadaan yang imersif. Kadar segar semula padanya juga pantas dan jarang berlaku lengah masa. Dalam banyak-banyak skrin yang menyokong kadar segar semula 120Hz, peranti ini antara yang memuaskan.
Redmagic 7S Pro dijana dengan cip Snapdragon 8+ Gen 1, antara yang paling berkuasa untuk peranti Android. Ia dipadankan dengan memori sehingga 18GB RAM LPDDR5 seperti pada unit ulasan ini dengan storan dalaman 512GB UFS 3.1. Kamera adalah 64+8+2 Megapixel dengan kamera swafoto bawah skrin 16 Megapixel.
Bateri peranti adalah 5000mAh dengan sokongan pengecasan pantas 65W berasaskan GaN. Redmagic 7S Pro turut menggunakan sistem penyejukan tersendiri iaitu REDMAGIC ICE 10.0 Multi-dimensional Cooling System yang dilengkapi dengan kipas penyejuk RGB yang berpusing pada kadar 20,000 RPM. Selain itu, ia turut menyertakan cip tersendiri Red Core 1 untuk mengendalikan ciri gaming seperti audio dan haptik. Sistem operasi yang digunakan adalah RedMagic OS 5.5 berasaskan Android 12.
Secara keseluruhan, di atas kertas peranti ini tidak dinafikan menawarkan spesifikasi yang cukup hebat. Namun bagaimana dengan penggunaan di dunia nyata?
Penggunaan Dan Perisian
Amat jarang berlaku di makmal Amanz, hidupkan sahaja sebuah peranti mercu saya terus rasa kecewa. Biasanya saya akan rasa gembira dan teruja kerana tidak sabar menguji ciri dan fungsi menarik pada sesebuah peranti. Redmagic 7S Pro yang menjalankan RedMagic OS 5.5 adalah antara sistem operasi yang paling bermasalah pernah saya gunakan.
Ia menggunakan muka taip yang tidak kemas, teks bahasa Inggeris semuanya tidak tepat seakan terjemahan secara terus daripada bahasa Cina, dan widget utama mereka untuk mengawal kadar segar semula juga tidak begitu efisien digunakan.
Sistem operasi pada peranti ini amat ringkas dengan tema yang ringan. Pada awalnya memang rasa menarik, kerana mudah difahami untuk melakukan apa yang dikehendaki. Ia juga padat dengan ciri dan fungsi seperti imbasan cap jari bawah skrin yang juga boleh mengimbas nadi, boleh kawal jumlah piksel pada kawasan kamera swafoto, mempunyai pembantu digital anime yang boleh memberitahu notifikasi ketika dalam sesi permainan, kipas RGB pintar yang berpusing secara automatik apabila peranti memanas, dan banyak widget menarik.
Cuma pada bahagian bateri tidak boleh menyemak SOT, sistem kecerahan automatik tidak begitu tepat, kawalan aras suara juga tidak spesifik, dan paling tidak senang adalah kemas kini sistem yang tidak konsisten. Semasa awal penggunaan, dalam tetapan bahagian Google Play system update lebih lima kali saya muat turun kemas kini dan but semula peranti – tetapi ia masih kekal dengan versi lama.
Ia hanya menjadi normal selepas beberapa hari penggunaan dengan kemas kini sistem diedarkan. Setakat artikel ini ditulis sudah dua kemas kini sistem saya terima dengan tiada log perubahan jelas untuk apakah perubahan yang diberikan.
Wakil Redmagic turut memberitahu Amanz, peranti ini hanya akan disokong dua tahun sahaja – yang mana satu kelemahan besar untuk peranti bernilai hampir RM5000.
Memandangkan peranti ini adalah peranti gaming, kekuatannya adalah pada permua. Game Space yang mereka gunakan adalah sangat ringkas dan menyertakan ciri penting yang amat melengkapkan lagi pengalaman bermain permua. Ia juga memberikan prestasi yang amat memuaskan, tidak kita permua COD Mobile, PUBG Mobile atau Asphalt 9.
Butang bahu pada peranti ini dengan gandingan kesan haptik adalah baik sekali dan hampir realistik. Saya boleh katakan lebih kurang dengan Black Shark sebelum menggunakan butang fizikal dan ROG Phone. Kipas pada peranti ini turut membantu menjadikan peranti sentiasa sejuk dan tidak berada di tahap memanas yang melampau.
Paling menarik pada saya adalah Redmagic Studio, ciri menyiarkan skrin peranti terus ke laptop atau televisyen pintar. Melaluinya, peranti akan menjadi alat kawalan dan laptop atau TV menjadi skrin utama. Dalam ujian saya, ia agak pantas dan hebat – tetapi ada sedikit sela masa yang saya yakin berpunca daripada sambungan Internet yang lemah. Ia juga boleh digunakan untuk memaparkan sesi permainan kepada orang lain untuk lihat betapa hebatnya skil bermain permua kegemaran.
Penanda Aras
Adalah adil untuk saya bandingkan Redmagic 7S Pro bersama dengan Asus ROG Phone 6 Pro dan juga Black Shark 5 Pro. Ketiga-tiga ini adalah peranti gaming yang ada di makmal Amanz. Tidak mengejutkan, peranti ini menerima skor penanda aras paling tinggi. Dengan pengalaman bermain yang sangat baik, tidak dinafikan lagi ia mampu mencapai skor yang bagus.
Setiap ujian penanda aras, kipas berjalan secara automatik dan saya masukkan aplikasi AnTuTu 3D, Geekbench 5 dan 3DMark ke dalam Game Space. Melalui AnTuTu peranti ini menerima skor 1,108,890, Geekbench 5 dengan 1,345/4,201 dan 3DMark pada nilai 2,719. Berikut adalah perbandingan degan dua peranti gaming lain;
AnTuTu 3D
- Redmagic 7S Pro: 1,108,890
- ROG Phone 6 Pro: 1,099,5132
- Black Shark 5 Pro: 1,018,939
Geekbench 5
- Redmagic 7S Pro: 1,345/4,201
- ROG Phone 6 Pro: 1,312/4,191
- Black Shark 5 Pro: 1,202/3,693
3DMark
- Redmagic 7S Pro: 2,719
- ROG Phone 6 Pro: 2,786
- Black Shark 5 Pro: –
Peranti ini dilihat hanya tewas dengan 3DMark, tetapi paling tinggi berbanding pesaing lain. Nombor yang tinggi ini selari dengan pengalaman saya menggunakan peranti ini untuk hampir sebulan.
Telefoni Dan GPS
Redmagic 7S Pro adalah antara peranti yang amat baik dengan sambungan Internet, tidak kira melalui WiFi atau data mudah alih. Setakat ini, penggunaan saya adalah stabil dan tiada masalah walaupun berada di kawasan yang biasanya Internet tidak begitu pantas.
Dalam senarai peranti di DNB, hanya Redmagic 7 yang disenaraikan. Saya yakin Redmagic 7s Pro turut akan menyokong 5G, cuma di kawasan pejabat dan rumah 5G masih tidak cukup stabil dan kad SIM YES yang saya gunakan tidak dapat menggunakannya.
Panggilan telefon juga agak jelas, cuma suara kedengaran sedikit aneh – mungkin cip Red Core 1 yang tersendiri. GPS juga agak baik, tiada masalah serius sepanjang penggunaan saya untuk beberapa minggu.
Kamera
Peranti yang berharga RM3,999 dan RM4,999 ini percaya atau tidak mempunyai kualiti kamera seakan peranti bernilai RM599. Ia adalah antara yang mengecewakan, tidak jelas, aplikasi kamera yang tidak mesra pengguna dan paling mengecewakan kamera swafoto yang kabur seakan lensa yang kotor.
Saya sudah cuba mengambil gambar di kawasan dengan cahaya yang terang, butiran tidak dipelihara dengan baik. Mod malam juga mengecewakan dengan kemampuan yang ala kadar sahaja. Mod sudut ultra lebar dan makro juga menghasilkan gambar yang di bawah tahap yang memuaskan. Ia memang peranti gaming tetapi beberapa peranti dalam kelas yang sama tahun ini sekurang-kurangnya boleh mengambil gambar yang senonoh pada lensa sudut lebar. Kualiti kamera yang tidak memuaskan adalah sesuatu yang sukar dimaafkan untuk peranti yang mahal seperti ini.
Bateri
Bateri walau bagaimanapun, agak hebat dan tahan lama. Mungkin peranti sentiasa sejuk memainkan peranan. Tetapi dalam penggunaan saya, tiada masalah untuk mencapai 7-8 jam SOT dengan penggunaan ringan dan 5-6 jam SOT jika aktif bermain permua dan menstrim video. Bateri 5000mAh ini juga agak pantas dicas dengan kuasa 65W melalui teknologi GaN. Saya turut memiliki pengecas Nubia GaN 65W, ia menyokong pengecasan pantas ini tanpa sebarang masalah.
Tempoh pengecasan adalah sekitar 50 minit mengikut kondisi peranti. Pengecas GaN yang digunakan adalah berasaskan PD3.0. Agak mengecewakan unit di Malaysia tidak dapat pengecas 135W seperti di China yang boleh mengecas peranti dari 0%-100% dalam masa 15 minit.
Audio
Walaupun Redmagic 7S Pro menggunakan sistem speaker stereo, ia tidak mempunyai kualiti yang memuaskan. Pertama seperti saya sebutkan sebelum ini, kawalan aras suara tidak begitu baik dan tidak konsisten. Kemudian tidak kira media apa yang dimainkan, ia sedikit tenggelam dengan bass yang tidak begitu dalam dan tidak mempunyai audio yang cukup lantang. Bermain permua aneh sekali tidak memberikan sebarang masalah. Seakan peranti ini dibuat hanya untuk bermain permua dan tidak boleh melakukan aktiviti lain.
Pesaing
Redmagic 7S Pro | Asus ROG Phone 6 Pro | Black Shark 5 Pro |
6.8″ AMOLED, 1080 x 2400FHD+, 120Hz | 6.78″ AMOLED, 1080 x 2448 FHD+, 165Hz, HDR10+ | 6.67″ AMOLED, 1080 x 2412 FHD+, 120Hz, HDR10+ |
Snapdragon 8+ Gen 1 (4nm) 1x 3.19 GHz Cortex-X2 3x 2.75 GHz Cortex-A710 4×1.80 GHz Cortex | Snapdragon 8+ Gen 1 (4nm) 1x 3.19 GHz Cortex-X2 3x 2.75 GHz Cortex-A710 4×1.80 GHz Cortex | Snapdragon 8 Gen 1 (4nm) 1x 3.00 GHz Cortex-X2 3x 2.50 GHz Cortex-A710 4x 1.80 GHz Cortex-A510 |
Adreno 730 | Adreno 730 | Adreno 730 |
12/18 GB RAM LPDDR5 256/512 GB UFS 3.1 | 12/16/18 GB RAM LPDDR5 256/512 GB UFS 3.1 | 12/16 GB RAM LPDDR5 256 GB UFS 3.1 |
64MP, f/1.79, (utama) 8MP, f/2.2 (sudut ultra-lebar) 2MP, f/2.4 (makro) | 50MP, f/1.9 (utama) 13MP, (sudut ultra-lebar) 5MP, (makro) | 108MP, f/1.8 (utama) 13MP, f/2.4 (sudut ultra-lebar) 5MP, f/2.4 (makro) |
16MP UDC Pro | 12MP | 16MP |
Ada bicu audio 3.5mm | Ada bicu audio 3.5mm | Tiada bicu audio 3.5mm |
Audio Stereo | Audio Stereo | Audio Stereo |
5,000 mAh Pengecasan pantas 65W | 6,000 mAh Pengecasan pantas 65W | 4,650mAh Pengecasan pantas 120W |
RM 3999 (12/256 GB) RM 4999 (18/512 GB) | RM 3599 (12/256 GB) RM 4399 (16/512 GB) RM 4999 (12/256 GB) | RM 3,599 (12/256 GB) RM 3,899 (16/256 GB) |
Dalam Kotak
Berikut ialah apa yang diterima dengan setiap pembelian peranti di Malaysia.
- 1x Redmagic 7S Pro
- 1x Kabel pengecas USB-C ke USB-C.
- 1x Pengecas GaN 65W.
- 1x Kerangka silikon
- 1x Manual.
- 1x Pin SIM
Kesimpulan
Sah, tidak dinafikan lagi Redmagic 7S Pro adalah peranti khusus untuk gaming sahaja. Jika anda rasakan kamera dan audio bukan satu kepentingan dan paparan hanya FHD+ tanpa piawaian HDR10+ atau Dolby Vision – peranti ini adalah antara yang terbaik untuk bermain permua. Kemudian jika anda rasakan kemas kini hanya dua tahun mencukupi, ini adalah peranti untuk anda.
Redmagic 7S Pro tidak memerlukan kipas penyejuk asing, kerana sudah terbina, menawarkan ketahanan bateri yang memuaskan, hadir dengan rekaan menarik dan premium, serta memfokuskan gaming sepenuhnya dengan Game Space serta Redmagic Studio. RM4,999 untuk 18/512 GB mungkin agak mahal, tetapi pada hemat saya 12/256 GB mungkin sudah memadai dan akan memuaskan.
Cuma, dalam pengalaman kami di Amanz – dengan harga RM100 lebih murah anda boleh beli Black Shark 5 Pro 12/256 pada harga RM3,899 yang mempunyai butang bahu fizikal atau Asus ROG Phone 6D pada harga sama dengan ciri yang lebih baik.
Pro
- Rekaan yang cantik, unik dan premium.
- Skrin penuh tanpa takuk dan lubang.
- Prestasi yang dahsyat dengan ciri gaming yang memuaskan.
- Ketahanan bateri yang memuaskan dan pengecasan yang cukup pantas.
Kontra
- Kamera yang sangat lemah.
- Sistem operasi yang tidak begitu indah.
- Skrin tiada piawaian paparan yang cantik.
- Audio yang tidak memuaskan.