Devialet adalah jenama produk audio premium yang menghasilkan speaker dan TWS yang unik dan mempunyai rekaan yang lain daripada yang lain seperti Devialet Dione, iaitu soundbar dengan bebola yang boleh laras audio. Devialet turut hadir dengan penyandar kepala kerusi pesawat Euphony dan turut bekerjasama dengan Huawei untuk TWS dan speaker pintar mereka.
Terkini, mereka hadir dengan Devialet Mania – iaitu speaker mudah alih baharu dengan rekaan bertemakan barangan dari dunia sains fiksyen.
Devialet Mania hadir dengan empat pemacu audio penuh dan dua sub-woofer yang menjanjikan audio 360 darjah. Menariknya, menurut Devialet – mania boleh mengubah profil audio berdasarkan posisi speaker ini. Ini kerana empat mikrofon yang terbina padanya boleh menala audio dengan baik, misalnya jika rapat ke dinding dua pemacu audio belakang boleh menguatkan dua pemacu di hadapan. Ini dibolehkan melalui sistem ASC – Active Stereo Calibration.
SAM – Speaker Active Matching, adalah sistem yang digunakan untuk mengadaptasi isyarat audio bagi mengeluarkan audio yang baik dari frekuensi rendah ke tinggi. Sementara sistem Cross-stereo architecture memastikan audio stereo sentiasa boleh dicapai tidak kira di mana speaker berada.
Mania menyokong WiFi dan Bluetooth dan boleh digunakan melalui Spotify Connect atau AirPlay 2. Ia juga adalah speaker pintar dengan Alexa dengan perlindungan IPX4 dan mempunyai port USB-C untuk pengecasan. bateri boleh bertahan sehingga 10 jam dengan aras suara yang sederhana dan ia turut boleh dikawal sepenuhnya dengan aplikasi.
Devialet Mania turut boleh digunakan sepenuhnya tanpa kerisauan bateri habis melalui Devialet Mania Station, iaitu dermaga pengecas tersendiri. Harga jualan adalah $790 (~RM3744) untuk speaker dengan pilihan warna perak atau hitam, $80 (~RM379) untuk dermaga pengecas atau $990 (~RM4692) untuk Devialet Mania Opéra de Paris yang hadir sekali dengan dermaga serta mempunyai pilihan warna emas.