Sebelum ini, pernah tertiris melalui kod Android untuk peranti Pixel yang ditemui oleh pembangun bebas yang Google sedang membangunkan peranti Pixel yang lebih berkuasa berbanding Pixel 7 Pro dan mungkin juga sebuah Pixel 7 Mini.
Akan tetapi, selepas Google mengemaskini fail imej Android pada Pixel 7 – kod nama Pixel Lynx (L10) disahkan ia bukannya Pixel Ultra atau Mini sebaliknya adalah untuk Pixel 7a. Peranti ini menggunakan sistem kamera yang Google senaraikan sebagai Pixel 22 Mid-range.
Peranti yang dikatakan Pixel 7a ini akan menggunakan sistem dwi-kamera dengan sensor 64MP sudut lebar Sony IMX787 dan sensor 13MP sudut ultra-lebar Sony IMX712 (belum diumumkan). Ia adalah satu naik taraf untuk kamera utama yang sebelum ini menggunakan sensor 12.2MP Sony IMX363 yang biasa digunakan.
Peranti ini turut dikatakan akan menyokong pengecasan nirwayar 5W, dijana dengan cip Google Tensor (tidaK didedahkan versi mana) dengan padanan modem Qualcomm WCN6740 yang membolehkan sambungan WiFi 6E dan Bluetooth yang lebih baik digunakan.
Skrin peranti pula adalah daripada Samsung dengan resolusi 1080p dan kadar segar semula 90Hz. Dengan spesifikasi yang tertiris ini, Pixel 7a mungkin akan menjadi pembunuh peranti kelas pertengahan dari segi kamera dan prestasi. Pixel dikenali dengan kehebatan perisian yang dibantu oleh sistem kecerdasan buatan Google.
Sama-sama kita nantikan.