Carian
Permua Android Dengan Sokongan Ray Tracing Akan Muncul Tahun 2023
November 16, 2022 Effi Saharudin

Tahun ini cip pemprosesan Android dengan sokongan Ray Tracing (RT) telah dilancarkan seperti Exynos 2200, MediaTek Dimensity 9200 dan terkini sekali Snapdragon 8 Gen 2. Tetapi masih tiada permua yang menyokong ciri RT yang selama ini hanya boleh dinikmati di PC serta konsol.

Di acara Snapdragon Summit pagi ini, Qualcomm mengatakan permua pertama yang akan menyokong RT menerusi cip Snapdragon 8 Gen 2 akan muncul pada tahun 2023. Beberapa demo telah diperlihatkan dengan salah satu daripadanya dibangunkan sendiri oleh Oppo. Oppo berkata teknologi RT pada Snapdragon 8 Gen 2 mampu menjalankan pemua pada tetapan 720P 60FPS dengan stabil.

Selain Oppo, sebuah lagi permua dari China dibangunkan oleh NetEase juga dengan sokongan RT. Lebih menarik beberapa pengeluar Android telah disahkan akan menyokong permua dengan RT pada peranti dengan Snapdragon 8 Gen 2 mereka kelak. Dengan ini tahun 2023 akan melihat era RT pada peranti mudah alih akhirnya menjadi realiti selepas demo terawal yang kami lihat adalah 2 tahun yang lalu juga di acara Snapdragon Summit.

Komen