Carian
Akaun Baharu Twitter Perlu Tunggu 90 Hari Untuk Melanggan Twitter Blue
November 18, 2022 Fahim Zahar

Langganan Twitter Blue kini dihentikan bagi mengelakkan salah guna dan mengelakkan masalah penyamaran identiti. Ia hanya akan dikembalikan pada 29 November nanti. Ini kerana, Twitter Blue kini menawarkan tanda calit biru bagi mengesahkan akaun yang melanggan sama seperti akaun Twitter selebriti, agensi kerajaan, orang ternama atau jenama besar.

Kini, laman Twitter Blue baharu menyatakan bukan semua akaun Twitter dibenarkan melanggan Twitter Blue. Jika akaun yang baru dicipta, ia perlu tunggu selama 90 hari sebelum boleh mula melanggan. Twitter turut menyatakan yang di masa akan datang, akaun terpilih mungkin akan mempunyai tempoh menunggu lain tanpa sebarang notis.

Twitter Blue buat masa ini hanya akan ditawarkan kepada Ameria Syarikat, Kanada, Australia, New Zealand, dan UK. Ia juga terhad kepada pengguna iOS sahaja, di mana jika pengguna sudah melanggan Twitter Blue – mereka perlu menaik taraf ke langganan baharu. Sementara pengguna yang melanggan melalui Android tiada pilihan untuk naik taraf ke pelan baharu yang menyokong tanda calit biru.

Di Malaysia, harga Twitter Blue mungkin akan bernilai RM34.90 sebulan. Namun ia mungkin berubah di masa akan datang apabila sudah rasmi nanti.

Komen