Cari @ Amanz

Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) kini menyarankan negara ahli untuk menggantikan penggunaan nama cacar monkey ke mpox sahaja bermula dari sekarang. Tindakan penamaan semula dilakukan bagi mengelakkan stigma penggunaan nama monyet yang mempunyai stigma perkauman memandangkan kes banyak dilaporkan di Afrika. Cadangan menukar nama cacar monyet diumumkan pada Jun lalu dengan pendapat saintis utama dikumpul terlebih dahulu oleh WHO.

WHO akan menghentikan penggunaan nama cacar monyet dalam masa setahun secara beransur-ansur untuk memudahkan klasifikasi serta memastikan kesinambungan pengumpulan data. Ia juga bagi mengelakkan kekeliruan kerana wabak cacar monyet masih lagi aktif pada waktu ini di beberapa negara.

Nama cacar monyet telah digunakan sejak 1970 walaupun ia pada asalnya ditemukan pada monyet pada tahun 1958. Pada waktu tersebut mengaitkan nama haiwan dan lokasi kepada virus adalah satu kebiasaan. Sejak 2015 amalan ini dihentikan bagi mengelakkan stigma. Ini dapat dilihat selepas varian virus Covid-19 diberikan penamaan Yunani baharu dan bukannya varian India serta sebagainya bagi mengelakkan seluruh negara India mendapat stigma negatif.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd