Carian
Imej Pengolokan Google Pixel 7a Tertiris Dengan Rekaan Mirip Pixel 7
November 30, 2022 Amy Maizuraa

Berita mengenai kewujudan Google Pixel 7a bukan sesuatu yang baharu untuk diperkatakan. Malahan elemen yang bakal dibawa olehnya turut mula diperlihatkan dalam beberapa imej pengolokan tular. Ia juga dijangka hadir dengan penambahbaikan menarik berbanding generasi terdahulu, termasuklah sokongan kadar segar semula yang tinggi.

Dari apa yang boleh dilihat, Google Pixel 7a mempunyai rekaan yang mirip dengan Google Pixel 7. Di mana panel belakang menempatkan bar kamera berkilat dengan padanan sistem dwi-kamera utama. Turut disertakan adalah LED Flash yang diletakkan selari dengan kedua-dua sensor berkenaan. Logo Google turut disertakan pada bahagian tengah seperti kebiasannya.

Panel hadapan pula sejenis berlubang di bahagian tengah untuk kamera swafoto tunggal. Saiz bezel tampak nipis, tetapi masih menyertakan dagu yang agak besar. Sisi kanan terdapatnya butang kuasa dan laras suara, manakala slot dwi-sim ditempatkan pada bahagian kiri. Bahagian bawah pula disertakan dengan pembesar suara serta port USB-C.

Tiada sokongan bicu audio 3.5mm yang boleh ditemui, sekaligus menidakkan khabar angin yang tular sebelum ini. Google Pixel 7a dijangka tiba sekitar awal tahun 2023, namun belum ada sebarang tarikh khusus yang diketahui.

Komen