Carian
Kemelut Twitter Dan Apple Selesai Selepas Elon Musk Bertemu Tim Cook
December 1, 2022 Effi Saharudin

Beberapa hari yang lalu Elon Musk mengamuk di Twitter kerana Apple berhenti menggunakan pengiklanan di platform yang baru dibeli oleh beliau. Musk turut mendakwa Apple ingin membuang aplikasi Twitter dari App Store kerana sebab tertentu. Semalam Elon Musk melakukan pertemuan empat mata dengan Tim Cook untuk menyelesaikan beberapa perkara berbangkit.

Musk kini berpuas hati Apple tidak akan membuang aplikasi dari App Store. Salah faham antara kedua-dua syarikat menyebabkan Musk mengatakan Apple akan melakukan tindakan yang dilihat boleh mendatangkan impak negatif kepada Twitter. Apakah topik lain yang dibincangkan oleh Musk dan Cook tidak pula didedahkan oleh kedua-dua ketua syarikat.

Apple sebelum ini menghalang aplikasi Tumblr dan Parler daripada diakses pengguna kerana isu mengenai kandungan lucah serta yang tidak ditapis dari unsur prejudis. Aplikasi dibangunkan Epic Games pula diharamkan sehingga sekarang selepas mereka menawarkan pembelian mata wang dalam permainan Fortnite yang memintas sistem IAP App Store.

Komen