SMS Kini Berusia 30 Tahun – Masih Relevankah Di Tahun 2022?

Diterbitkan pada Dis 3, 2022. oleh .

Khidmat pesanan ringkat atau lebih dikenali sebagai SMS (Short Message Service) di kalangan pengguna telefon mudah alih. SMS pertama telah dihantar pada 3 Disember 1992 – 30 tahun yang lalu oleh Neil Papworth seorang jurutera di Sema Group kepada Richard Jarvis seorang kakitangan Vodafone. Kerana telefon selular pada waktu tersebut tidak menyokong ciri menaip teks, SMS pertama dihantar oleh Papworth yang berasal dari UK menggunakan sebuah PC.

Mesej pertama yang dihantar ialah “Merrry Christmas” dengan ia diterima pada sebuah telefon “mudah alih” Orbitel 901 yang seberat 2 kilogram. Walaupun dihantar buat pertama kalinya pada tahu 1992, teknologi ini dibangunkan oleh Friedhelm Hillebrand dan Bernard Ghillebaert pada tahun 1984 di bawah inisiatif Global System for Mobile (GSM) untuk membawakan sokongan penghantar teks menerusi rangkaian selular. Beberapa konsep dihasilkan dengan Hildebrand mendapati had 160 aksara adalah mencukupi untuk keperluan pengguna.

Akhir tahun lalu replika SMS pertama yang dihantar Papworth kepada Jarvis telah dijual dalam bentuk NFT ia mencecah harga $149,729 yang kutipan didermakan kepada UNHCR.

Teks pertama dihantar pada tahun 1992 tetapi di peringkat awal hanya syarikat telko boleh menghantar teks ke telefon selular pengguna. Antara yang dihantar ialah maklumat mengenai gangguan perkhidmatan, bil bulanan dan maklumat mengenai mesej dalam peti pesanan suara.

Penghantaran SMS dari pengguna ke pengguna hanya boleh dilakukan pada tahun 1993 selepas Nokia melancarkan beberapa telefon selular GSM terkini mereka. Antara model terawal menyokong penghantaran SMS dua hala ialah Nokia 1011. Di peringkat awal SMS boleh dihantar percuma di antara pelanggan yang menggunakan rangkaian yang sama. Hanya pada tahun 1999, penghantaran SMS rentas telko diperkenalkan. Penggunaan SMS melonjak naik disebabkan oleh inovasi ini.

Mengarang teks menggunakan papan kekunci di zaman-zaman awal masih lagi tidak mesra pengguna. Untuk menaip huruf “C”, butang “2” perlu ditekan 3 kali. Proses menaip teks menjadi lebih pantas dengan terciptanya papan kekunci T9 – atau nama penuhnya “Text on 9 keys.” T9 boleh mengagak apa yang akan ditaip menerusi pangkalan data perkataan yang kerap digunakan. Papan kekunci T9 dicipta oleh Cliff Kushler yang kemudiannya mencipta papan kekunci SWYPE untuk telefon pintar pada tahun 2011.

Era SMS ialah era syarikat telko mencetak duit kerana penggunaannya yang meningkat membolehkan mereka mencatatkan keuntungan yang tinggi. Di awal tahun 2000an di Malaysia, kos menghantar satu SMS ialah sekitar RM0.50. Walaupun masih mahal, ia lebih murah berbanding melakukan panggilan telefon yang mencecah lebih RM1 untuk setiap minit.

Di Malaysia SMS memulakan deman mengundi untuk peserta kesayangan dalam rancangan seperti Akademi Fantasia. Ada yang bergolok gadai tanah pusaka untuk memastikan artis yang di AFUNDI akan menang besar. Di televisyen pula wujud rancangan teka ria dimana pengguna menjawab soalan menggunakan SMS dan ada juga yang mengawal pergerakan kereta kebal juga dengan SMS dengan kos yang agak tinggi di awal tahu 2000-an.

Jumlah sebenar SMS yang telah dihantar sejak 1992 adalah misteri tetapi pada tahun 2017 sahaja dianggarkan 8 trilion SMS telah dihantar oleh pengguna global.

Protokol SMS Pertama

Selepas SMS, MMS diperkenalkan pada tahun 2002 yang menyokong audio, video, gambar dan pautan ke laman web. Mungkin ada di kalangan pembaca yang mempunyai memori menerima MMS di Hari Raya dengan mesej berbentuk video beresolusi rendah. Ia mungkin tidak canggih mengikut standard 2022 tetapi pada tahun 2022 ianya adalah kemuncak teknologi sehingga disalah guna untuk menghantar klip 3GP.

Adakah SMS masih relevan di tahun 2022? Jawapannya YA. Penggunaannya untuk pengesahan dwi-faktor akaun atas talian dan TAC perbankan masih lagi meluas walaupun sudah mula ingin digantikan dengan sistem yang lebih selamat.

Apple dan Huawei masih menggunakan format SMS untuk sistem perhubungan kecemasan menggunakan satelit kerana ia mempunyai saiz paling kecil untuk dihantar dengan penggunaan data paling rendah. Dalam situasi saya sendiri lebih gemar menghantar SMS kerana ia pasti akan diterima walaupun tiada talian internet.

Sejak 2007 sudah wujud usaha menggantikan SMS dengan RCS (Rich Communication Services) yang menerima nama jolokan SMS 2.0. Ia menyokong chat, teks, video, notifikasi mesej diterima, melihat status dan terdapat usaha untuk ia menghantar dokumen penting seperti pas menaiki pesawat. Google serius ingin menjadikan RCS sebagai standard penghantaran teks baharu sejak 2018 dengan di Malaysia syarikat telko utama telah menyokongnya.

Di Amerika Syarikat Google kini memujuk Apple supaya menyokong RCS dan menjadikannya protokol penghantaran teks global. Apple masih enggan mengalah dengan Tim Cook berkata jika pengguna Android tidak mahu kelihatan dalam warna gelembung teks hijau dalam iMessage, mereka perlu berubah sahaja ke iPhone. Selamat ulang tahun ke-30 Short Message Service dan semoga ia terus dikemaskini untuk menjadikannya lebih baik berbanding versi yang digunakan sekarang.

komen


© Amanz / 2023 Kami