Carian
Pembelian Activision Blizzard Oleh Microsoft Dihalang Oleh FTC
December 9, 2022 Effi Saharudin

Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan Amerika Syarikat (FTC) pagi ini memfailkan saman di mahkamah untuk menghalang pengambilalihan Activision Blizzard oleh Microsoft daripada diteruskan. Saman difailkan selepas lebih dua minggu ura-ura mengatakan ia akan dilakukan mula didengari.

FTC menghalang pembelian kerana ingin mengelakkan Microsoft daripada membeli pelbagai studio permainan video yang menghalang persaingan dari pengeluar lain. Sebelum FTC, pembelian ini turut telah disiasat oleh badan pengguna di Eropah. Sebelum ini Microsoft telah bersetuju akan memberikan siri Call of Duty di konsol Sony selama sedekad serta komited untuk menawarkannya ke konsol Nintendo dan Valve. Tindakan ini mungkin dilihat tidak mencukupi untuk mengelakkan Microsoft memonopoli pasaran. Pembelian Activision Blizzard bernilai hampir $70 bilion diumumkan Microsoft awal Januari lalu.

Microsoft sudah beberapa kali disiasat oleh badan anti monopoli dengan antara insiden paling terkenal ialah mengenai Internet Explorer disertakan pada setiap sistem operasi Windows. Siasat ini menurut Bill Gates menjadi sebab mengapa Windows Phone gagal kerana beliau tidak mampu memberikan tumpuan sepenuhnya untuk melancarkan sistem operasi telefon pintar.

Komen