Carian
Jepun Dan Belanda Turut Menghadkan Penjualan Cip Kepada China
December 13, 2022 Effi Saharudin

Masa depan pembangunan cip di China semakin gelap selepas Jepun dan Belanda turut menghadkan penjualan alat menghasilkan cip kepada negara tersebut. Kedua-dua negara mengikut telunjuk Amerika Syarikat yang ingin membantutkan kemampuan China menghasilkan cip berteknologi tinggi yang didakwa akan digunakan bagi tujuan ketenteraan.

Walaupun China ialah kilang dunia, mereka sebenarnya tidak mempunyai kemampuan menghasilkan mesin yang diperlukan bagi mengilangkan cip yang diperlukan peranti elektronik moden. Dengan mesin berteknologi paling terkini mula dihadkan, China perlu dengan segera membangunkan teknologi kendiri dalam masa yang singkat.

Perang teknologi yang dikenakan oleh Amerika Syarikat ke atas China telahpun menyebabkan Huawei dan ZTE kerugian besar disebabkan kelengkapan 5G mereka diharamkan daripada negara sekutu A.S. Penjualan cip kecerdasan buatan AMD dan NVIDIA ke China turut diharamkan tahun ini juga atas alasan mengelakkan ia digunakan bagi tujuan ketenteraan.

Pada waktu yang sama usaha mengharamkan penggunaan dron DJI dan aplikasi TikTok sudahpun dimulakan di Amerika Syarikat kerana dakwaan mungkin menjadi medium pengintipan.

Komen