Tidak cukup dengan pelan membina banda linear terpanjang serta tertinggi dunia The Line di Neom, Arab Saudi turut mempunyai perancangan membina bangunan tertinggi dunia pula di Riyadh. Kerajaan Saudi sedang mengumpulkan cadangan dari syarikat senibina terkemuka untuk menara setinggi lebih 2000 meter.

Ini menjadikannya jauh lebih tinggi berbanding pemegang rekod dunia menara Burj Khalifa setinggi 830 meter di Dubai. Lebih sedekad lalu pembinaan Jeddah Tower setinggi 1008 meter dimulakan tetapi pembinaan tergendala selepas pemilik syarikat pembinaan dipenjarakan oleh Putera Muhammed bin Salman.
Bangunan tertinggi di Arab Saudi sekarang ialah menara jam Abraj Al Bait yang terletak bersebelahan Masjidil Haram. Pembinaan projek mega di Arab Saudi dilakukan untuk mengubah imej Arab Saudi dari sebuah negara pengeluar petroleum menjadi negara berteknologi tinggi dengan monumen canggih yang dapat menarik minat pelancong luar.