Cari @ Amanz

Sekatan teknologi ke atas China menjadi serius selepas Alibaba dilaporkan tidak dibenarkan membeli cip terkini yang dikeluarkan oleh ARM. Menurut Financial Times, cip Neoverse V1 dan Neoverse V2 yang direka untuk pengkomputeran awanan tidak boleh dijual kepada Alibaba kerana akan dihalang oleh Amerika Syarikat dan UK.

Teknologi pada cip-cip ini berasal daripada Amerika Syarikat dan berdasarkan arahan yang dikeluarkan sebelum ini kebenaran dari negara asal diperlukan sebelum ia boleh dijual kepada China. Alibaba memerlukan cip terkini untuk sistem pengkomputeran awanan mereka. Tanpa cip ini kemampuan mereka untuk menawarkan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan akan terjejas sekaligus memberikan kelebihan kepada pesaing seperti AWS.

Penjualan cip kecerdasan buatan AMD dan NVIDIA ke China sebelum ini turut telah dihadkan. Pada waktu yang sama kemampuan China untuk menghasilkan cip dengan teknologi lebih terkini turut dicantas selepas penjualan mesin litografi dari Jepun dan Belanda turut dihalang.

Menerusi pendekatan menghalang pembelian cip dan mesin yang menghasilkannya, Amerika serta sekutu berharap dapat menghalang China daripada membangunkan cip bagi tujuan ketenteraan.

Bagi memastikan kepentingan negara tidak terbantut, China dilaporkan akan membelanjakan RMB 1 trilion (~RM638 bilion) dalam masa lima tahun ke dalam industri cip tempatan supaya jurang teknologi dengan Barat dapat dikecilkan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd