Carian
Pandang Pertama – Oppo Find N2 Sangat Kemas, Kacak Dan Kompak
December 19, 2022 Effi Saharudin

Tahun ini kami mendapat akses awal dan agak eksklusif dengan Oppo Find N. Peranti skrin boleh-lipat ini lain daripada yang lain kerana ia menggunakan rekaan seakan Z Fold4 tetapi dalam saiz yang lebih padat. Dalam keadaan dilipat, memegangnya terasa lebih selesa dengan skrin luarnya mirip sebuah iPhone SE. Menaip tidak terasa janggal dan nisbah aplikasi yang dipaparkan pula sama seperti pada peranti candybar biasa.

Mengecewakan sekali Find N tidak dipasarkan ke luar China memandangkan dunia sedang bergelut dengan pandemik serta isu rantaian bekalan yang kritikal. Tahun ini keadaan semakin memberikan harapan Find N2 dan N2 Flip yang dilancarkan hari ini akan tiba ke pasaran Malaysia. Sebelum ini berlaku kami sempat menggunakan peranti dalam acara khas yang dianjurkan oleh Oppo Malaysia. Ini pendapat kami mengenai Oppo Find N2.

Spesifikasi

Oppo Find N2
SkrinLuar – 5.54″ AMOLED, 120Hz
Dalam – 7.1″ AMOLED 120Hz
HDR10+, Stylus
PemprosesSnapdragon 8+ Gen 1 (4nm)
Cip1 X 3.19 GHz Cortex X2
3 X 2.75 GHz Cortex A710
4 X 2.00 GHz Cortex A510
Cip GrafikAdreno 730
RAM12/16 Gigabyte
Muatan Dalaman256/512GB UFS 3.1
Kamera Utama54 MP, f/1.8, OIS (Sudut Lebar)
48 MP, f/2.2 (Ultra Sudut lebar)
32 MP, f/2.0 Telefoto) 2x Zum Optical
4K 60p
Kamera Depan32 Megapixel f/2.4 (Depan)
32 Megapixel f/2.4 (Dalam)
1080p 30p
Bateri4520 mAh
Pengecasan berwayar 67W
SIM/TelefoniDwi SIM Nano /5G
NFCYa
Infra MerahTiada
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanCap jari terbina sisi
Harga JualanRM5060* (12/256 GB)
RM5693* (16/512 GB)

Skrin

Skrin luar 5.54″ AMOLED dengan sokongan kadar segar semula 120Hz. Saiz skrin ini adalah kompak yang menjadikannya sangat selesa digunakan walaupun dengan sebelah tangan. Ia adalah seperti memegang sebuah iPhone SE yang dua kali ganda lebih tebal sahaja. Menaip menggunakan skrin luar juga lebih selesa kerana nisbah skrin yang menyerupai sebuah telefon pintar candybar biasa.

Bezel pada tiga sudut adalah nipis dan sekata. Terdapat sokongan HDR10+ secara rasmi tetapi semasa artikel ini ditulis HDR hanya boleh digunakan pada aplikasi YouTube sahaja. Sokongan rasmi perkhidmatan penstriman lain mungkin akan hanya hadir selepas pelancaran global Find N2 kelak. Skrin yang sama mengesan setiap sentuhan dan tatalan dengan jitu. Dengan 120Hz animasi nampak jelas serta lancar sepanjang masa. Pengguna diberikan pilihan untuk merendahkan kadar segar semula ke 120Hz sekiranya diperlukan.

Skrin dalam boleh-lipat Find N2 pula adalah sebesar 7.1″ AMOLED 120Hz yang turut menyokong HDR10+. Kesan lipatannya masih wujud tetapi tidak ketara dengan sekali panjang. Hanya pada sudut tertentu ia dapat dilihat. Bingkai skrin dalaman adalah besar dengan ia diperbuat daripada bahan plastik yang menyerap hentakan apabila skrin ditutup.

Engsel baharu tahun ini lebih mudah dibuka tanpa mengeluarkan sebarang bunyi yang aneh. Peranti terasa teguh di dalam tangan dalam keadaan dibuka dan juga ditutup. Dalam kedudukan tertutup, tiada ruang antara skrin. Rekaan yang lebih rapat ini membuatkannya kelihatan lebih kemas apabila dibandingkan dengan Z Fold4 yang mempunyai ruang kecil antara skrin berhampiran engsel dalam kedudukan tertutup.

Penambah baikan tahun ini ialah Oppo menggunakan lapisan UTG pada skrin boleh lipat ini dan akhirnya skrin ini boleh menyokong stylus Oppo Pen. Dari segi kemampuan Oppo Pen sama dengan S Pen Samsung. Seperti pada Z Fold4, stylus Oppo Pen dijual berasingan dengan tiada tempat simpanan khas disertakan pada tubuh. Kami tidak dapat menguji kemampuan lakaran Oppo Pen pada N2 yang diulas kerana tidak pula diberikan oleh Oppo Malaysia.

Terdapat dua lubang kamera kecil pada bucu atas kiri skrin boleh-lipat dan di tengah-tengah pada skrin luar yang lebih kecil. Akhir sekali kerana kedua-dua skrin adalah dari keluarga AMOLED, teks dan imej pada skrin boleh dilihat dengan jelas walaupun di bawah matahari yang terang.

Rekaan

Kami katakan pada beberapa perenggan di atas, N2 adalah seperti menggunakan dua iPhone SE secara serentak. Dalam mod tertutup ia masih selesa di dalam tangan kerana saiznya yang kompak. Dalam mod terbuka pula, ia masih lagi selesa digunakan seperti sebuah iPad Mini. Butang kuasa dan laras audio diletakkan pada “sayap kanan” N2. Butang laras audio di atas dan butang kuasa pula di bawah. Terdapat pengimbas cap jari terbina pada butang kuasa ini. Sistem imbasan jari pada N2 adalah amat pantas dengan skrin ternyahkunci sekelip mata.

Kami cuma kurang gemar dengan kedudukan butang laras audio yang terlalu tinggi. Untuk mengubah kelantangan bunyi adalah sedikit sukar. Speaker juga diletakkan di bahagian bawah yang sebenarnya adalah keputusan yang bijak. Dalam pengalaman kami menggunakan peranti skrin boleh-lipat, apabila speaker diletakkan ke sisi kerap kali kekisi ditutup dengan tangan. Dengan speaker menembak ke bawah audio jarang sekali terhalang secara tidak sengaja.

Talam untuk dwi SIM bersaiz nano juga diletakkan di bahagian bawah sayap kanan dengan ia mengepit port USB-C dan kekisi audio. Tiada ruang untuk kad mikro SD maka pembeli harus memutuskan saiz storan apakah yang ingin digunakan selama peranti digunakan. Tiadanya ciri menambah memori adalah satu trend yang mengecewakan pada peranti mercu Android sejak empat tahun yang lalu.

Pada bahagian belakang terdapat bonggol besar berbentuk empat segi yang meletakkan tiga kamera – 50MP Sudut lebar f/1.8 , 48MP ultra sudut lebar f/2.2 dan 2MP telefoto f/2.o yang menyokong zum optikal 2x serta zum digital sehingga 20X.

Konfigurasi kamera tahun ini tidak lagi tiga menegak seperti pada Find N asal. Saiz lensa sudut lebar dan ultras sudut lebar adalah besar. Tiada gimik sistem kamera makro di sini. Tiada juga sistem kamera periskop. Yang ada ialah sistem kamera Hasselblad dengan Oppo meneruskan kerjasama dengan syarikat fotografi dari Sweden ini. Bonggol yang besar membuatkan Find N2 tidak boleh diletakkan rata di atas meja.

Kemasan belakang Find N2 diperbuat daripada kulit vegan dengan tekstur mirip ditemukan pada kamera digital. Jika digunakan tanpa kerangka, permukaan penal belakang ini bertekstur tetapi masih lagi lembut pada sentuhan. Ia tidak terasa sejuk apabila dipegang seperti panel kaca dan logam. Kami cukup suka dengan kemasan ini kerana membuatkan peranti terasa eksklusif, tidak licin ketika dipegang dan tidak mudah kotor. Sedikit sedih apabila kerangka yang diberikan dipasang, panel yang cantik ini tersorok di belakang kerangka polikarbonat biasa.

Bateri yang diberikan adalah sebesar 4520 mAh yang lebih besar berbanding Z Fold4 (4400 mAh) tetapi lebih kecil berbanding Magic Vs (5000 mAh). Mengagumkan tubuh Find N2 yang kecil boleh menempatkan bateri yang lebih besar berbanding Z Fold4 yang tubuhnya lebih besar. Tambah menakjubkan terdapat sokongan pengecasan 67W yang lebih pantas secara berwayar. Kekurangan hanya tiada sokongan pengecasan nirwayar atau berbalik.

Kombinasi tubuh yang kompak, skrin luar yang kecil tetapi masih mudah digunakan dan skrin boleh-lipat yang tidak mempunyai kesan lipatan yang ketara membuatkan kami serta merta jatuh cinta dengan Find N2. Ini adalah sesuatu yang kami sendiri tidak sangka kerana selama ini merasakan Z Fold4 ialah kemuncak rekaan peranti skrin boleh-lipat. Satu kelebihan paling ketara yang kami sedar ialah kerana saiznya yang kecil dan tidak begitu tebal, Find N2 boleh digunakan pada pemegang peranti dalam kereta tanpa perlu membeli yang baharu.

Pendek kata rekaan Find N2 bukan sahaja yang paling selesa pernah kami gunakan setakat ini untuk sebuah peranti skrin boleh-lipat, tetapi juga paling praktikal. Kekurangan yang ada ialah ia tidak mempunyai sebarang kemampuan kalis air rasmi sedangkan peranti skrin boleh-lipat Samsung tahun ini melepasi piawaian IPX8.

Antaramuka Dan Pengalaman Penggunaan

Sistem operasi ColorOS 13 yang berasaskan Android 13 digunakan. Ini membawakan sokongan kustomasi dan widget yang lebih baik. Komponen Android 12L khusus untuk tablet juga disertakan sekali. Penggunaan Find N2 adalah lancar dan pantas seperti yang diharapkan untuk sebuah peranti kelas mercu premium. Model yang diulas hanya dilengkapi 12GB RAM dan storan 256GB tetapi kami tidak menemukan sebarang isu memuat turun aplikasi dari Play Store dan menjalankannya pasca pemasangan.

Tiada isu langsung walaupun peranti sebenarnya menggunakan ROM versi China. Pemasangan Google Play Store boleh dilakukan tanpa proses rumit. Berita baik bagi mereka yang ingin membeli unit N2 terus dari China sebelum penawaran tahap global.

Terdapat ciri menambah RAM sehingga 8GB secara maya sekiranya perlu. Fungsi spesifik tablet pada skrin boleh-lipat juga diberikan oleh Oppo. Antaranya melakukan dua jari dari atas ke bawah akan secara automatik melancarkan mod dwi-tingkap. Tingkap ini kemudiannya boleh diubah saiz mengikut keperluan. Selain itu mod memaparkan aplikasi dalam tingkap terapung juga boleh digunakan.

Kerana tidak semua aplikasi direka untuk skrin boleh lipat, Oppo memberikan ciri untuk pengguna memilih untuk melancarkan aplikasi pada nisbah lebih mirip telefon pintar biasa atau memaksa ia menggunakan keseluruhan skrin. Kami lebih selesa menggunakan Instagram tanpa ia dipaksa menjadi besar misalnya. YouTube pula lebih mudah digunakan pada skrin yang lebih lebar. Pengguna boleh menetapkan sendiri aplikasi mana yang ingin dipaksa ataupun tidak.

Flex Mode juga boleh digunakan tetapi pada waktu ini ia terhad kepada beberapa aplikasi dari China sahaja. Seperti yang kami sebutkan di atas tadi, Find N2 yang diulas menggunakan ROM China maka sokongan aplikasi YouTube dan Netflix masih belum diberikan.

Berdasarkan penggunaan peringkat awal, ColorOS 13 berfungsi dengan lancar dan menawarkan pelbagai ciri tambahan yang menarik dalam mod tablet. Namun begitu ciri seakan Taskbar Z Fold4 tiada pada Find N2 kerana harta intelek mungkin dipegang oleh Samsung. Pada hemat kami Taskbar perlu menjadi ciri standard pada kesemua peranti skrin boleh-lipat kerana mempercepatkan proses bertukar antara aplikasi seakan sebuah sistem operasi desktop.

Kamera

Beberapa sampel gambar yang sempat diambil dalam tempoh yang singkat peranti digunakan oleh kami di Amanz. Kamera dengan sistem Hasselblad XPan diberikan untuk mengambil foto yang lebih sinematik pada nisbah memanjang. Seperti pada Oppo Find X5 Pro, Find N2 juga mempunyai cip MariSilicon X yang merupakan ISP kendiri buatan Oppo bagi meningkatkan prestasi fotografi.

Kesimpulan

Untuk mengatakan kami cukup kagum dengan Oppo Find N2 ialah sedikit kurang tepat kerana ia lebih baik daripada yang kami sangka. Palang untuk peranti skrin boleh-lipat adalah agak tinggi selepas Z Fold4 dilancarkan tahun ini. Pada awalnya kami menyangka dengan skrin lebih kecil mungkin Find N2 bukan pesaing kepada telefon skrin boleh-pintar terbaik di pasaran setakat ini tetapi nyata kami silap.

Rekaan Oppo Find N2 adalah yang paling praktikal pernah kami gunakan setakat ini. Tiada pengorbanan pada penggunaan sebelah tangan, tidak rasa terbeban oleh berat dan skrin boleh-lipatnya yang tidak mengecewakan. Kami hanya kecewa Oppo masih tidak mampu memberikan jaminan Find N2 akan dipasarkan ke peringkat global. Ini ialah peranti yang kami yakin rekaannya akan menjadi templat kepada peranti lain selepas in kerana ia hampir tiada kompromi.

Pro

  • Skrin 5.45″ 120Hz yang kecil tetapi selesa digunakan sebelah tangan.
  • Skrin boleh-lipat besar 7.1″ 120Hz di dalam tiada kesan lipatan ketara.
  • Spesifikasi tinggi Snapdragon 8+ Gen 1 dengan memori sehingga 16GB RAM.
  • Kemasan panel luar seakan kulit terasa mewah.
  • Tri-kamera utama yang besar dengan zum optikal.
  • Bateri besar 4500 mAh dengan pengecasan 67W.
  • Sokongan Oppo Pen.

Kontra

  • Tiada piawaian kalis air.
  • Flex Mode pada ColorOS 13 terhad kepada beberapa aplikasi China sahaja.
  • Kedudukan butang laras audio yang sedikit canggung.
  • Tiada pilihan Flex Mode untuk skrin luar.
Komen