Ini Mungkin Rekaan TWS Particles By XO – Subjenama Nothing

Diterbitkan pada Dis 20, 2022. oleh .

Beberapa hari lepas, Nothing dilaporkan akan hadir dengan subjenama tersendiri Particles by XO. Agak mengejutkan untuk syarikat yang baru setahun lebih sudah ingin memperkenalkan subjenama tersendiri. Produk pertama di bawah jenama ini dijangka adalah fon telinga nirwayar, kerana Nothing belum bersedia lagi untuk memperkenalkan telefon pintar seterusnya.

Daripada 91Mobiles, mereka baru-baru ini telah mendedahkan imej pengolokan fon telinga nirwayar Particles by XO ini. Fon telinga ini kelihatan amat unik dan juga aneh dengan rekaan bulat seakan kacang tanah atau simbol infiniti. Terdapat beberapa lubang kelihatan yang mungkin adalah untuk sensor, mikrofon atau kekisi.

TWS ini juga berbeza dengan Nothing Ear (1) atau Ear (Stick), kerana tidak ada elemen lutsinar. Pod pengecasan TWS ini dilihat menggunakan rekaan bulat dan mungkin leper. Menurut sumber, TWS Particles by XO ini akan mempunyai ciri LHDC dan sokongan pembatalan hingar aktif. Dijangkakan, TWS ini akan dijual pada harga premium dan memfokuskan kepada peminat rekaan unik, aneh dan mungkin akan dipasarkan di Amerika Syarikat terlebih dahulu.

komen


© Amanz / 2023 Kami