Peti Sejuk Samsung Bespoke Infinite Line Dilengkapi Pintu Automatik Dan Kemasan Emas

Diterbitkan pada Jan 3, 2023. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Tidak cukup dengan peti sejuk dengan TV 32″ terbina minggu lalu dan ketuhar pintar yang boleh menstrim video masakan terus ke peranti, Samsung turut mengumumkan siri peti sejuk Bespoke Infinite Line. Ini adalah kemuncak kemewahan siri peti sejuk Bespoke yang telah mereka tawarkan sejak 2019.

Pada model Bespoke Infinite Line, terdapat ruang beku dan sejuk dengan kapasiti 805 liter yang besar dan juga rak untuk wain dengan kapasiti 101 botol. Menerusi sensor terbina pada pintu, ia boleh dibuka dengan hanya satu sentuhan. Dengan ini pintu terbuka sendiri tanpa perlu ditarik. Berguna dalam situasi di mana tangan sedang memegang barang yang banyak.

Tidak berakhir di situ, kemasan pada Bespoke Infinite Line juga lebih mewah dengan pilihan emas dan tembaga sementara tubuh pula diperbuat daripada aluminium. Dengan rekaan yang lebih premium ini, Samsung mengatakan siri Bespoke Infinite Line akan kelihatan bergaya untuk tempoh yang lebih lama.

Terdapat ciri standard kawalan suhu automatik mengikut barangan yang disimpan menggunakan kecerdasan buatan. Terdapat juga mesin mengeluarkan air sejuk dengan perisa buah-buahan boleh dimasukkan. Pada rak wain pula, kecerdasan buatan boleh membaca label botol dan menyarankan bagaimana ia harus disimpan serta saranan makan apa yang sesuai dipadankan dengannya.

Sebelum ini peti sejuk premium Bespoke Infinite Line ditawarkan di Eropah tetapi di CES 2023 mereka mengembangkan penawaran ke Mexico, Thailand dan Australia.

komen


© Amanz / 2023 Kami