Dua tahun lepas, Xiaomi dan Motorola telah memperkenalkan sistem pengecasan nirwayar sebenar – di mana peranti boleh dicas secara nirwayar dengan jarak jauh daripada pengecas. Teknologi ini menggunakan gelombang radio seperti mmWave pada Motorola Air Charge atau Xiaomi Space Charge/Mi Air Charge yang boleh mengecas banyak peranti serentak pada kadar 5W.
Terkini AirFuel Alliance telah hadir dengan piawaian sistem pengecasan nirwayar sebenar baharu untuk digunakan pada peranti mudah alih, AirFuel RF.

Piawaian ini membolehkan peranti dicas pada jarak jauh sehingga beberapa meter. Ia menggunakan teknologi, di mana gelombang tenaga dicipta daripada peranti dan boleh dipindahkan untuk menerima atau memberi kuasa. AirFuel RF dikatakan sesuai untuk digunakan pada peranti boleh pakai kerana saiz yang kecil dan tidak memerlukan kuasa yang besar.
Antara yang sudah menyertai AirFuel Alliance adalah Energous dan Atmosic yang akan mendedahkan produk mereka pada acara CES 2023 nanti. AirFuel turut berhasrat lebih banyak pengeluar peranti akan mengimplementasikan teknologi ini agar pengguna boleh menikmati teknologi pengecasan nirwayar sebenar.
Sama-sama kita nantikan maklumat lanjut mengenai piawaian ini nanti.