Perkhidmatan penstriman permainan video Google Stadia secara rasminya ditamatkan hari ini selepas hanya beroperasi tidak sampai empat tahun. Semasa diumumkan pada Mac 2019, Stadia dilihat sebagai masa depan permainan video kerana ia tidak memerlukan perkakasan yang mahal yang perlu dinaik taraf selang lima tahun. Yang diperlukan hanyalah dongel Chromecast dan alat kawalan permainan khusus.
Tetapi sejak dilancarkan, perkhidmatan Stadia menghadapi pelbagai masalah seperti kadar bingkai rendah, permainan dalam bentuk digital yang dijual pada harga tinggi dan hanya ditawarkan di pasaran terhad sahaja. Ia tidak sempat dikembangkan ke pasaran global seperti Malaysia.
Keranda Stadia sudah mula diusung dan pengguna bercucuran air mata apabila Google menutup studio pembangunan mereka sendiri pada Februari 2021. Kemudian secara mengejut Google mengumumkan pada September lalu bahawa Stadia akan dihentikan pada hari ini.
Sebelum perkhidmatan ditamatkan, Stadia memberikan kemas kini terakhir bagi membolehkan alat kawalan WiFi mereka digunakan sebagai alat kawalan Bluetooth selepas mereka tidak lagi beroperasi. Selepas kemas kini dilakukan, alat kawalan ini tidak lagi boleh digunakan bersama Stadia untuk selama-lamanya.