Bulan April tahun lepas, Microsoft memperkenalkan rekaan File Explorer baharu dengan carian berkonteks serta ciri tab ntuk pengguna tidak lagi perlu membuka banyak tetingkap pada satu masa yang sama.
Kemaskini ini membolehkan File Explorer digunakan untuk mencari fail dari perkhidmatan awanan dan tidak lagi terhad di dalam peranti pengguna sahaja. Ciri Tab yang pernah ditawarkan sejak versi pembangunan Windows 10 empat taun lalu turut dikembalikan, memudahkan pengguna melakukan pengurusan fail.

Terkini, Windows Central melaporkan File Explorer akan direka semula dengan rekaan baharu. Rekaan pengolokan yang diterima oleh sumber memperlihatkan rekaan lebih moden dari bar carian, kotak direktori, ikon “Home” baharu dan ikon fungsi seperti salin, tampal, folder baharu dipindahkan di bawah dengan bar tersendiri.
Laman utama kini mengintegrasikan Microsoft 365 yang mencadangkan fail untuk akses pantas pengguna, serta kemampuan mencari emel. Pada panel sisi dikemaskini dengan rekaan lebih kemas, dan akan datang bahagian galeri pada File Explorer turut membolehkan pengguna melihat gambar dengan hanya menggerakkan tetikus ke imej kenit.

Kemaskini ini dikatakan akan tiba pada Windows 11 23H2, iaitu pertengahan tahun ini nanti. Biasanya ia akan diedarkan kepada pengguna versi pembangunan sebelum ditawarkan kepada semua.