Misi Artemis yang sudah memulakan ujian tahun lalu ingin menghantar manusia kembali ke permukaan bulan menjelang 2025. Selepas itu bulan akan dijadikan tempat pelancaran misi seterusnya ke Marikh. Untuk merealisasikan impian yang selam ini dilihat sebagai sains fiksyen, NASA telah mengumumkan mereka akan menguji enjin Demonstration Rocket for Agile Cislunar Operations (DRACO) yang dikelolakan oleh DARPA sejak 2020.
Menerusi kerjasama dua badan kerajaan ini, ujian sebenar enjin DRACO akan dilakukan menjelang 2027. Sekiranya berjalan lancar, ini akan membuka langkah kepada NASA melancarkan misi ke Marikh menjelang berakhirnya dekad 2030 kelak.
Sistem pendorong termal nuklear (NTP) menawarkan impuls spesifik dua kali ganda lebih baik berbanding sistem roket kimia yang digunakan sekarang. Impuls spesifik ialah ukuran yang digunakan untuk mengira tahap kecekapan sesebuah enjin roket. Misi ke Marikh boleh dipendekkan ke tiga bulan dengan enjin NTP berbanding tujuh bulan menggunakan enjin roket kimia.