Carian
Vivo X90 | X90 Pro Rasmi Di Malaysia – Kamera Sensor 1″ Dengan Harga Bermula RM3699
February 3, 2023 Fahim Zahar

Model baharu siri Vivo X yang memfokuskan fotografi kini akhirnya rasmi di pasaran Malaysia. Terdapat dua model iaitu Vivo X90 dan Vivo X90 Pro. Vivo sekali lagi bekerjasama dengan Zeiss untuk memastikan kemampuan kamera pada kedua-dua peranti ini dapat menarik perhatian ramai. Bukan itu sahaja, Vivo X90 dan X90 Pro turut dijana dengan cip yang sama iaitu MediaTek Dimensity 9200 – cip peranti mercu baharu yang turut dipadankan dengan cip ISP Vivo tersendiri, Imaging Chip V2.

Vivo X90

Peranti ini adalah model paling asas, di mana saiz skrin adalah 6.78″ AMOLED beresolusi 1260 x 2800, menyokong kadar segar semula 120Hz dan paparan HDR10+. Cip Dimensity 9200 (1x 3.05GHz + 3x 2.85GHz + 4x 1.80GHz dan GPU Arm Immortalis-G715) dipadankan dengan memori 12/256 GB, bateri 4810mAh dengan pengecasan 120W dan pengimbas cap jari bawah skrin.

Untuk kamera, di belakang adalah 50MP f/1.75 (sudut lebar), OIS + 12MP f/1.98 (potret/telefoto) 2x zum optikal + 12MP f/2.0 (sudut ultra-lebar). Semua kamera belakang menggunakan teknologi Zeiss dan turut mempunyai lapisan Zeiss T* pada setiap lensa. Kamera swafoto pula adalah 32MP f/2.45. Dalam aplikasi kamera, pelbagai mod-mod potret telah ditambah termasuk juga dengan mod Zeiss Cinematic untuk rakaman video bokeh.

Peranti ini turut hadir dengan rekaan lebih kurang sama dengan Vivo X80, cuma tiada lagi modul kamera besar dan lebar segi empat – kerana digantikan dengan rekaan bulat yang lebih menonjol. Kemasan juga adalah jenis kusam untuk selesa di tangan pengguna.

Speaker peranti adalah jenis stereo, menggunakan Bluetooth 5.3, WiFi 6, sensor infra merah, mempunyai perlindungan IP64 dan menjalankan Funtouch OS 13 berasaskan Android 13. Vivo X90 untuk pasaran Malaysia dijual pada harga RM3699 untuk satu model sahaja iaitu 12/256 GB berwarna Breeze Blue atau Asteroid Black.

Vivo X90 Pro

Skrin peranti ini adalah sama dengan model biasa, begitu juga dengan cip pemprosesan. Beza hanyalah pada memori, di mana model ini menggunakan memori 12GB RAM LPDDR5 dan storan dalaman 256GB UFS 4.0. Beza utama peranti ini adalah pada bahagian kamera dan sedikit pada rekaan peranti.

Kamera belakang adalah 50MP f/1.75 bersaiz 1″ (sudut lebar) VCSVivo Camera-Bionic Spectrum, OIS + 12MP f/1.6 (potret/telefoto) 2x zum optikal, OIS + 12MP f/2.0 (sudut ultra-lebar). Semua kamera belakang menggunakan teknologi Zeiss dan turut mempunyai lapisan Zeiss T* pada setiap lensa. Kamera swafoto pula adalah 32MP f/2.45. Dalam aplikasi kamera, pelbagai mod-mod potret telah ditambah termasuk juga dengan mod Zeiss Cinematic untuk rakaman video bokeh. Disebabkan model Pro ada dwi-OIS sokongan mod malam seperti Super Moon dan Astro boleh digunakan tanpa sebarang tripod.

Ciri dan fungsi lain adalah sama sahaja dengan Vivo X90 biasa, cuma saiz bateri adalah lebih besar iaitu 4870mAh dengan pengecasan pantas 120W juga. Tambahan pada peranti ini adalah sokongan pengecasan nirwayar 50W dan perlindungan air IP68.

Rekaan peranti pula nampak sama, tetapi di belakang menggunakan bonggol kamera bulat gergasi untuk memuatkan sensor 1-inci dan menggunakan kemasan kulit palsu warna hitam. Untuk pasaran Malaysia Vivo X90 Pro dijual pada harga RM4999 untuk 12/256 GB dengan warna Legendary Black.


Komen